Marvel’s Spider-Man: Miles Morales oleh Insomniac Games telah diumumkan di acara Sony Future of Gaming pada bulan Jun lalu untuk pelantar PS5. Sudah tentu, ini adalah salah satu sebab untuk bergembira, terutamanya apabila peminat menjangkakan sekuel yang luar biasa untuk Marvel’s Spider-Man (2018). Tidak lama kemudian, Spider-Man: Miles Morales juga telah disahkan untuk pelantar PS4 sebagai judul yang berskala lebih kecil daripada ansuran pertama. Tetapi anda tidak perlu risau, kerana ia sebenarnya mempunyai banyak isi kandungan. Harap maklum! Ia dianggap sebagai sekuel sebenar, bukan spin-off.
Diberi peluang untuk mencuba permainan di PS4 oleh Sony Interactive Entertainment (SIE), ini adalah ulasan awal kami bagi Marvel’s Spider-Man: Miles Morales. Dimainkan pada difficulty Amazing, harap maklum bahawa ini adalah ulasan pertama, kerana sebahagian masih tidak boleh diberitahu lagi sehingga hari pelancaran. Ada beberapa perkara yang perlu saya jelaskan dahulu. Salah satu ialah kedua-dua Peter Parker dan Miles Morales digelar sebagai Spider-Man, jadi saya akan merujuk masing-masing dengan nama pertama mereka. Pada masa yang sama, Peter kali ini adalah Peter yang berwajah baru, dan bukan lagi Peter OG yang kita dahulu main pada ansuran pertama. Baiklah! Tanpa membuang masa lagi, mari kita mulakan ulasan ini.
Naratif & Latar Belakang
Apabila kita mulakan permainan, kedua-dua Peter Parker dan Miles Morales (berumur 17 tahun) akan bertindak sebagai Spider-Man dan pelindung bandar, dengan Miles masih dalam latihan. Masalah pertama yang akan ditemui Miles dan Peter dalam pembukaan Marvel’s Spider-Man: Miles Morales sebenarnya adalah Rhino, yang merupakan boss fight pertama permainan. Rhino akan terlepas daripada sangkarnya semasa dipindah, yang beralih kepada sesi kejar-mengejar yang cukup dramatik lalu berakhir dengan konfrontasi melawan Rhino. Peter akan menentang Rhino, tetapi dijatuhkan. Di sini, Miles akan bangkit kepada kuasa bioelektrik baru (kuasa ini akan dijelaskan dengan lebih lanjut), yang dia gunakan untuk mengalahkan Rhino.
Setelah selesai, Peter memberitahu Miles bahawa Mary Jane akan pergi ke Symkaria untuk membuat liputan tentang kepakatan damai untuk The Daily Bugle, dan dia juga akan ikut, sebagai jurugambar. Namun, Peter akan menghasilkan latihan hologram untuk Miles. Di sini, dia akan muncul sebagai hologram jika menemui tempat latihan tersebut. Menyelesaikan latihan ini akan meningkatkan atau membuka kemahiran tertentu. Sehingga Peter kembali, Miles akan menjadi satu-satunya Spider-Man di New York, dan tanggungjawabnya untuk melindungi bandar dan mengenali wira apa yang dia ingin jadi adalah elemen-elemen yang akan mendorong naratif permainan.
Antara pasukan dalam permainan:
- Underground (dipimpin oleh Tinkerer) – Cuba menghentikan Roxxon Energy dari menggunakan reaktor Nuform baru dengan kaedah-kaedah pengganas. Underground dahulu ialah sebuah geng, tetapi setelah disertai Tinkerer, ia menjadi organisasi penjenayah di New York.
- Roxxon Energy ((dipimpin oleh Simon Kriegen) – Syarikat yang nampaknya baik di mata orang ramai. Nuform ditunjukkan dapat memberikan tenaga bersih kepada bandar. Bagaimanapun Nuform gagal dalam banyak ujian keselamatan, yang smembahayakan nyawa manusia.
