Pemaju daripada Singapura, The Gentlebros, telah mengeluarkan Cat Quest pada tahun 2017. Diisi dengan kucing-kucing yang comel dan lawak menggelikan hati, game adventure-RPG ini menjadi popular dengan pantas. Kembali ke masa kini dan kami telah mendapat Cat Quest II! Sekuel ini menjanjikan lebih banyak humor, lebih banyak aksi comel, dan juga permainan co-op multiplayer! Adakah Cat Quest II menepati jangkaan kami? Mari baca ulasan kami.
Latar belakang Cat Quest II menceritakan dunia yang damai di bawah perlindungan raja kucing dan raja anjing. Tetapi, sebuah senjata yang dikenali sebagai Kingsblade telah menghancurkan keamanan ini. Kucing dan anjing mula bersaing untuk mengawal senjata kuat ini. Akhirnya, Kingsblade dihancurkan, kedamaian pun pudar, dan dunia dibahagikan kepada kerajaan kucing (Felingard) dan kerajaan anjing (The Lupus Empire). Masa inilah pewaris-pewaris (anda) kepada kerajaan lama muncul seperti yang diramalkan untuk memperbaiki segala yang silap! Pemain bukan hanya kawal seorang karakter kali ini, kita dapat kawal dua! Seekor kucing dan seekor anjing..
Kelebihan Cat Quest II terletak pada mekanik adventure-RPG mereka. Ia mempunyai peta “top-down” di mana watak dapat meneroka dengan bebas tetapi jangan lupa untuk berhati-hati! Terdapat banyak musuh di sekeliling yang ingin membunuh anda, serta beberapa dungeon dan peti harta karun yang menunggu untuk dijumpai.
Aksi Cat Quest II agak cepat dan boleh menimbulkan panik. Walaupun hanya memerlukan satu butang untuk menyerang, watak kita mempunyai banyak variasi sihir untuk digunakan. Sehingga empat sihir boleh dilengkapi pada satu masa. Memandangkan kita mempunyai dua watak, anda mempunyai dua kali ganda lebih banyak sihir untuk digunakan!
Selain daripada lokasi-lokasi menarik di peta, anda boleh menerokai berpuluh-puluh dungeon di Cat Quest II. Ada yang menjadi sebahagian daripada jalan cerita utama, ada pula yang jadi sebahagian daripada “side quest“. Sudah tentu, ada juga dungeon yang boleh dimasuk walaupun ia tidak terikat dengan mana-mana misi pun.
Kebanyakan dungeon akan mengikuti corak yang sama dengan menyorokkan beberapa peti harta karun. Jadi jangan segan silu. Ambil sahaja semua isi peti itu! Kadang-kala, peti mungkin akan dijaga oleh “kuasa yang luar biasa”. Ini bermaksud anda perlu membunuh semua musuh di dalam dungeon terlebih dahulu sebelum mendapatkan ganjaran. Sedikit tips di sini, pemain boleh dapatkan peti rahsia yang hanya boleh diperolehi jika anda mengikuti laluan tersembunyi di dalam dungeon.
Jika anda keliru tentang situasi sesebuah dungeon:
- Dungeon yang belum diterokai mempunyai tanda tanya di sebelahnya;
- Dungeon yang masih mempunyai ganjaran akan mempunyai tanda berlian;
- Dungeon yang telah diterokai sepenuhnya tidak lagi mempunyai sebarang tanda;
Cat Quest pertama hanya mempunyai satu benua (Felingard) dengan beberapa pulau di sekitar. Cat Quest II menggandakan keseronokan dengan menambah kawasan yang lebih besar dan luas iaitu negara anjing! The Lupus Empire, yang akan anda lawat pada awal permainan sebagai sebahagian daripada jalan cerita utama, mempunyai banyak dungeon dan side quest untuk diselesaikan. Seperti yang asal, anda akan bertemu rakan baru yang membantu anda sepanjang pengembaraan seperti Hotto Doggo, seorang tukang besi yang boleh meningkatkan kualiti senjata anda.
