Hari Bapa adalah hari untuk meraikan sifat kebapaan, ikatan kasih sayang dan pengaruh bapa dalam institusi kekeluargaan. Sudah mesti, bapa memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak menjadi seorang yang berakhlak suatu hari nanti. Dalam masa yang sama, setiap individu yang bergelar bapa ini mempunyai hobi mereka tersendiri. Kali ini, Gamer Santai menemuramah 3 bapa yang mempunyai minat dalam gaming dan seterusnya menanyakan bagaimana mereka boleh mengekalkan hobi tersebut walaupun sudah berkeluarga. Isteri tak marah ke?
1. Mohamad Wafiuddin Bin Mohamadiah
Encik Wafiuddin Mohamadiah, bapa kepada 2 orang anak ini merupakan seorang gamer yang mula terjebak dengan permainan video sejak dari kecil. Ianya bermula dengan bapanya sendiri yang membelikan beliau game seperti Duck Shooter dan Tetris. Bukan itu sahaja, kadang-kadang masa lapang mereka diisi dengan aktiviti catur bersama seisi keluarga.
- Setelah berkeluarga, bagaimanakah anda sebagai bapa mencari masa untuk bermain permainan video?
Sebagai empunya kedai berasaskan permainan video elektronik (KitaGamers Station), masa untuk bermain sentiasa ada disebabkan hari-hari bekerja dengan permainan video. Tetapi tiada masa khas yang ditetapkan untuk bermain. Selalunya main selang masa ketika tiada pelanggan di kedai. Di rumah biasanya tiada permainan video disediakan kecuali hari-hari tertentu seperti cuti panjang sahaja, konsol permainan PlayStation 4 akan dibawa balik ke rumah untuk bermain. Ketika tiada konsol di rumah, permainan mudah alih menjadi pilihan selepas urusan anak-anak dan rumah selesai. Waktu bermain tidak menentu, 1 hingga 2 jam kebiasaannya pada hari biasa. Hari minggu lebih kepada masa bersama keluarga.
- Jika anak-anak melihat anda bermain, adakah anda turut membenarkan mereka bermain bersama?
Anak-anak dibenarkan untuk bermain bersama atau bermain sendiri bergantung kepada jenis permainan. Saya penggemar permainan FPS multiplayer online seperti Battlefield, Fortnite, Apex Legend dan Diablo 3. Anak-anak saya dibenarkan main permainan yang lebih sesuai seperti siri LEGO, Frozen, Little Big Planet, atau lain-lain permainan yang mudah dan menggunakan minda. Syarat utama biasanya selepas selesai siapkan kerja sekolah dan buku latihan. Masa biasanya dihadkan tidak lebih 1 jam.
- Kanak-kanak yang didedahkan dengan video games pada usia yang terlalu muda mampu menyebabkan ketagihan dan membuang masa. Apa pendapat anda?
Ketagihan dapat diatasi dengan disiplin dan kemahiran mengurus masa yang betul. Peranan dan tanggungjawab mengawal serta mendidik adalah daripada orang sekitar yang lebih matang. Ibu bapa kena mainkan peranan dalam hal ini. Ketika kecil ibu bapa benarkan main game untuk masa-masa tertentu sahaja, dan anak-anak perlu dididik untuk tepati masa yang ditetapkan oleh ibu bapa. Jenis kandungan permainan juga harus dikawal oleh ibu bapa.
- Jika suatu hari nanti, anak anda ingin terjebak dengan dunia eSports, adakah anda akan menyokongnya?
Sudah tentu ya. Memandangkan saya terlibat secara langsung dalam dunia e-sukan ketika ini. Keseimbangan dalam pelajaran, e-sukan, kemahiran hidup sosial, dan didikan agama hendaklah cukup dan dititikberatkan. Minat juga memainkan peranan penting, jika anak-anak tidak minat terhadap e-sukan pada masa akan datang, tidaklah saya akan memaksa mereka untuk turut ikut jejak langkah saya.
