Mengikuti perkembangan pembatalan acara E3 2020 kerana COVID-19, dan banyak khabar angin serta spekulasi mengenai acara tahun ini yang pernah menjadi pameran perdagangan permainan video paling penting di dunia, Entertainment Software Association (ESA) hari ini mengumumkan E3 2021 akan menjadi sebuah acara keseluruhan digital percuma yang berlangsung pada 12 hingga 15 Jun 2021 ini. Nintendo, Xbox, Capcom, Konami, Ubisoft, Take-Two Interactive, Warner Bros. Games, dan Koch Media nampaknya sudah dijadualkan untuk turut serta dalam acara yang besar ini.
Berita baiknya dalam pengumuman ini, ialah semua orang boleh pergi ke E3 tahun ini secara percuma! Berita baik yang lain adalah anda tidak perlu berfikir untuk membeli tiket yang sering kehabisan, atau beli tiket kapal terbang yang pastinya sangat sukar sekarang untuk mengambil bahagian dalam acara E3 yang besar di LA ini. Sebagai gantinya, kita semua akan duduk dengan selesa di rumah atau di tempat kerja, menonton skrin kita seperti biasa.
Sudah semestinya liputan E3 2021 akan kami kongsikan. E3 adalah sebuah acara yang akan menghubungkan pembangun dan penerbit permainan yang kini secara digital untuk peminat di seluruh dunia. Pengumuman ESA rasmi masih tidak menunjukkan rancangan digital atau jadual mereka. Tetapi, sudah semestinya kami menjangkakan akan ada banyak trailer dan temu ramah yang di pra-filemkan bersama orang dalam industri. Tetapi yang paling penting, acara E3 2021 adalah percuma tanpa perlu fikir susah untuk membeli tiket lagi.
“Selama lebih dari dua dekad, E3 telah menjadi tempat utama untuk menunjukkan yang terbaik ditawarkan industri permainan video, sambil menyatukan dunia melalui permainan,” kata Stanley Pierre-Louis, presiden dan CEO ESA melalui siaran akhbar. “Kami akan mengembangkan E3 tahun ini menjadi acara yang lebih inklusif, tetapi akan terus menggembirakan para peminat dengan pendedahan utama dan peluang orang dalam yang menjadikan acara ini sebagai pentas penting untuk permainan video.”
Jadi jangan lupa kunci tarikh 12 Jun 2021 ini untuk bersama tonton pengumuman pelbagai permainan video dan ikuti E3 di laman web rasmi mereka untuk maklumat terkini.
@gamersantaimy
Discussion about this post