Pokémon Center Singapore yang cukup ikonik di Jewel Changi Airport akhirnya akan dibuka semula pada 1 Julai 2026.
Cawangan ini telah ditutup sejak 1 April tahun ini untuk kerja-kerja naik taraf secara besar-besaran: iaitu pengubahsuaian pertama sejak ia mula dibuka pada tahun 2019. Apabila pintu kedai dibuka semula nanti, para pengunjung bakal melangkah masuk ke ruang baharu yang diinspirasi daripada warisan dan budaya Singapura.
Kenali Maskot Baharu, Solgaleo

Perubahan besar pertama yang akan anda perhatikan ialah maskot kedai ini. Charizard kini digantikan dengan Solgaleo, sebuah Legendary Pokémon yang mempunyai bulu bagaikan matahari.
Memandangkan rupa fizikal Solgaleo menyerupai seekor singa, ia dipilih sebagai simbol baharu kedai bagi melambangkan identiti Singapura sebagai “Kota Singa”.
Menyambut ketibaan para pengunjung di bahagian depan kedai adalah patung Solgaleo dan Pikachu bersaiz besar. Dengan latar belakang yang ‘membayangkan’ latar langit Singapura, ia pasti menjadi lokasi bergambar yang menarik untuk dikongsikan di media sosial.
Ruang Santai Khas

Selain daripada perubahan rupa luaran, kedai ini juga telah direka semula untuk memberikan pengalaman yang lebih baik kepada peminat dan pemain di rantau Asia Tenggara.
Di bahagian belakang kedai, terdapat ruang acara khas yang dilengkapi dengan skrin besar. Ruang ini akan digunakan untuk sesi perjumpaan permainan video rasmi, perlawanan trading card game (TCG), serta acara aplikasi mobile.
Pikachu Durian, Cawan Kopi Tradisional, dan Banyak Lagi

Bagi meraikan pembukaan semula ini, Pokémon Center tersebut akan melancarkan 20 barangan peringatan eksklusif yang menampilkan rekaan khas bertemakan budaya tempatan.
Kumpulan pertama yang mengandungi 12 produk akan dilancarkan pada 1 Julai, dengan fokus kepada keunikan budaya makanan Singapura. Ini termasuklah plushie Pikachu yang memegang buah durian, serta set cawan dan piring kopi tradisional tulen. Kumpulan kedua barangan cenderamata pula akan menyusul pada bulan Ogos, termasuklah bag charm yang menampilkan watak Pikachu bersama secawan kopi.
Berikut adalah senarai koleksi barangan pertama beserta harganya (dalam SGD):
- Logo Pin: SGD 10.00
- Plush Solgaleo dan Pikachu: SGD 70.00
- Plush Pikachu dengan Durian: SGD 34.00
- Metal Plate: SGD 198.00
- Kopi Cup & Saucer Set: SGD 35.00
- Strap Keychain (Merah Jambu, Biru, atau Hijau): SGD 20.00 setiap satu
- Magnet: SGD 14.00
- Sticker Set: SGD 8.00
- Postcard Set: SGD 8.00
- A4 Clear Folder: SGD 4.00
Merancang untuk Datang? Perkara yang Anda Perlu Tahu
Sekiranya anda merancang untuk merentas Tambak Johor atau terbang ke Singapura bagi melawat kedai ini pada minggu pembukaan (Rabu, 1 Julai hingga Ahad, 5 Julai 2026), sila ambil perhatian tentang peraturan kemasukan bagi kawalan kesesakan.
Sesi kemasukan sepanjang lima hari pertama ini akan dibahagikan kepada dua waktu setiap hari:
- 10:00 Pagi hingga 1:00 Tengah Hari (Tempahan Awal Sahaja): Kemasukan adalah terhad kepada mereka yang telah berjaya menempah slot melalui aplikasi rasmi Store Visit Application. Pendaftaran dalam talian bagi slot pagi ini telah pun ditutup pada 2 Jun, dan pemohon yang berjaya telah dimaklumkan pada 4 Jun yang lalu.
- 1:00 Tengah Hari ke atas (Tiket Barisan Hari yang Sama): Sekiranya terlepas tempoh tempahan awal dalam talian, jangan risau kerana anda masih boleh masuk dengan mendapatkan tiket giliran fizikal di lokasi. Tiket ini akan diedarkan setiap hari bermula jam 8:30 pagi berhampiran kedai mengikut konsep siapa cepat, dia dapat, selagi stok masih ada.
Untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai kemasukan harian dan panduan tiket, sila semak Instagram rasmi Pokémon Center Singapore (@pokemonofficial.sg) sebelum memulakan perjalanan.









Discussion about this post