Trials of Mana adalah action RPG yang dibangunkan dan diterbitkan oleh Square Enix dan merupakan REMAKE kepada Seiken Densetsu III yang awalnya dilancarkan di Jepun pada tahun 1995 tetapi tidak pernah tersedia di pasaran global. Kini selepas 25 tahun pelancaran asal, Square Enix mengembalikan siri Mana dengan Remake hebat ini untuk pelantar PlayStation 4, Nintendo Switch, dan PC (Steam). Tetapi adakah ia cukup bagus untuk menghidupkan siri yang sangat terkenal di Jepun, atau adakah Remake ini hanya suam-suam? Inilah ulasan kami untuk Trials of Mana.
Jalan cerita Linear dan tak perlu pening kepala
Jalan cerita di Trials of Mana memfokuskan kepada enam wira berbeza yang dipilih untuk menyelamatkan dunia. Daripada enam wira ini, anda memilih satu untuk bermain sebagai watak utama. Setiap watak juga menentukan antara tiga antagonis berbeza. Kemudian, anda memilih dua lagi watak sampingan untuk membantu anda, tetapi malangnya cerita mereka tidak begitu mendalam seperti watak utama. Untuk benar-benar melihat semua yang ditawarkan di Trials of Mana, anda harus bermain game ini sebanyak tiga kali – satu percubaan untuk setiap antagonis.
Sebilangan besar NPC utama seperti Richard, Hero King of Valsena, Valda, Queen of Altena daripada Heroes of Mana (prekuel) juga membuat kemunculan. Sebagai bonus untuk peminat, Remake mempunyai jalan cerita yang lebih mendalam daripada yang asli. Setelah mengalahkan bos terakhir, anda boleh bertarung dengan bos pilihan – Anise, yang sudah lama wujud sejak Dawn of Mana (Seiken Densetsu 1).
Saya suka betapa mudahnya untuk bernavigasi dari babak ke babak dalam Trials of Mana. Tidak ada satu misi sampingan – yang mungkin berita sedih bagi sesetengah orang, tetapi saya merasa ciri ini membuatkan saya lebih santai ketika bermain. Jika direka dengan salah, misi sampingan boleh menjadi medium yang merosakkan pengalaman keseluruhan. Sebaliknya, Trials of Mana menawarkan pengalaman mudah yang bantu mengarahkan pemain ke tempat mereka perlu pergi dengan bintang kuning bercahaya yang mustahil untuk anda terlepas di mini-map.
Sistem pertempuran yang lebih lancar dan bebas
Pertempuran berlaku dalam “real-time“, seperti yang ori, tetapi Remake menambah banyak peningkatan yang membuatkan pertempuran kurang repetitif dan lebih menyeronokkan. Salah satu peningkatan tersebut ialah penambahan mekanik “dodge roll“, yang melancarkan lagi pertempuran. Selain itu, anda boleh menghentikan masa dengan menekan pilihan Item atau Move (abiliti). Ini membolehkan anda membuat keputusan lebih taktikal semasa pertempuran. Seterusnya, anda boleh memilih untuk menukar kepada mana-mana watak dengan hanya satu butang. Sedikit tips untuk cara bermain: saya akan menggunakan Class Strike (abiliti kuat yang melakukan damage tinggi) pada satu watak dan segera beralih ke watak lain untuk melakukan Class Strike mereka.
Satu aspek dalam Trials of Mana yang saya harap lebih banyak RPG masukkan adalah sistem Strategi. Sistem Strategi membenarkan anda untuk mengubah suai tingkah laku AI dalam pertempuran. Dengan menggunakan sistem ini, saya membuatkan agar party saya bebas untuk menggunakan kedua-dua abiliti dan item, tetapi melarang mereka untuk menggunakan Class Strike. Setiap pemain boleh mengubah suai party untuk menunjukkan prestasi terbaik bagi gaya permainan mereka sendiri.
Bahagian terbaik dalam pertempuran Trials of Mana datang semasa pertarungan bos. Saat-saat kegemaran saya semasa pertarungan bos adalah apabila kita harus mengelak daripada lingkaran Area of Effect (AoE). Abiliti musuh sering ditonjolkan dengan bulatan merah terang di tanah. Ini memberi amaran kepada anda untuk mengelak kawasan tersebut.
