Menurut perbincangan di Reddit oleh u/Slawrfp (yang berkahwin dengan seorang peguam merangkap penterjemah di China), beberapa keluarga di China berjaya menebus semula akaun game, barang maya, dan aset digital milik mendiang ahli keluarga di mahkamah.
Chinese gamers have successfully managed to sue for the right to inherit their deceased relatives’ game accounts
by u/Slawrfp in pcmasterrace
Pada tahun 2021, China menguatkuasakan “Civil Code” yang dikemas kini. Artikel 127 dalam kod tersebut secara jelas melindungi harta maya dan data. Selain itu, undang-undang melibatkan harta pusaka turut diperluas untuk merangkumi sebarang harta peribadi yang ditinggalkan oleh si mati.
Perubahan ini dibuat bagi memastikan takrifan tersebut cukup luas untuk melindungi aset era baharu seperti akaun dalam talian dan mata wang kripto.
Berdasarkan perundangan ini, mahkamah di China boleh menolak klausa seperti “tidak boleh dipindah milik” atau “larangan pewarisan” dalam Terms of Service mana-mana syarikat. Mahkamah memutuskan bahawa syarat syarikat tidak boleh mengatasi hak pewarisan keluarga yang sah di sisi undang-undang.

Beberapa kes mahkamah yang berlaku sebelum ini menunjukkan bagaimana pertikaian digital ini diselesaikan:
1. “Golden Knife” (2009)
Salah satu kes terawal melibatkan senjata in-game yang sangat sukar ditemui, iaitu “Golden Knife” (atau Golden Blade) dalam game MMORPG, Zhengtu. Selepas seorang pemain bernama Lu meninggal dunia, balunya Li Lan bercadang untuk menjual senjata tersebut yang dianggarkan bernilai 50,000 Yuan (sekitar RM30 ribu+).
Namun, senjata itu hanya boleh diperoleh melalui kerjasama antara Lu dan rakan kongsi atau “pasangan romantik” in-game beliau, Yang Yuan. Keadaan ini menyebabkan Yang Yuan mendakwa bahawa dia juga berhak ke atas senjata tersebut.
Mahkamah akhirnya memutuskan bahawa “Golden Knife” ialah harta yang boleh diwarisi kerana ia diperoleh melalui pelaburan wang sebenar, kos internet, dan usaha fizikal. Mahkamah turut menegaskan bahawa perkahwinan dalam game tidak mempunyai sebarang kesan undang-undang yang sah, lalu mengiktiraf Li Lan sebagai pewaris sah.
Namun, memandangkan Yang Yuan turut menyumbang usaha sama dalam mendapatkan senjata tersebut, mahkamah mengarahkan agar nilai jualan aset berkenaan dibahagikan sama rata (50/50) antara kedua-dua pihak.
2. Kes Aset Kripto dan Media Sosial (2024)
Satu kes pada tahun 2024 melibatkan seorang mendiang yang meninggalkan lima Bitcoin, satu gaming account bernilai hampir $30,000 (sekitar RM120 ribu+), serta beberapa akaun media sosial komersial.
Pada mulanya, pihak platform cuba menyekat pemindahan hak milik akaun tersebut dengan merujuk kepada perjanjian pengguna masing-masing.
Mahkamah memihak kepada keluarga si mati dan memutuskan bahawa sebarang aset yang mempunyai nilai gunaan, nilai pasaran, serta elemen kelangkaan dikira sebagai sebahagian daripada harta pusaka.
3. Kes Tuntutan 87 Akaun Game
Dalam satu kes lain, seorang ibu mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat ChangYou kerana enggan menyerahkan 87 akaun game milik mendiang anaknya.
Pihak ChangYou berhujah bahawa mengikut syarat perkhidmatan, syarikat adalah pemilik mutlak akaun-akaun berkenaan, manakala pengguna hanya memiliki hak penggunaan peribadi yang tidak boleh dipindah milik.
Mahkamah bersetuju bahawa dari sudut teknikal, struktur akaun sememangnya milik syarikat. Namun, mahkamah memutuskan bahawa hak untuk menggunakan akaun itu (termasuk data watak dan barangan maya di dalamnya) merupakan harta maya yang mempunyai nilai ekonomi sebenar.
Kesannya, mahkamah mengarahkan ChangYou untuk membantu si ibu memindahkan semua akaun tersebut dan menukar nama pemilik berdaftar kepada nama beliau.



![[Eksklusif] Bagaimana Indie Wavemakers Mengangkat Martabat Game Indie, Bersama Pengasas Elicia Lee](https://cdn.gamersantai.com/2026/07/INDIE-WAVEMAKERS-EXCHANGE_INTERVIU_FI-350x250.jpg)




Discussion about this post