2. Mohd Faiz
Mohd Faiz, juga adalah salah seorang bapa gamer, yang kadang-kadang melakukan stream beliau di Youtube. Mempunyai konsol PS4 dan selalu bermain online bersama rakan-rakannya, beliau mula bermain permainan video sejak kecik lagi, apabila bapanya membelikan game-game kaset contohnya seperti Super Mario dan Contra.
- Setelah berkeluarga, bagaimanakah anda sebagai bapa mencari masa untuk bermain permainan video?
Bergelar bapa, agak susah bagi beliau mencari masa untuk bermain, itu tidak dapat dinafikan. Beliau mengatakan selalu bermain pada waktu 11 malam sehingga 2 pagi. Dalam masa yang sama, beliau juga mengakui yang ketika zaman bujangnya, dia boleh main all-night long!
- Jika anak-anak melihat anda bermain, adakah anda turut membenarkan mereka bermain bersama?
Ya, saya akan benarkan. Selalunya game seperti PES di platform PS4.
- Kanak-kanak yang didedahkan dengan video games pada usia yang terlalu muda mampu menyebabkan ketagihan dan membuang masa. Apa pendapat anda?
Anak saya yang sulung memang sangat meminati games. Jadi, saya memang benarkan, tetapi mempunyai had limit 3 jam sahaja pada hari bercuti. Game ini sebenarnya takdelah membuang masa kerana ia dapat menguji dan menjana minda anak-anak untuk berfikir.
- Jika suatu hari nanti, anak anda ingin terjebak dengan dunia eSports, adakah anda akan menyokongnya?
Saya akan menyokong selagi ia bukan benda yang salah disisi undang-undang. Wow, jawapan bernas! Bravo.
3. Mdnoor
En Mdnoor, bapa kepada 3 orang anak ini juga merupakan peminat tegar gaming yang menggunakan ketiga-tiga platform iaitu PS4, PC dan juga Mobile.
- Setelah berkeluarga, bagaimanakah anda sebagai bapa mencari masa untuk bermain permainan video?
Beliau akan meluangkan masa bermain permainan video sekurang-kurangnya selama 3 jam setiap hari, dan selalunya selepas jam 9 malam berikutan masa siang yang sibuk dengan kerja.
- Jika anak-anak melihat anda bermain, adakah anda turut membenarkan mereka bermain bersama?
Jawapan yang ringkas dan direct – Tidak.
- Kanak-kanak yang didedahkan dengan video games pada usia yang terlalu muda mampu menyebabkan ketagihan dan membuang masa. Apa pendapat anda?
Boleh main tapi perlu dikawal, saya mula bermain ketika darjah 5, main di cybercafe, tetapi disebabkan ibu bapa saya yang pandai kawal, saya elok je membesar jadi orang.
- Jika suatu hari nanti, anak anda ingin terjebak dengan dunia eSports, adakah anda akan menyokongnya?
Ya, e-sukan pada waktu sekarang, boleh dijadikan punca pendapatan. Tiada masalah katanya, asalkan mereka yang bermain tidak mengabaikan tanggungjawab seharian.
Itu sahaja temuramah kami bersama 3 bapa gamers untuk tahun 2019! Semoga apa yang telah dikongsikan mereka ini dapat memberikan inspirasi pada bapa-bapa di luar sana, terutamanya yang turut terjebak dengan gaming, supaya keep on gaming! Walaupun sudah berkeluarga, mereka jelas sentiasa meneruskan bermain, malah turut akan menyokong anak-anak jika mereka terjebak dengan hobi tersebut. Mungkin kesempitan masa, tetapi apabila peluang dicari, semuanya pasti akan menjadi. Tak tahu nak beli hadiah apa untuk bapa korang? Jom baca sini!
Selamat hari bapa kami ucapkan, khas dari Gamer Santai!
@gamersantaimy
Discussion about this post