Kelas 1-A telah menjadi fokus utama untuk siri Boku no Hero Academia dan ternyata ia mempunyai sekumpulan pelajar yang berbakat di sana. Pencipta siri, Kohei Horikoshi, telah meletakkan usaha yang tinggi untuk menghasilkan watak-watak yang hebat, tidak kira lelaki atau perempuan.
Malah, saya percaya Boku no Hero Academia adalah salah satu manga bagus yang mempunyai watak-watak wanita dengan latar belakang yang baik. Kelas 1-A, khususnya, mempunyai beberapa wanita menarik dalam siri. Mari kita berbincang gadis mana paling kuat dalam kelas 1-A!
TORU HAGAKURE
Juga dikenali sebagai Stealth Hero: Invisible Girl, Toru Hagakure adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam aspek persembunyian. Dia memiliki Quirk bernama Invisibility yang membuat tubuhnya halimunan dan satu-satunya cara untuk mengenal pasti ialah dengan pakaiannya. Yang menghairankan, fungsi Quirk nya masih tidak jelas lagi.
Tidak pasti jika Toru sentiasa halimunan atau jika dia dapat mengaktifkan Quirk pada bila-bila masa. Peminat pun mesti tertanya-tanya bagaimana Quirk-nya akan bertindak balas kepada kebolehan Eraserhead yang boleh membatalkan abiliti lain, tetapi kami akan mendapat jawapan itu suatu hari nanti. Teknik dan kepandaian Toru dikatakan sebagai aset terkuatnya dan walaupun abiliti pertempuran Toru agak bagus, dia tidak setanding dengan gadis-gadis lain di kelas 1-A.
KYOKA JIRO
Wanita seterusnya dalam senarai ialah Hearing Hero: Earphone Jack, atau Kyoka Jiro! Kyoka adalah Hero yang berkebolehan dan telah diberi tumpuan lebih berbanding Toru Hagakure. Ini bermakna lebih banyak tentang dirinya telah didedahkan dalam siri setakat ini. Kyoka memiliki Quirk bernama Earphone Jack yang membolehkannya menggunakan telinga untuk menghasilkan serangan getaran bunyi.
Abilitinya agak unik, dan ternyata sukar untuk sesiapa yang menghadapinya. Selain itu, Kyoka nampaknya tidak begitu lemah dalam apa-apa aspek. Menurut statistik, Kyoka adalah seorang pelajar yang cukup seimbang dan tidak mempunyai kelemahan tertentu. Kekuatannya yang terbesar adalah muzik. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna dia tidak mahir dengan gaya pertempuran lain.
TSUYU ASUI
Dikenali sebagai Rainy Season Hero: Froppy, Tsuyu adalah pelajar yang serba boleh dan adalah salah satu pelajar terbaik di tahun pertama U.A. Seperti nama hero-nya, kekuatan terbesar Tsuyu adalah Quirk nya yang dikenali sebagai Frog. Quirk ini membolehkan Tsuyu melakukan segala-galanya yang seekor katak boleh buat seperti berpaut ke dinding, dan juga memberikan mobiliti dan fleksibiliti luas.
Gaya pertempuran Tsuyu amat adaptif, berkat kepada Quirk-nya. Dia boleh melawan musuh dari jauh menggunakan lidahnya, manakala fleksibilitinya membolehkan Tsuyu untuk melawan musuh pada jarak dekat. Salah satu kelebihan Tsuyu ialah keupayaannya untuk menganalisis keadaan, yang menambah lagi senarai kemahirannya. Mudah untuk lihat mengapa dia adalah salah satu pelajar terkuat dalam kelas 1-A kan!
MINA ASHIDO
Mina Ashido adalah watak yang rumit. Dalam situasi tertentu, dia boleh menjadi pelajar terbaik di kelasnya, dan pada waktu lain, dia hanyalah pelajar biasa. Dikenali sebagai Ridley Hero: Alien Queen, Mina memiliki Quirk yang dikenali sebagai Acid dan ia membolehkannya untuk memanipulasi apa-apa asid mengikut kehendaknya daripada segi kelikatan dan kelarutan.
Terima kasih kepada keupayaan ini, Mina mampu menyerang dan mempertahankan diri dengan baik, lalu menjadikannya sangat berbahaya. Secara ofensif, sifat hakis asidnya boleh melakukan kerosakan yang luar biasa. Ketika mempertahankan diri, Mina boleh menggunakan teknik baru bernama Acidman yang menutup seluruh badannya dalam lapisan asid kuat untuk menghalang setiap serangan musuh. Menurut Mina, dia belajar teknik ini selepas melihat mode Unbreakable milik Eijiro Kirishima.
YAOYOROZU MOMO
Yaoyorozu Momo adalah pelajar paling pintar dalam kelas 1-A dengan kebolehan analitik yang hebat. Di samping memiliki kepandaian yang sangat tinggi, Momo mempunyai Quirk bernama Creation yang membolehkannya mencipta apa-apa selagi dia tahu struktur asas objek yang dia ingin buat. Sempena kebolehan ini, Momo telah memilih nama hero yang agak padan iaitu Everything Hero: Creati.
Walaupun kuasa dia tidak sehebat yang lain, semua kemahiran lain Momo sangat bagus. Tanpa ragu lagi, dia adalah pakar strategi untuk kelas 1-A kerana dia mempunyai lebih daripada satu cara untuk mengalahkan musuh-musuhnya. Oleh itu, Momo tidak perlu bergantung pada kekuatannya dalam pertarungan dan lebih menumpukan pada bagaimana untuk menipu musuhnya dan mengalahkan mereka menggunakan kekuatan mereka sendiri.
OCHACO URARAKA
Ochaco Uraraka, yang juga dikenali dengan nama Hero-nya Uravity, adalah salah satu watak paling disayangi dalam siri Boku no Hero Academia. Kalau kita cakap tentang abiliti pertempuran, Ochaco sendiri agak kuat dan menjadi lebih kuat sepanjang siri anime baru-baru ini. Quirk nya, yang dikenali sebagai Zero Gravity, membolehkan Ochacho untuk membuang efek graviti pada objek tertentu yang dia sentuh, termasuk dirinya sendiri.
Sama seperti gadis-gadis lain di kelas 1-A, Ochaco adalah pelajar yang seimbang, tetapi lebih sesuai untuk pertempuran jarak dekat, hasil daripada latihannya dengan Gunhead. Di samping itu, Ochaco adalah wira “support” yang luar biasa! Ini membezakannya daripada yang lain. Semua data asasnya adalah lebih tinggi daripada pelajar lain, dan Quirk-nya adalah yang paling kuat di sekolah. Ochaco masih mempunyai banyak ruang untuk meningkatkan diri dan walaupun dia tidak ingin untuk menjadi hero paling kuat, saya yakin dia akan menjadi salah satu hero terbaik pada masa akan datang.
Itu sahaja untuk artikel kami kali ini! Apa lagi topik anda semua nak saya bincangkan lain kali? Kongsi pendapat anda di ruang komen!
@gamersantaimy
Discussion about this post