Selepas pre-order digital mula dibuka pada hujung Jun lalu, laporan baharu daripada firma penganalisis Newzoo berkongsi bahawa Grand Theft Auto VI (GTA VI/6) mungkin akan melakar salah satu pelancaran terbesar dalam sejarah dalam industri hiburan.
Menurut data daripada Game Performance Monitor oleh Newzoo, GTA 6 berjaya menjana sekitar $180 juta daripada digital pre-order pada minggu pertama di Amerika Syarikat serta lima pasaran utama Eropah (UK, Jerman, Perancis, Itali, dan Sepanyol). Secara am, enam negara ini menyumbang kira-kira 69% daripada keseluruhan pangkalan pemain konsol untuk francais tersebut. Oleh itu, Newzoo menganggarkan bahawa kutipan pre-order global sebenarnya telah pun mencecah hampir $260 million pada minggu pertama sahaja.
Newzoo menyifatkan pencapaian ini sebagai kempen pre-order paling hebat yang pernah mereka rekodkan. Pada masa yang sama, firma itu turut menyangkal khabar angin yang tular di media sosial kononnya game itu sudah pun melepasi angka $1 bilion dalam kutipan pre-order.
“Berbeza dengan dakwaan di media sosial, GTA 6 belum lagi meraih satu bilion dolar dalam pre-order berbaki 21 minggu sebelum pelancarannya,” kata Ronan Patrick, seorang perunding pengurusan di Newzoo. Beliau anggap dakwaan tersebut sebagai “mengarut” sambil menjelaskan bahawa mengikut corak pre-order biasa, tiada permainan video yang mampu mencapai angka sedemikian menerusi tempahan awal sahaja, malah situasi itu juga mustahil berlaku dalam masa terdekat.
Sebaliknya, Newzoo menggunakan angka permulaan global sebanyak $260 juta untuk meramal prestasi minggu pertama GTA VI. Bergantung kepada jualan, game ini mampu membawa masuk antara $3.25 bilion hingga $5.2 bilion dalam tempoh tujuh hari pertama di pasaran.
Meskipun menggunakan senario yang lebih konservatif (sekiranya ada sedikit ketidaktentuan terhadap prestasinya), game ini tetap diramal mampu menjana $3.25 bilion (kira-kira 37 juta unit terjual) pada minggu pertama.
Sudah tentu, semua angka ini bukannya jaminan mutlak. Kita akan tahu nanti apabila game ini dilancarkan pada 19 November 2026.



![[Eksklusif] Bagaimana Indie Wavemakers Mengangkat Martabat Game Indie, Bersama Pengasas Elicia Lee](https://cdn.gamersantai.com/2026/07/INDIE-WAVEMAKERS-EXCHANGE_INTERVIU_FI-350x250.jpg)





Discussion about this post