Capcom tampil meminta maaf selepas beberapa hari dihentam hebat oleh peminat gara-gara jalan cerita kontroversi Alex dalam Street Fighter 6 yang melibatkan hubungan romantik antara sepupu/adik-beradik angkat.
Keseluruhan drama ini bermula minggu lalu apabila Alex, watak yang sudah lama wujud dalam siri Street Fighter, akhirnya dimasukkan sebagai watak boleh dimainkan dalam game tersebut. Selepas beberapa jam, pemain terjumpa ending arcade mode milik watak tersebut yang mendedahkan Alex sudah berkahwin dengan Patricia.
Siapa Patricia? Dia ialah adik angkat serta sepupu jauh Alex. Dan bukan setakat itu, pasangan itu juga rupanya sedang menantikan kelahiran anak sulung mereka.

Pendedahan mengejutkan ini ditunjukkan melalui cutscene di mana Patricia yang sedang sarat mengandung menyambut kepulangan Alex di muka pintu rumah mereka dengan kata-kata manis, “Welcome home, hon.” Patricia turut berkata bahawa anak perempuan mereka yang bakal lahir nanti akan “membesar jadi kuat macam ayahnya.”
Bagi kebanyakan peminat yang sudah bertahun-tahun mengikuti kisah watak-watak ini, babak tersebut memang terasa sangat janggal dan tidak sepatutnya berlaku.

Kemarahan peminat bukan datang tanpa sebab. Selama hampir 30 tahun, Alex dan Patricia sentiasa digambarkan sebagai dua orang yang mempunyai hubungan seperti abang dan adik. Alex yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya telah dijaga oleh Tom, iaitu bapa kandung Patricia.
Tom bukan sekadar jurulatih kepada Alex, malah menjadi tokoh bapa dalam hidupnya sejak watak Alex mula diperkenalkan dalam Street Fighter 3 New Generation pada tahun 1997.

Yang lebih merisaukan, dialog dalam mode World Tour turut mendedahkan bahawa Tom sebenarnya adalah sepupu kepada mendiang ibu Alex. Ini bermakna Alex dan Patricia sebenarnya mempunyai pertalian darah sebagai sepupu. Lebih parah lagi, Alex sudah mengenali Patricia sejak Patricia masih lagi seorang bayi.
Semua fakta ini membuatkan ramai peminat berasa sangat tidak selesa dengan hubungan romantik baharu mereka.

Melihat kontroversi, pengarah Street Fighter 6 iaitu Takayuki Nakayama akhirnya bersuara melalui satu kenyataan rasmi. Beliau menyifatkan keadaan ini sebagai “kekeliruan” dan memohon maaf kepada peminat.
“Walaupun kami tidak mengubah latar belakang mana-mana watak, selepas pasukan pembangunan membuat semakan dalaman, kami merancang untuk menyemak semula beberapa bahagian teks yang berkemungkinan mengelirukan dalam masa yang terdekat,” tulis Nakayama.
Sangat jelas bahawa Capcom sama sekali tidak berniat untuk membuang atau mengubah perkahwinan Alex dan Patricia. Hasilnya, kritikan semakin bertalu-talu kerana peminat merasakan Capcom langsung tidak faham apa masalah sebenar yang mereka bangkitkan.

Selain kenyataan tersebut, Nakayama juga berkongsi pautan ke sebuah cerpen baharu bertajuk “A Toast between Fathers” yang dihasilkan oleh pasukan penulis senario Street Fighter 6. Cerpen ini mengambil latar di sebuah bar, berlaku sejurus selepas majlis perkahwinan Alex dan Patricia.
Tujuannya untuk memberi penjelasan dan konteks tentang bagaimana hubungan mereka berdua boleh berubah menjadi romantik.

Dalam cerpen tersebut, diceritakan bahawa Alex dan Patricia sudah lama tidak berhubung sepanjang usia dewasa mereka. Mereka hanya bertemu semula apabila Alex muncul untuk menyelamatkan Patricia yang ketika itu sudah terjebak dengan orang yang salah.
Pasukan penulis nampaknya cuba menggunakan jarak masa perpisahan dan pertemuan semula ini sebagai alasan mengapa ikatan yang dahulunya seperti abang-adik akhirnya bertukar menjadi cinta.









Discussion about this post