*Lebih banyak lagi tentang naratif cerita dan watak akan didedahkan dalam ulasan penuh*
Sistem Permainan, Abiliti & Gajet
4 tahap Difficulty iaitu:
- Friendly Neighbourhood
- Friendly
- Amazing
- Spectacular
Seperti ansuran pertama, dunia Marvel’s Spider-Man: Miles Morales akan dibahagikan kepada enam daerah, dan masing-masing akan mempunyai pelbagai aktiviti yang harus anda selesaikan hingga 100%. Kebanyakan aktiviti juga akan memberi anda ganjaran untuk meningkatkan gajet. Di samping itu, akan ada lebih banyak koleksi untuk dicari, dengan beberapa berkaitan dengan hobi muzik milik Miles. Kalau ingin aktiviti yang lebih lasak, anda boleh cuba menyelesaikan Roxxon Reactor, Underground Hideout, latihan hologram Peter, Underground Cache dan banyak lagi. Jenayah masih akan berlaku, dan walaupun beberapa akan digunakan semula daripada permainan 2018, akan ada beberapa penambahan baru juga.
Skill (Kemahiran)
Skill dibahagikan kepada 3 jenis iaitu Combat, Venom, dan Camouflage. Sekiranya anda pernah bermain Marvel’s Spider-Man (2018), kemahiran Pete tertumpu pada pertempuran jarak dekat dan kemahiran berkaitan webbing. Namun Miles lebih menumpukan pada kebolehannya yang unik – Venom dan Camouflage.
- Venom berfungsi sama dengan kuasa Peter. Anda boleh menggunakannya untuk melaksanakan kemahiran Venom atau menyembuhkan diri dengan butang D-Pad bawah. Semua kemahiran Venom dikuasakan oleh cas bioelektrik milik Miles serta dapat menimbulkan kesan “stun”. Kita juga memerlukan abiliti untuk menyelesaikan teka-teki dalam permainan.
- Camouflage membolehkan Miles menjadi halimunan. Ini membenarkan pemain untuk menyelinap atau melarikan diri daripada musuh pada saat anda mengaktifkannya.
Suit (Pakaian) & Mod
Terdapat sekurang-kurangnya 19 suit (buat masa ini). Ada yang terkunci berdasarkan kemajuan jalan cerita, dan ada yang dapat direka sekiranya sumber mencukupi. Suit pada masa ini hanya mengubah penampilan dan tidak membawa apa-apa kemampuan istimewa seperti ansuran pertama. Walaubagaimanapun, sebilangan suit akan membuka mod apabila diperolehi.
Terdapat 2 jenis Mod iaitu Mod Visor dan Mod Suit. Mod dapat dibuka dan dihasilkan selagi anda memenuhi kriteria. Kebanyakan daripada mod akan memberikan buff seperti meningkatkan kesan serangan tertentu atau memulih semula HP.
Gajet
- Web Shooter
- Menembak sawang yang boleh digunakan untuk menangkap musuh atau dibentukkan untuk kegunaan lain.
- Holo-Drone
- Miles akan memanggil hologram kawalan AI yang boleh menyerang atau mengalihkan perhatian musuh.
- Remote Mine
- Berfungsi seperti bom jarak jauh. Secara dasar, hanya dapat menewaskan 1 musuh, tetapi jika anda meletakkannya di “fuse box” (barang persekitaran), ia dapat menewaskan 3-4 musuh bergantung pada radius.
- Gravity Well akan menarik semua musuh dalam radius. Bagus untuk kombo dengan kemahiran Venom.
Sistem Pertempuran, Stealth, & Musuh
Daripada segi sistem pertempuran, ia lebih kurang sama dengan ansuran pertama. Pertempuran cukup lancar, dan ada banyak barang di persekitaran untuk kita hayun ke musuh. Mencampak atau menendang musuh dari bumbung masih boleh dimanfaatkan untuk menyelesaikan misi dengan cepat (Spider-Man mana boleh bunuh, sebaliknya akan pasangkan penjahat dengan sawang jika mereka jatuh). Dengan pelbagai variasi kemahiran Venom, kita dapat melancarkan musuh ke udara sambil mengejutkannya (stun), melakukan serangan stun AOE di persekitaran atau terjah ke depan dengan pukulan super. Kita juga boleh aktifkan Camouflage untuk menyerang musuh ketika mereka sibuk mencari Miles.