Abiliti dan Kelas berbeza mengikut pilihan pemain
Kebanyakkan kemenangan saya dalam Trials of Mana adalah berkat abiliti berbeza yang dimiliki oleh setiap watak. Apabila watak meningkat “level“, mereka mendapat mata yang dapat diperuntukkan kepada lima statistik berbeza iaitu: strength, stamina, intellect, spirit, atau luck. Setiap statistik menawarkan kebolehan dan bonus pasif yang berbeza, selain mempelajari abiliti baru, setelah memasukkan sejumlah mata bonus ke dalamnya. Abiliti baru ini harus di “equip” terlebih dahulu agar dapat aktif, dan beberapa abiliti juga dapat dikongsi antara watak.
Anda perlu membuka slot untuk “equip” abiliti baru tersebut. Slot hanya dibuka setelah meningkatkan kelas watak. Kelas 2 dibuka pada level 18, tetapi Kelas 3 tidak tersedia sehingga level 38. Dengar seperti mudah? Terdapat item khusus untuk dicari bagi setiap watak agar anda dapat menaik taraf kelas mereka. Masa untuk grinding~
Kandungan New Game+ menarik dan memudahkan perjalanan
Sebilangan besar kandungan yang paling mencabar tersedia setelah menyelesaikan jalan cerita utama. Saya tidak akan “spoiler” mana-mana kandungan, tetapi saya jamin ia adalah antara bahagian yang paling memuaskan sepanjang permainan dan menawarkan beberapa pertarungan bos paling sukar. Sebagai tambahan, Kelas 4 adalah ciri baru untuk remake Trials of Mana. Sebaik sahaja anda mengalahkan jalan cerita utama, setiap watak diberi “mini-quest” sendiri yang biasanya melibatkan satu pertarungan bos. Setelah menyelesaikan misi itu, anda akan mendapat item yang diperlukan untuk berubah kepada Kelas 4 iaitu kelas tertinggi dalam permainan.
Satu perkara bagus adalah New Game+ menyimpan semua item, training point, dan duit serta memulakan permainan dengan tetapan yang lebih sukar bersama watak lain. Skill, spell, abiliti, dan kelas tidak boleh dibawa tetapi kelebihan lain pasti memudahkan sesi permainan kedua. Pastikan anda memanfaatkan “chain abilities” yang memberikan x300 EXP setelah mengalahkan musuh dalam pertempuran dan penambahan 50 mata untuk tingkatkan statistik watak.
Seperti mana-mana permainan dalam siri Mana, Trials of Mana menampilkan ciri siang dan malam, serta hari-hari berlainan yang dinamakan berdasarkan makhluk elemen mana. Ini adalah sedikit tips daripada saya:
- Luna Day: Damage yang lebih tinggi untuk Moon magic.
- Salamander Day: Damage yang lebih tinggi untuk Fire magic.
- Undine Day: Damage yang lebih tinggi untuk Water magic.
- Dryad Day: Damage yang lebih tinggi untuk Wood magic.
- Jinn Day: Damage yang lebih tinggi untuk Wind magic.
- Gnome Day: Damage yang lebih tinggi untuk Earth magic.
- Mana Holy Day: Tiada kelebihan tambahan.
Kesimpulan
Trials of Mana adalah Remake yang hebat untuk sebuah action RPG yang tidak pernah sampai ke pasaran global sehingga baru-baru ini. Sudah terbukti bahawa banyak usaha telah dilakukan untuk menciptakan pengalaman paling mirip dengan yang asli, dengan beberapa penambahan bagus yang sesuai pada era ini. Malah, soundtrack epik mereka direka semula dengan bantuan orkestra penuh. Pemain yang tidak menjejalah tetapan mungkin tidak tahu, tetapi Trials of Mana membenarkan anda untuk memilih antara soundtrack Remake atau 16-bit klasik.
Walaupun pertempuran mungkin repetitif dan pertarungan bos pada awal tidak mencabar, Trials of Mana mempunyai banyak daya tarikan yang mudah diakses oleh pemain baru atau peminat lama. Dengan enam watak untuk dipilih, dan kombinasi party yang berbeza, keseluruhan pengalaman permainan pasti berbeza tiap kali. Untuk jumlah “gameplay” yang ditawarkan – terutamanya daripada segi “replayability” jika anda ingin melihat kesemua kandungan – tidak banyak JRPG yang seronok untuk dimainkan seperti Trials of Mana.
@gamersantaimy
The Review
Trials of Mana
Untuk jumlah "gameplay" yang ditawarkan - terutamanya daripada segi "replayability" jika anda ingin melihat kesemua kandungan - tidak banyak JRPG yang seronok untuk dimainkan seperti Trials of Mana.
Discussion about this post