Tidak lama selepas pelancarannya di seluruh dunia pada 4 Disember 2025, kami telah menerima sebuah kotak istimewa, iaitu Octopath Traveler 0 Collector’s Edition. Sebagai peminat setia siri HD-2D ciptaan Square Enix, sudah tentu kami teruja untuk mengupas setiap khazanah di dalamnya dan menyelami dunia permainan yang kini hangat menjadi sebutan.

Bagi yang kurang tahu, Octopath Traveler 0 ialah prequel kepada RPG popular yang dibangunkan bersama oleh Square Enix dan DokiDoki Groove Works. Game ini, yang tersedia untuk platform Nintendo Switch 2, PlayStation 5, Xbox Series X/S, dan PC, membawa pemain mengembara semula ke benua Orsterra melalui sebuah kembara baharu yang lebih bersifat peribadi. Fokus penceritaannya beralih daripada lapan watak wira kepada seorang protagonis tunggal yang boleh diubah suai, dikenali sebagai “Ringbearer.” Kisahnya bermula apabila kampung watak ini di Wishvale dilanda tragedi kemusnahan. Dari situ, bermulalah sebuah perjalanan bertemakan pembalasan dendam dan usaha pembangunan semula, dengan jalan cerita yang lebih gelap dan matang.

Sekarang, jom kita lihat segala kandungan yang terdapat di dalam Collector’s Edition ini.
Harta Karun dari Orsterra
Di dalam kotak kami terima, ada game edisi fizikal untuk konsol Switch 2, disertakan dengan kod naik taraf ke Digital Deluxe Edition. Namun, tarikan utamanya sudah tentu terletak pada enam item eksklusif yang disertakan, di mana setiap satunya terasa seolah-olah artifak sebenar dari dunia permainan itu sendiri.




Item pertama yang dikeluarkan dari kotak ialah Ring of the Flamebringer. Sekilas pandang, cincin replika yang diperbuat daripada aloi zink ini (merupakan key item dalam game) kelihatan serupa seperti dalam game, cuma dalam versi realistik. Cincin bersaiz 21 (saiz Jepun) ini didatangkan dalam sebuah bekas pameran berwarna putih, membuatkan kami berasa seperti the Chosen One, iaitu watak Ringbearer itu sendiri, dan sememangnya sebuah memorabilia yang sangat menarik.

Seterusnya ialah Traveler’s Playing Cards. Bekas penyimpanannya direka dengan cantik, diilhamkan daripada jurnal “Chronicles of the Guardians of Light” yang muncul semasa proses penciptaan watak. Setiap kad dihiasi dengan ilustrasi cantik yang memaparkan watak-watak traveler serta boss hebat yang akan ditemui dalam game. Sebagai sentuhan kreatif, imej tradisional dalam kad telah digantikan dengan tema-tema utama permainan: Wealth, Power, Fame, dan the Ring.


Bagi peminat tabletop RPG, set ini turut menyertakan tiga buah 8-Sided Dice of Wealth, Power, and Fame. Ini bukanlah dadu plastik biasa; ia diperbuat daripada logam yang terasa berat apabila dipegang, serta dipadankan dengan kemasan patina bergaya antik. Dadu ini memancarkan aura kuno ala game medieval, menjadikannya pelengkap untuk gaming mat yang disediakan.


Bercakap tentang mat tersebut, ia menjadi satu lagi tambahan menarik. Orsterra Continent Map Gaming Mat ini menampilkan ilustrasi peta benua Orsterra yang dilukis khas untuk Octopath Traveler 0. Permukaannya sesuai untuk melontar dadu logam yang berat tanpa perlu risau, selain berfungsi sebagai alas pameran yang ideal untuk kesemua komponen Collector’s Edition ini.

Pengalaman audio merupakan elemen penting dalam siri Octopath, dan edisi ini tidak mengecewakan dengan menyertakan CD muzik OCTOPATH TRAVELER Arrangements Break & Boost Vol. 3. Album ini merupakan keluaran awal bagi gubahan muzik terbaharu daripada kugiran, OCTOPATH BB Band, dan diterbitkan sepenuhnya oleh komposer Yasunori Nishiki. Ia mengandungi 10 buah lagu, termasuk main theme baharu dan battle anthem.


Akhir sekali ialah OCTOPATH TRAVELER 0 ART BOOKLET. Buku hardcover setebal 48 muka surat ini memuatkan koleksi ilustrasi yang memaparkan lebih 30 watak traveler yang boleh direkrut sepanjang pengembaraan. Buku ini didatangkan dengan amaran spoiler, jadi bacalah selepas anda menamatkan game asas.


Jika berminat, anda boleh mendapatkan Octopath Traveler 0 Collector’s Edition sekarang. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post