Kemas kini percuma Version 3.0 yang sangat dinantikan untuk Animal Crossing: New Horizons telah pun dilancarkan hari ini! Tiba sehari lebih awal daripada yang dijadualkan, kemas kini ini membawakan pelbagai kandungan baharu serta penambahbaikan besar di konsol Nintendo Switch mahupun Nintendo Switch 2.
Kemas kini ini juga hadir serentak dengan Animal Crossing: New Horizons – Nintendo Switch 2 Edition.
Fokus utama dalam kemas kini 3.0 ini adalah pengenalan sebuah hotel yang baru dibina di kawasan jeti pulau. Hotel ini diuruskan oleh Kapp’n si penyu bersama ahli keluarganya.
Ciri baharu ini memberi peluang kepada pemain untuk mereka bentuk bilik-bilik penginapan mengikut tema tertentu bagi menyambut kedatangan para pelancong. Setiap rekaan yang berjaya akan membolehkan pemain memperoleh “tiket” yang boleh ditebus untuk mendapatkan perabot serta barangan eksklusif.

Di samping pengenalan hotel tersebut, kemas kini ini turut menyertakan pelbagai penambahbaikan yang pastinya akan memudahkan urusan harian para pemain. Satu perubahan besar yang telah lama diminta oleh pemain ialah kebolehan untuk craft sehingga 10 barangan serentak, yang pastinya mempercepatkan proses kreativiti.
Selain itu, bahan-bahan untuk projek DIY kini boleh diambil terus dari ruang simpanan di dalam rumah, jadi pemain tidak lagi perlu sentiasa membawanya di dalam poket.

Tom Nook dan Isabelle di Resident Services juga menawarkan beberapa kemudahan baharu. Aplikasi DIY Recipes kini mempunyai satu halaman khas untuk memantau senarai permintaan rekaan hotel dan juga permintaan istimewa daripada Tom Nook.
Bagi aspek penyesuaian pulau pula, Isabelle kini boleh memberikan cadangan melodi untuk lagu tema pulau, termasuk melodi asal, dan pemain juga diberi pilihan untuk mengembalikan reka bentuk bendera pulau kepada rekaan asalnya.

Bagi meluaskan lagi aspek sosial, kemas kini ini memperkenalkan Slumber Island. Ciri ini berfungsi sebagai sebuah “dunia impian,” membolehkan beberapa pemain melawat dan menghias sebuah pulau secara bersama-sama.
Ia menawarkan kanvas baharu dan cara unik untuk berinteraksi dengan rakan-rakan serta komuniti yang lebih luas tanpa menjejaskan pulau utama masing-masing.

Bagi pemain yang berdepan kesukaran menguruskan pulau mereka, watak kegemaran ramai, Resetti, kembali dengan peranan baharu.
Beliau kini mengendalikan Resetti’s Reset Service, satu pilihan yang berguna untuk membantu pemain dengan tugas pembersihan pulau secara besar-besaran, menjadikan pengurusan dan rekaan semula lebih mudah berbanding sebelum ini.

Satu lagi perubahan ialah peningkatan kapasiti storan rumah yang sangat besar. Pemain kini boleh menyimpan sehingga 9,000 barangan. Kemas kini yang membawa perubahan besar ini menyediakan ruang yang lebih daripada mencukupi untuk setiap perabot, pakaian, dan bahan yang diingini oleh pemain.

Beberapa lagi penambahbaikan ketara untuk meningkatkan kualiti game termasuk:
- Pemain kini boleh membeli sehingga 50 unit Customization Kits sekali gus dari kedai Nook’s Cranny.
- Lebih banyak jenis barangan, seperti emping salji, kini boleh dijual melalui drop-off box.
- Pemain dijamin akan menerima sebiji mutiara daripada Pascal setiap kali memberikan kekapis.
- Kos untuk menggunakan khidmat Leif bagi membersihkan rumpai telah dikurangkan.
- Ada tugasan Nook Miles baharu serta petua tambahan dalam aplikasi Island Life 101.

Bagi pemain yang telah beralih ke konsol Nintendo Switch 2, edisi Animal Crossing: New Horizons – Nintendo Switch 2 Edition menjanjikan pengalaman yang lebih lancar. Edisi ini menampilkan peningkatan resolusi yang menyokong paparan 4K apabila dimainkan dalam mod TV.
Bilangan pemain untuk mod online multiplayer juga telah ditambah, membolehkan sehingga 12 pemain berada di satu pulau pada masa yang sama. Edisi Nintendo Switch 2 ini boleh didapati sama ada melalui pembelian game penuh ataupun sebagai pakej naik taraf untuk mereka yang sudah memiliki versi asal.

Kemas kini ini turut memperkenalkan barangan kolaborasi baharu dalam katalog Nook Shopping, antaranya perabot bertemakan LEGO dan barangan dari siri The Legend of Zelda serta Splatoon, yang boleh diakses menggunakan amiibo yang serasi.
Lebih menarik lagi, barangan yang dahulunya hanya boleh diperoleh oleh pemain yang memautkan akaun Animal Crossing: Pocket Camp mereka kini telah dibuka untuk dimiliki oleh semua pemain.

Nintendo turut menyelesaikan satu bug kecil yang spesifik kepada konsol Nintendo Switch 2, iaitu isu di mana bunyi permulaan aplikasi Nook Shopping pada telefon pintar dalam game tidak berbunyi seperti sepatutnya.
Perkhidmatan NookLink melalui Aplikasi Nintendo Switch juga telah menerima kemas kini, dengan penambahan artikel baharu dalam Island Newspaper serta sokongan untuk barangan baharu dalam katalog permainan.
Untuk info penuh, rujuk SINI.









Discussion about this post