“Global Cross-Border Project” anjuran Sega dan animate bakal bermula secara rasmi esok, 6 Jun 2026. Sebagai pembuka tirai bagi kolaborasi selama setahun ini, animate Kuala Lumpur di LaLaport Bukit Bintang City Centre (BBCC) akan menganjurkan “Sonic the Hedgehog” Only Shop, Fair, serta pengalaman kafe bertema Gratte.
Projek global ini merangkumi lebih daripada 140 cawangan animate di seluruh dunia dan mengetengahkan lapan francais ikonik daripada Sega dan Atlus. Sebagai permulaan, “Sonic the Hedgehog” akan mengambil alih ruang dengan pelbagai barangan eksklusif, makanan dan minuman bertemakan watak, serta paparan interaktif.
Apa yang lebih menarik, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai salah satu daripada beberapa lokasi luar negara yang menyediakan stesen game demo untuk dicuba oleh para pengunjung.
“Only Shop” dan Demo Game (Tingkat Bawah / Ground Floor)

Untuk tempoh terhad bermula 6 Jun hingga 21 Jun 2026, ruang animate “Only Shop” di (GF) LaLaport BBCC akan berwajah sebagai zon bertemakan Sonic. Peminat boleh melihat pameran istimewa, menguji kemahiran mereka di stesen demo game, dan membeli-belah barangan eksklusif.
Sonic 35th Anniversary Fair & Poskad Eksklusif

Acara sempena ulang tahun ini akan berlangsung dari 6 Jun hingga 28 Jun 2026, bertempat di kedai Tingkat 2 dan juga di Ground Floor Only Shop.
Sepanjang tempoh ini, pelanggan akan menerima sekeping poskad watak yang dipilih secara rawak sebagai hadiah percuma bagi:
- Setiap RM30 yang dibelanjakan untuk barangan berkaitan Sonic the Hedgehog.
- Setiap pembelian produk Gratte (minuman atau biskut).
Secara keseluruhan, ada 10 rekaan poskad untuk dikumpulkan yang menampilkan watak-watak popular seperti Sonic, Tails, Knuckles, Amy, Dr. Eggman, Blaze, Cream, Rouge, Shadow, dan Silver. Poskad-poskad ini akan diberikan secara rawak dan hanya tersedia selagi stok masih ada.
Kafe “Gratte” Bertemakan Sonic & Icing Cookie (Tingkat LG1)

Di Lower Ground pula, animate Cafe Kuala Lumpur (LG1-13A) sedia menyajikan “Gratte” (Graphic Latte) dan biskut hiasan (icing cookie) bermula 6 Jun hingga 28 Jun 2026.
Dengan harga RM19 setiap satu, pelanggan boleh menikmati minuman yang dihiasi lapisan krim dengan rekaan watak kegemaran. Pilihan minuman yang disediakan termasuk:
- Iced Cafe Latte
- Iced Houjicha Latte
- Iced Matcha Latte
- Iced Chocolate Latte
- Iced Banana Latte
- Weekly Special Latte (tertakluk kepada ketersediaan stok)
Icing cookie yang sepadan juga boleh didapati pada harga RM19 setiap satu. Pelanggan boleh memilih daripada 11 rekaan berbeza yang menampilkan Sonic, Tails, Amy, Knuckles, Dr. Eggman, Shadow, Rouge, dan Silver, serta variasi “chibi” comel bagi Sonic, Tails, dan Amy.
Untuk membuat pesanan, anda hanya perlu memilih asas minuman kegemaran dan nombor reka bentuk pilihan anda pada borang pesanan di kaunter bayaran.
Untuk maklumat, sila layari media sosial rasmi animate Malaysia.








Discussion about this post