Kami tahu ramai yang ingin tahu jika versi remastered ini berbaloi atau tidak untuk dibeli nanti, tetapi sebelum itu bagi kami ceritakan secara ringkas mengenai The Last of Us Part II (TLOU 2). Kalau anda ingin tahu, The Last of Us Part II merupakan salah satu game eskklusif PlayStation yang dilancarkan sebelum bermulanya era PlayStation 5. Ia juga antara sekuel game yang disambut hangat oleh peminat menjadikannya salah satu game terbaik dalam dekat ini. Walaupun ia membawa setting dan watak yang sama, penceritaannya mempunyai sedikit perubahan kerana Ellie dan Abby kini menjadi protagonisnya.
Naughty Dog telah melakukan kerja yang baik dalam mempamerkan hasil game mereka yang memberikan pengalaman single-player yang hebat dengan nilai produksi yang menakjubkan. Walaupun dilepaskan pada PS4, kualitinya setaraf dengan game generasi sekarang. Daripada persembahan yang hebat, penceritaan yang baik sehinggalah gameplay yang sengit, semuanya menjadi sebab mengapa The Last of Us Part II sebuah game yang mantap.
Memandangkan game ini merupakan sekuel, kami syorkan mereka yang ingin membeli remastered ini untuk bermain dahulu game pertamanya sebelum melompat terus ke pengembaraan Ellie dan Abby. Lagipun Naughty Dog telah pun melepaskan versi remake untuk game pertama yang hadir dengan grafik yang jauh lebih baik serta gameplay yang setaraf dengan sekuelnya. Jadi kami rasa tiada masalah untuk anda mulakan perjalanan dalam dunia penuh dengan zombi ini.
Jadi tanpa membuang masa, ini merupakan review kami untuk TLOU Part II Remastered.
No Return — Mode roguelike baharu
Benda pertama yang menarik perhatian kami apabila buka game ini sudah tentunya mode roguelike yang diperkenalkan iaitu No Return. Dalam mode ini, anda akan menghadapi pelbagai cabaran dalam level rawak yang hadir dengan pelbagai jenis musuh untuk dikalah. Sudah namanya roguelike, sudah tentu anda akan kecundang juga, tetapi setiap progress akan memberikan ganjaran yang lebih baik. Ia juga mempunyai sistem yang agak baik di mana anda diberi kebebasan untuk melatih watak anda dan melihat sejauh mana anda boleh hadapi cabaran yang mendatang.
Selain daripada Standard Run, anda boleh pilih untuk melakukan Custom Run di mana anda sendiri boleh mengubahsuai gameplay mengikut kesukaan anda. Sebagai tambah Daily Run juga tersedia yang memberi anda satu peluang untuk menyelesaikan cabaran setiap hari. Kalau anda seorang yang kompetitif, terdapat juga Leaderboard untuk anda lihat rekod anda. Sebelum kami terlupa, anda boleh mengakses beberapa watak daripada game original untuk mode ini. Sebagai contoh, Dina, Jesse, Lev dan Tommy.
Kandungan tambahan
Seperti yang diumumkan, versi remastered ini hadir dengan beberapa kandungan baharu selain No Return. Ia boleh diakses dengan mudah melalui Extra dan Making Of. Yang menariknya tentang kandungan tambahan ini, anda kan didedahkan dengan banyak perkara yang telah dibuang daripada game semasa pembangunan, sebagai contoh Lost Levels. Kandungan itu memberikan maklumat mengenai level tertentu dalam game. Terdapat tiga level yang anda boleh pilih iaitu Jackson Party, Seattle Sewers dan The Hunt.
Setiap level ini disampaikan dalam bentuk pra-alpha, di mana ia tiada dialog tetapi sepanjang gameplay, anda boleh aktifkan komen pembangun yang mendedahkan makluamt menarik tentang latar belakang setiap kandungan yang dipotong. Bukan selalu pembangun dedahkan perkara seperti ini. Memang bertuah juga apabila maklumat ini dikongsikan secara umum buat peminat.
Ada banyak lagi kandungan yang anda boleh dapatkan selepas menghabiskan game ini. Tidak dilupakan juga dengan mini game bermain gitar melalui Guitar Free Play. Ada pelbagai penyesuaian tersedia untuk anda bermain mode tersebut. Inilah masanya untuk serlahkan bakat muzik anda.
Prestasi di PS5 dan ciri-cirinya
The Last of Us Part II kini boleh dimainkan dengan kualiti maksimum serta prestasi pada resolusi 4K. Seperti The Last of Us Part 1, game ini masih memberikan grafik dengan resolusi tinggi walaupun bermain dengan mode Performance, di mana kualiti 1440p dinaikkan sehingga 4K. Dengan ciri tambahan pada controller DualSense seperti Haptic Feedback dan Adaptive Trigger menjadikan pengalaman gaming lebih realistik.
Satu lagi benda yang kami suka, game loading dengan lebih laju, terima kasih pada prestasi SSD pada PS5. Kami teringat lagi betapa lamanya game ini loading semasa bermain di PS4 dahulu. Untuk ciri accessibility, pembangun telah menambah tetapan baharu iaitu Descriptive Audio dan Speech to Vibration.
Kesimpulan
The Last of Us Part II pada dasarnya sudah pun sebuah game yang cukup hebat tetapi dengan kehadiran versi Remastered pada PS5, ia memberikan pengalaman yang lebih baik buat pemain baru mahupun lama. Ia juga terasa seperti versi game yang lebih digilap oleh pembangun. Ditambah pula dengan kandungan baharu seperti No Return dan Lost Levels, ianya sesuatu yang kreatif untuk peminat alami.
Agak bersyukur juga apabila terdapat pilihan untuk pemilik game original untuk upgrade ke versi remastered dengan hanya membayar RM 40. Jadi tidak perlu risau untuk membelinya dengan harga penuh. Buat mereka yang tidak pernah menyentuh sekuel ini, kami sangat syorkan anda untuk mendapatkan versi remastered ini. Pergi sahaja ke PS Store untuk dapatkannya!
Untuk membaca segala review game kami, anda boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
The Last of Us Part II Remastered
PROS
- Mode No Return sangat menyeronokkan dan bertimbang rasa
- Beberapa kandungan tambahan yang sangat bagus, terutamanya Lost Levels
- Penambahbaikan teknikal yang besar pada PS5
- Upgrade yang berpatutan untuk semua kandungan yang disediakan
- Masih memberikan pengalaman aksi yang sama secara keseluruhan
CONS
- Kisah yang ingin mengubah jangkaan, tetapi dengan cara yang tidak begitu baik bagi sesetengahnya
- Beberapa bahagian kempen masih terasa dragging
Discussion about this post