Square Enix telah melancarkan semula game klasik tahun 1997, Final Fantasy VII, dalam versi yang lebih moden untuk platform PC. Bermula hari ini, peminat boleh mendapatkan game yang telah dikemas kini ini menerusi Steam dan GOG pada harga RM29.99.
Bagi yang pertama kali ingin mencuba, Final Fantasy VII mengisahkan pengembaraan Cloud Strife, seorang tentera upahan dan juga bekas ahli unit elit SOLDIER.
Beliau menyertai kumpulan pemberontak Avalanche untuk menentang Shinra Electric Power Company; sebuah syarikat gergasi yang mengeksploitasi Mako (tenaga hayat planet) demi keuntungan komersial.
Konflik yang bermula di kota Midgar ini akhirnya berkembang menjadi sebuah misi besar untuk menyelamatkan dunia, di samping memaksa Cloud berdepan dengan rahsia masa lalunya yang hilang.

Walaupun projek trilogi Remake kini menghampiri fasa penamat, pelancaran versi PC ini memastikan judul original yang mencorak sejarah industri gaming tetap mudah diakses, mampu milik, dan dioptimumkan sepenuhnya untuk perkakasan komputer zaman sekarang.

Berita baik buat pemain Steam yang sudah pun memiliki game ini sebelum ini: anda akan menerima versi baharu tersebut secara percuma dalam library. Bagi memudahkan perbezaan, Square Enix telah menamakan semula versi terdahulu sebagai Final Fantasy VII – 2013 Edition.
Walaupun 2013 Edition masih boleh dimainkan oleh pemilik sedia ada, ia tidak lagi dijual kepada pembeli baharu. Selain itu, save data daripada versi lama tidak serasi dengan versi 2026 ini. Ini bermakna, anda perlu memulakan pengembaraan dari awal jika ingin menikmati ciri-ciri moden yang disediakan.
Kelebihan Versi Baharu?

Walaupun jalan cerita, kualiti visual, dan sistem turn-based combat dikekalkan seperti asal, Square Enix menyertakan beberapa “booster” yang kini menjadi standard bagi game moden. Penambahbaikan ini bertujuan menjadikan RPG berusia hampir tiga dekad ini lebih mesra kepada pemain generasi baharu:
- Autosave: Memastikan kemajuan game disimpan secara automatik, jadi anda tidak perlu risau jika terlupa untuk menggunakan save point manual.
- 3x Speed Mode: Membolehkan game berjalan tiga kali lebih pantas. Ciri ini berguna untuk mempercepatkan animasi ketika bertarung atau semasa mengembara di dalam dunia.
- No Encounters: Pemain mempunyai pilihan untuk mematikan fungsi random battle sepenuhnya. Ini memudahkan eksplorasi tanpa gangguan musuh, tetapi boss fight yang berkaitan dengan jalan cerita masih wajib diselesaikan.
- Battle Enhancement Mode: Sesuai untuk mereka yang hanya ingin menikmati naratif permainan. Mod ini bertindak seumpama “God Mode” di mana HP dan MP akan diisi semula secara automatik, manakala tolok Limit Break akan sentiasa berada pada tahap maksimum.




![[Eksklusif] Sambil Cuba Durian Malaysia, Pengarah Ryosuke Horii Jawab Soalan Panas Yakuza/Like a Dragon!](https://cdn.gamersantai.com/2026/02/Ryosuke-Horii_INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post