Kami berpeluang untuk menemubual Bucky, Pengurus Komuniti Global dan wakil Pembangunan Perniagaan dari PocketPair, semasa Tokyo Game Show 2024. Dalam perbincangan tersebut, dia memberikan pandangan berharga tentang pembangunan, kejayaan, dan perancangan masa depan untuk game popular, Palworld.
Pada masa yang sama, perbualan ini mendedahkan cabaran dan kejayaan sebuah pasukan kecil yang tiba-tiba menjadi tumpuan seluruh dunia disebabkan kejayaan yang tidak dijangka, serta beberapa petunjuk menarik tentang masa depan game ini. Tanpa melengahkan masa lagi, berikut adalah isinya.
Kejayaan Tidak Dijangka dan Pertumbuhan Pasukan
Pelancaran awal Palworld secara Early Access adalah satu kejayaan besar yang tidak dijangka oleh penciptanya. Bucky secara jujur berkongsi reaksi pasukan:
“Tidak, kami tidak menjangka ianya akan sebesar itu. Semua orang di PocketPair tahu Palworld istimewa. Terutama menjelang akhir tahun lepas, kami melihat jumlah pemain meningkat dengan pesat. Namun, kami masih tidak menyangka pelancaran itu akan menjadi segila itu.”
Populariti tidak dijangka ini menyebabkan PocketPair berkembang dengan cepat. Syarikat ini telah berkembang daripada sekitar 30 pekerja kepada lebih 70 orang sejak pelancaran Palworld. Walau bagaimanapun, pertumbuhan ini datang dengan cabaran. Bucky menjelaskan:
“Kami sedang berkembang secepat mungkin, tetapi sudah tentu, ia sukar. Dan saya rasa sesuatu yang ramai orang tidak sedar adalah walaupun kami boleh mengupah orang baharu, ia akan mengambil masa berminggu-minggu untuk memperkenalkan mereka kepada enjin, pembangunan, dan rancangan seterusnya.”
Usaha pasukan untuk memenuhi permintaan daripada pemain telah menyebabkan apa yang Bucky gambarkan sebagai “pertukaran peranan” di PocketPair, di mana ahli pasukan mengambil pelbagai peranan untuk memenuhi keperluan.
Kemas Kini dan Maklum Balas Pemain
PocketPair sedang berusaha keras untuk meningkatkan Palworld berdasarkan maklum balas pemain, dengan tumpuan khusus pada pengalaman endgame. Bucky menjelaskan:
“Banyak maklum balas yang kami terima daripada pemain ialah permainan peringkat awal dan pertengahan sangat menyeronokkan, tetapi ramai pemain menghadapi kesukaran dengan peringkat akhir Palworld sekarang. Mereka sukar menghadapi proses ‘grinding’ dan mekanik breeding.”
Sebagai tindak balas kepada maklum balas ini, pasukan telah melaksanakan beberapa perubahan dan merancang lebih banyak lagi.
“Kami baru sahaja menambah bos mode sukar untuk memberikan cabaran lebih kepada pemain, dan juga menambah lebih banyak raid,” kata Bucky.
Dia juga menyebut bahawa PvP adalah permintaan biasa dari pemain: “PvP adalah sesuatu yang sering diminta oleh pemain, dan kami sedang berusaha mencari cara terbaik untuk melaksanakannya.”
Kandungan Masa Depan dan Kolaborasi
Walaupun butiran spesifik tentang kandungan masa depan amat terhad, Bucky mengusik tentang kemas kini menarik yang sedang dalam perancangan. Dia menyebut kemas kini bertema yang serupa dengan kemas kini Sakurajima baru-baru ini, yang menampilkan elemen budaya Jepun:
“Saya rasa perancangan sekarang adalah untuk melakukan kemas kini kecil, kemudian kemas kini besar seperti update Sakurajima. Kami sedang merancang sesuatu, tetapi saya tidak boleh berkongsi banyak mengenainya.”
Mengenai kerjasama dengan syarikat lain, Bucky berhati-hati tetapi optimistik: “Buat masa ini, kami tidak pasti. Kami ingin melakukan beberapa perkara yang menyeronokkan. Kami ada beberapa idea menarik. Tetapi kami masih syarikat kecil, jadi perlu bergerak perlahan.”
