UPDATE: Baru-baru ini, akaun Twitter rasmi untuk Yusuke Murata (pelukis One-Punch Man dan Eyeshield 21) telah mendedahkan teaser animasi baharu untuk projek anime ‘Zaiyuki‘ yang dilakukan bersama Studio Village. Dimuat naik dalam dua tweet berasingan tanpa audio dan sari kata audio, teaser ini memberikan gambaran lebih jelas kepada kehidupan watak utama.
Dalam video pertama, kita dapat melihat protagonis adalah seorang kappa bernama Gojo (nama tidak rasmi) dengan pelbagai kelemahan -tidak tahu berenang, selalu kalah dalam sumo, dan membenci timun- sedangkan itu semua ciri-ciri seorang makhluk kappa.
Tidak lama selepas itu, dia cuba mengambil bahagian dalam permainan loteri di karnival dan berjaya memenangi hadiah utama iaitu pakej lawatan ke India. D lapangan terbang, dia sedang menunggu dalam barisan apabila seorang lelaki tua datang menghampirinya untuk meminta bantuan.
Gojo menerima sekeping gambar dan bola misteri daripada lelaki itu di mana seekor monyet emas tiba-tiba menetas keluar daripada bola apabila si Kappa tiba di India. Untuk memburukkan keadaan, pihak polis pun mengepung mereka lantas membuatkan monyet itu (Sun Wukong) mengeluarkan tongkat merah lalu melindungi Gojo.
Kemudian, duo itu ditarik ke dalam van yang dipandu oleh lelaki dalam gambar sambil turut ditemani oleh seorang wanita cantik dengan ciri-ciri haiwan. Maka, mula mulalah pengembaraan mereka.
Artikel original adalah seperti berikut:
Di dalam dunia manga dan anime, Yusuke Murata adalah antara artis paling terkenal di bidang itu dengan karya-karya hebat seperti One Punch Man dan Eyeshield 21. Kini, semua komuniti anime tertumpu padanya sekali lagi kerana Murata baru sahaja mendedahkan info eksklusif tentang produksi anime pertamanya, Zaiyuki!
Khususnya, Murata memuat naik teaser anime yang ‘simple’ dan lakaran bagi reka bentuk watak utama di halaman Twitter. Berikut adalah teaser-nya:
Ini merupakan “projek anime besar pertama” untuk Village Studio; sebuah studio anime serba baharu yang dicipta bersama bantuan Murata. Jika semua berjalan lancar, saya harapkan nilai produksi pun berkualiti seperti One Punch Man Season 1 walaupun pasukan mereka kecil.
Daripada segi jalan cerita, Zaiyuki menceritakan tentang seorang budak kappa (makhluk mitologi Jepun) yang memulakan pengembaraan besar selepas bertemu dengan seorang pemburu harta karun. Daripada mesejnya di Twitter, Murata mengusik cerita itu akan memfokuskan pada tema “kekayaan”, “bersalah” dan “keberanian” di mana latar belakang umum diinspirasikan oleh kisah dongeng Journey to the West.
Selain teaser tadi, Murata turut menunjukkan reka bentuk bagi empat watak utama, yang juga diilhamkan oleh Journey to the West. Berikut adalah reka bentuknya (segala nama di bawah belum disahkan, hanya penterjemahan kasar):
Malangnya, Murata tidak mendedahkan butiran lanjut tentang anime Zaiyuki seperti tarikh keluaran tepat, naratif, pelakon suara dan bentuk format anime ini; (sama ada ia filem, OVA atau siri anime penuh). Jadi peminat terpaksa menunggu sedikit lebih lama untuk info lanjut.
Memandangkan ini anime pertama Yusuke Murata selepas sekian lama terlibat dengan One Punch Man, saya faham ramai yang tidak sabar untuk melihat Zaiyuki, jadi moga-moga ia keluar seawal tahun ini.
Untuk membaca segala liputan kami tentang siri One Punch Man termasuk spoiler dan fakta menarik lain, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post