EA SPORTS telah mendedahkan butiran terperinci tentang gameplay EA SPORTS FC 26.
Melalui sebuah trailer dan blog Pitch Notes, pasukan pembangun telah menggariskan pelbagai kemas kini penting yang bermatlamat untuk meningkatkan realisme, kawalan, dan responsif pemain. Perubahan paling ketara ialah pemisahan gameplay kepada dua preset berbeza: Competitive dan Authentic.
Rombakan ini dibina atas tiga teras utama: pemisahan gameplay baharu, penambahbaikan pada mekanik asas, dan pengenalan ciri-ciri berdasarkan permintaan komuniti.
Competitive lwn. Authentic
Perubahan terbesar dalam FC 26 ialah pembahagian gameplay kepada dua pengalaman berbeza. Langkah ini membolehkan pembangun mengubah suai mekanik game secara khusus untuk mod yang berlainan, sekali gus memenuhi permintaan komuniti sejak sekian lama.

Gameplay Competitive, yang akan menjadi tetapan standard untuk mod online seperti Ultimate Team dan Clubs, direka untuk memberikan tindak balas pantas dan kawalan pemain yang maksimum.
Preset ini menampilkan animasi yang lebih laju, gelecekan yang lebih lincah, bantuan AI yang dikurangkan semasa bertahan, dan sistem stamina yang diubah suai di mana stamina pemain yang anda kawal tidak akan memberi kesan buruk, bagi memastikan prestasi sentiasa konsisten.

Sebaliknya, Gameplay Authentic akan menjadi tetapan utama untuk mod offline seperti Career Mode. Preset ini lebih menekankan realisme dan pengalaman, menampilkan rentak permainan yang lebih perlahan, lantunan bola yang lebih berasaskan fizik, serta pertahanan AI yang lebih bijak meniru taktik sebenar.
Mod Authentic juga akan menyertakan slider gameplay baharu untuk aspek seperti Header Error dan Tackle Assistance, memberikan pemain kawalan terperinci ke atas pengalaman solo mereka.
Penambahbaikan Utama di Atas Padang
Merentasi kedua-dua preset gameplay, FC 26 memperkenalkan pelbagai penambahbaikan pada mekanik teras:
Dribbling dan Pergerakan: Sistem “Dynamic Dribbling” yang baharu menjanjikan kawalan yang lebih licin dan responsif. Mekanik Agile Dribbling telah dibuang bagi memudahkan lagi kawalan. Pergerakan pemain juga ditala agar terasa lebih bertenaga, dengan kembalinya tiga Jenis Pecutan (Acceleration Types) yang berbeza (Explosive, Lengthy, Controlled) untuk kelajuan yang lebih mudah dijangka.

Penjaga Gol: Penjaga gol telah menerima naik taraf yang besar, menampilkan logik tepisan yang lebih baik untuk menepis bola jauh dari kawasan bahaya, penjagaan posisi yang lebih bijak melalui sistem Reinforcement-Learning (RL) baharu, dan animasi volumetrik baharu untuk pergerakan yang lebih hidup. Mod “Be-A-Goalkeeper” juga telah dirombak semula sepenuhnya dengan skim kawalan yang baharu.

Pertahanan dan Fizikaliti: Fokus utama telah diberikan untuk memberi kelebihan kepada tackle yang dibuat pada masa yang tepat dengan mengurangkan secara drastik kekerapan ‘bola melantun’ semula kepada penyerang. Sistem Shielding yang direka semula sepenuhnya dan ciri “Contested Box Outs” baharu untuk perebutan bola di udara bertujuan untuk menjadikan permainan fizikal lebih mantap dan berkesan.

Passing dan Shooting: Perubahan paling drastik ialah pembuangan sepenuhnya ciri Timed Finishing. Menurut pembangun, mekanik tersebut “tidak memberi impak besar kepada tahap kemahiran” dan sukar untuk diseimbangkan. Ia telah digantikan dengan mekanik Low Driven Shot baharu, yang diaktifkan dengan menekan butang shoot sebanyak dua kali. Selain itu, sepakan Trivela yang popular kini hanya boleh dilakukan oleh pemain dengan PlayStyle “Gamechanger” yang baharu, satu langkah untuk mengehadkan penggunaannya yang melampau.

Ciri Permintaan Komuniti & Kebolehcapaian
EA SPORTS turut menekankan bahawa FC 26 dibangunkan berdasarkan maklum balas peminat, dengan beberapa ciri baharu diperkenalkan atas permintaan komuniti.
Fokus utama diberikan kepada kebolehcapaian, dengan pengenalan High-Contrast Mode untuk meningkatkan tahap penglihatan bagi pemain yang kurang upaya penglihatan, berserta pilihan untuk mematikan bayang-bayang pemain dan stadium.

Aspek taktikal diperkaya dalam FC IQ dengan empat peranan pemain baharu, termasuk Inverted Wingback dan Ball-Playing Keeper. Pemain kini juga boleh menyimpan sehingga 10 tetapan taktik khas yang boleh digunakan dalam mod yang berbeza.
PlayStyles telah diseimbangkan semula agar atribut pemain lebih memberi impak, dan beberapa PlayStyles baharu seperti Enforcer dan Precision Header turut ditambah.

Game ini akan keluar di PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S, Xbox One, PC, Nintendo Switch, dan Nintendo Switch 2. Ia akan tersedia mulai 26 September 2025, manakala pembeli Ultimate Edition akan mendapat akses awal mulai 19 September.
Untuk maklumat lanjut tentang, baca SINI.









Discussion about this post