Pelancaran PlayStation dan Aspirasi Merentas Platform
Pelancaran Palworld di PlayStation baru-baru ini menandakan satu pencapaian penting bagi game ini. Bucky menyatakan keterujaannya: “Kami mahu seramai mungkin pemain di seluruh dunia menikmati Palworld, dan PlayStation sentiasa ada dalam rancangan kami sejak hari pertama. Malangnya, kami tidak dapat melakukannya lebih awal kerana pasukan kecil dan ada kekangan.”
Penerimaan awal di PlayStation sangat positif, dengan Bucky menyatakan, “Baru sahaja dua hari, tetapi kami sudah menerima sambutan yang luar biasa daripada peminat PlayStation kami.”
Melihat ke hadapan, fungsi cross-play adalah keutamaan tinggi untuk pasukan. Bucky menyebut ia sebagai salah satu ciri utama yang sedang mereka usahakan bersama kemas kini besar yang lain.
Rancangan Pembangunan dan Matlamat Masa Depan
PocketPair berhati-hati untuk tidak memberikan tarikh spesifik bagi kemas kini, tetapi Bucky menerangkan beberapa keutamaan utama untuk pembangunan game.
“Kami tidak mahu memberikan tarikh pada pelan pembangunan. Kami telah belajar dari pengalaman game kami sebelum ini, Craftopia,” katanya.
Sebaliknya, pasukan ini memberi tumpuan kepada satu set matlamat untuk tempoh Early Access. Bucky menjelaskan: “Kami mempunyai satu set matlamat yang kami ingin capai semasa tempoh Early Access. Dan pelan hala tuju itu mewakili Palworld Early Access. Jadi apabila pelan hala tuju itu selesai, kami anggap Palworld hampir lengkap.”
Keutamaan utama termasuk menyempurnakan sokongan server berdedikasi, melaksanakan sokongan modding, membangunkan ciri PvP, dan mengusahakan fungsi cross-play.
“Buat masa ini, saya rasa perkara besar ialah memastikan sokongan pelayan berdedikasi sempurna. Kami akan mula bekerja pada sokongan modding tidak lama lagi. Kami sedang cuba buat PvP, dan crossplay juga merupakan keutamaan besar kami sekarang,” kata Bucky.
Pembangunan Jalan Cerita
Bucky memberikan bayangan mengenai elemen naratif lebih mendalam yang belum didedahkan dalam Palworld.
“Ada misteri utama dalam Palworld yang berkaitan dengan pokok besar yang boleh dilihat dari pulau itu. Segalanya akan terbongkar apabila pemain melawat pokok itu. Ketika itulah kami anggap jalan cerita sebenar Palworld akan didedahkan,” kongsinya.
Namun, dia juga menyatakan bahawa kandungan ini tidak dirancang untuk dikeluarkan semasa tempoh Early Access, yang membangkitkan rasa ingin tahu untuk kemas kini akan datang.
Peminat Asia Tenggara dan Acara Akan Datang
Pasukan di PocketPair meluahkan rasa penghargaan mendalam terhadap peminat mereka di Asia Tenggara. Bucky dengan penuh semangat berkata, “Kami sayang peminat kami di Asia Tenggara. Kami harap kami boleh datang melawat. Kami berharap untuk datang tidak lama lagi.”
Beliau kemudian memberi bayangan mengenai penampilan masa depan:
“Kami mungkin akan melawat satu atau dua acara di Asia Tenggara awal tahun depan. Saya tak boleh beritahu namanya, tapi… Awal tahun depan. Jadi, harap kami dapat bertemu semua peminat pada masa itu.”
Seiring dengan perkembangan Palworld, jelas bahawa PocketPair komited untuk mengembangkan dan menambah baik game ini berdasarkan maklum balas pemain sambil mengurus cabaran yang datang dengan kejayaan yang tidak dijangka. Masa depan nampak cerah untuk game unik ini, dengan banyak perkembangan menarik yang bakal dinantikan oleh para peminat.
Untuk maklumat lanjut tentang game ini, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post