HAHH! Alang-alang cakap tentang senjata kan, anda akan bertemu pelbagai jenis senjata unik di Cat Quest II. Pedang, cokmar, dan kapak semuanya berfungsi dalam cara yang sama kerana ia adalah senjata melee. Tongkat sakti pula memberi pemain kuasa untuk menyerang dari jauh menggunakan sihir. Perbezaannya ialah setiap jenis senjata mempunyai kelebihan tertentu untuk statistik yang khusus. Begitu juga dengan senarai perisai yang boleh dinaik taraf oleh seekorang NPC kucing bernama Kit Cat.
Kuasa sihir juga dapat ditingkatkan di “Arcane Headpawters.” Anda mempunyai pilihan yang luas bermula dari serangan kilat, kuasa api AoE, perlindungan suci, sihir yang meningkatkan abiliti fizikal, dan penyembuhan. Dalam mana-mana game, sihir memerlukan mana, jadi pemain boleh isi semula mana tersebut dengan menyerang musuh.
Tiba masanya untuk saya jelaskan bahagian yang paling saya suka tentang Cat Quest II! Bahagian multiplayer co-op! Ya, anda dan pasangan dapat meneroka peta Cat Quest II dengan bebas bersama-sama! Sebelum saya menceritakan apa yang bagus tentang ciri co-op, saya ingin mulakan dengan berita yang kurang memuaskan. Pertama sekali, kamera co-op nya agak menjengkelkan dan akan berpecah apabila pemain terlalu jauh dengan pasangan. Kedua ialah “save point” memerlukan kedua-dua pemain untuk berinteraksi dengan penanda. Memulakan misi atau bercakap dengan NPC juga mungkin memerlukan kedua-dua pemain untuk berada di tempat yang sama bagi meneruskan jalan cerita.
Baiklah, sekarang ke bahagian yang seronok. Anda boleh memulakan Cat Quest II secara solo atau dengan rakan. Pilihan ini boleh bertukar-tukar pada bila-bila masa, jadi apabila pasangan ingin rehat tetapi anda ingin bermain, cuma beralih kepada pilihan “solo“. Saya bermain dengan kawan baik saya dan bila dia pergi tidur, saya hanya pause Cat Quest II dan menukar mode ke “Play Solo” lalu watak kedua akan dikawal oleh AI.
Apabila watak kedua ditukar kepada AI, masa inilah Cat Quest II mula menjadi stres bagi saya. Ini kerana AI sangat-sangat lah teruk. Banyak kali lah, rakan sepasukan saya membuta tuli menyerang musuh, tetapi bukan dia yang menang pertarungan, rakan AI saya yang nak mati. Saya fikir ini adalah kerana dia memakai senjata melee. Oleh itu, saya beralih kepada tongkat sakti yang menyerang jauh dan, WOWWW! AI masih melakukan kesilapan yang sama.
Walaupun anda boleh menukar antara kedua-dua watak semasa bermain solo, AI hanya akan merosakkan pengalaman permainan anda. Lebih baik jika anda mempunyai rakan yang berminat bermain Cat Quest II dengan anda, kerana di sini anda boleh merancang dan mengatur serangan anda (penting)!
Cat Quest II bukanlah permainan video yang teruk . Seperti yang saya jelaskan di atas, anda boleh mencurahkan jam demi jam semasa maju melalui jalan cerita. Pada masa yang sama, anda boleh mengumpul lebih banyak barangan dan senjata eksklusif atau mencari lebih banyak rahsia. Mode New Game+ juga ditambah agar pemain tidak berasa bosan!
Visual dan watak Cat Quest II sangat menarik dan seperti tajuk artikel ini, co-op memang adalah cara terbaik untuk menikmati permainan ini bersama ahli keluarga atau rakan-rakan. Menarik, comel, dan menyeronokkan, Cat Quest II menawarkan aksi action-adventure RPG yang mantap untuk mereka yang inginkan sesuatu yang tidak begitu serius! Cat Quest II telah dilancarkan untuk pelantar PC (Steam), PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch, dan iOS. Jika anda berminat untuk bermain, pergi ke link di bawah! Sehingga itu, jumpa lagi di ulasan akan datang!
@gamersantaimy
The Review
Cat Quest II
Menarik, comel, dan menyeronokkan, Cat Quest II menawarkan aksi action-adventure RPG yang mantap untuk mereka yang inginkan sesuatu yang tidak begitu serius.
Discussion about this post