Sama seperti pertempuran, stealth juga menerima beberapa perubahan dan peningkatan. Miles dapat menggunakan kemampuan Camouflage (mempunyai cooldown) untuk menjadikan dirinya halimunan buat sementara waktu. Miles bukan sahaja dapat menyelinap ke belakang musuh yang tidak sedar, ini juga bererti pemain lebih mudah larikan diri untuk kembali menyelinap secara diam-diam. Setelah menekan R3 untuk mengimbas kawasan, kita dapat menekan L2 untuk menandakan musuh. Tanda tersebut akan menunjukkan kepada kita jika musuh selamat untuk ditewaskan atau tidak. Jika musuh itu selamat untuk ditewaskan, ia bermakna kita posisi kita tidak akan didedahkan oleh musuh lain. Jika tidak selamat tapi anda ingin juga buat, maka kantoi lah!
Kita dah cakap tentang sistem pertempuran, tapi musuh apa yang akan kita hadapi? Sebenarnya, terdapat banyak jenis musuh. Organisasi berbeza akan mempunyai kelebihan yang berbeza bagi setiap musuh. Sebagai contoh, Underground dapat melompat ke tempat tinggi yang biasanya tidak dapat dicapai oleh musuh biasa. Mereka juga memiliki akses ke senjata seperti pedang berteknologi tinggi, dan senapang laser. Roxxon sebaliknya akan mengupah pasukan sekuriti profesional di mana kebanyakan akan memiliki senjata atau tongkat elektrik. Ketika menyelami lebih jauh ke dalam permainan, musuh akan dilengkapi dengan peralatan yang lebih baik seperti visor yang dapat melihat kesan kemahiran Camouflage, perisai besar yang boleh menyerap serangan Venom lalu memantulkannya kepada Miles, dan lain-lain.
Pendapat
Bagi pendapat saya, pertempuran sedikit lebih sukar daripada ansuran pertama. Saya agak suka kerana anda tidak boleh sesuka hati menggunakan serangan Venom. Musuh-musuh tertentu harus ditangani dengan cara-cara tertentu. Misalnya, musuh yang memakai perisai. Anda perlu menarik perisai mereka terlebih dahulu, jika tidak, anda tidak dapat melakukan sebarang damage, walaupun dengan serangan Venom. Tambahan pula, serangan kita juga boleh dipantul semula kepada diri sendiri. Musuh di akhir permainan juga dapat melakukan serangan dengan efek tambahan, yang menghalang kita daripada menggunakan kuasa Venom (tidak kira untuk sembuh atau menyerang).
Perwatakan dan kebolehan unik Miles pun cukup gempak, dan terasa sangat berbeza daripada Peter. Ia sangat sukar untuk menghasilkan permainan video dengan watak utama yang serupa tetapi terasa berbeza. Sepanjang permainan anda dapat melihat Miles belajar dan berkembang sebagai seorang Spider-Man baru. Jika anda tidak berpuas hati dan ingin ulang semula kisah Miles, permainan juga mengandungi New Game+ untuk pemain menerokai semula NYC.
Setakat ini, permainan hanya terasa sedikit “buggy”. Ini kerana musuh akan tersekat oleh persekitaran (mereka akan terus berjalan dan terperangkap di sana) tetapi Insomniac Games mungkin akan menyelesaikan semua isu ini semasa pelancaran permainan.
Gameplay:
Itu sahaja saya rasa untuk ulasan awal kami bagi Marvel’s Spider-Man: Miles Morales. Ia akan tersedia di PlayStation 4 pada 12 November dan di PlayStation 5 pada 19 November. Jika anda ingin peminat Marvel lagi-lagi Spider-Man, ini ialah satu permainan video yang wajib anda cuba!
@gamersantaimy
Discussion about this post