Meskipun PlayStation sedang menuju ke arah masa depan serba digital Sony menegaskan bahawa konsol mereka masih memiliki satu kelebihan berbanding komputer: iaitu PS5 tetap jauh lebih mampu milik berbanding membina sebuah PC gaming.

Kenyataan itu disampaikan dalam sesi laporan kewangan Suku Pertama 2026 Sony. Sewaktu sesi tersebut, Minami Hase (Penganalisis Kanan Goldman Sachs) mempersoalkan sama ada langkah menamatkan cakera fizikal pada 2028 akan membuatkan PlayStation kehilangan keunikannya dan menjadi terlalu serupa dengan PC gaming… platform yang memang sudah lama meninggalkan media fizikal.
Namun, Lin Tao selaku Ketua Pegawai Kewangan Sony menepis kebimbangan itu. Beliau menegaskan bahawa cakera fizikal bukan faktor utama yang membuatkan orang ramai memilih PlayStation berbanding PC. Sebaliknya, harga yang berpatutan dan kemudahan penggunaan menjadi daya tarikan terbesar konsol mereka.
Menurut Tao, keunikan PlayStation bergantung kepada tiga kelebihan yang tidak dapat ditandingi oleh PC:
- Harga Lebih Mampu Milik: Menikmati pengalaman gaming berprestasi tinggi pada kos yang jauh lebih rendah berbanding membina sebuah high-end PC.
- Persekitaran Gaming yang Stabil: Pengalaman “plug-and-play” yang mudah tanpa perlu bersusah-payah mengemas kini driver, menaik taraf kad grafik, atau melaraskan pelbagai tetapan semata-mata untuk memastikan game berjalan lancar.
- Kandungan Terpilih: Ekosistem game yang dikawal dan direka khas khusus untuk konsol.

Bagi pemain di Malaysia, istilah “mampu milik” ini mungkin agak berbaur kontroversi; terutamanya selepas krisis harga komponen memori dan storan memaksa Sony menaikkan harga jualan konsol di pasaran tempatan pada Mei lalu.
Sebagai rujukan, berikut ialah senarai harga rasmi terkini konsol PlayStation di Malaysia:
- PS5 Digital Edition: RM2,499
- PS5 Standard (Disc Edition): RM2,799
- PS5 Pro: RM3,999
- PlayStation Portal: RM1,099

Meskipun ada kenaikan harga, hujah Tao masih ada asasnya apabila dibandingkan dengan kos membina sebuah custom PC di pasaran sekarang.
Untuk membina sebuah gaming PC tahap mid-to-high-end (yang bagus dengan perkakasan berjenama) di Malaysia ketika ini, kosnya boleh bermula RM4,500. Sebahagian besar disebabkan harga GPU, RAM, dan SSD yang masih tinggi. Jadi walaupun harga PS5 meningkat, ia masih jauh lebih murah berbanding membina PC yang menawarkan prestasi serupa.
Bagi Sony: selagi konsol lebih murah dan praktikal berbanding PC gaming, mereka yakin para gamer akan terus kekal bersama mereka.









Discussion about this post