Sejak teaser misterinya pada 2022, Silent Hill: Townfall akhirnya kembali menjadi bualan hangat. Hari ini, Konami dan Annapurna Interactive, bersama pembangun Screen Burn Interactive, mengumumkan bahawa game seram psikologi ini bakal dilancarkan pada tahun 2026 untuk PlayStation 5 serta PC melalui Steam dan Epic Games Store.
Jika sebelum ini kita disajikan dengan suasana pekan Maine, kali ini pemain akan dibawa ke pesisir pantai Scotland.
Pemain akan bermain sebagai Simon Ordell, seorang lelaki yang tiba di pulau St. Amelia dengan azam untuk “memperbetulkan segala kesilapan.” Walaupun lokasinya berbeza, atmosferanya masih mengekalkan identiti klasik Silent Hill… dengan sebuah pekan yang seolah-olah mati dan diselubungi kabus tebal.
Simon tidak memiliki apa-apa kecuali pakaian di badan, gelang pesakit, serta beg IV yang dibawanya. Satu-satunya panduan yang dia ada hanyalah sebuah televisyen poket misteri (CRTV) yang ditemuinya.
Peranti itu menyiarkan suara-suara pelik yang mendorong Simon untuk menggali rahsia pulau tersebut, sekali gus merungkai cebisan masa lalunya.

CRTV Menggantikan Radio Ikonik Silent Hill

Antara pembaharuan paling menarik yang didedahkan ialah penggunaan peranti “CRTV.” Ia merupakan evolusi kepada radio transistor ikonik yang sinonim dengan siri ini. Direka dengan teknologi retro dan estetika visual gaya VHS, CRTV bukan sekadar alat pasif yang mengeluarkan bunyi statik apabila musuh mendekat.
Menurut Jon McKellan, Penulis dan Pengarah di Screen Burn Interactive, CRTV adalah salah satu ciri penting kepada gameplay. Simon boleh menggunakan peranti ini untuk menangkap isyarat yang tidak stabil, membolehkannya “melihat” menembusi persekitaran bagi mengesan ancaman yang tersembunyi.
Selain itu, ia juga berfungsi untuk menangkap siaran misteri di sekitar pekan yang memberi petunjuk penting bagi menyelesaikan teka-teki yang rumit serta mendedahkan naratif cerita.
Pengalaman Seram First-Person dan Taktik Survival

Demi memastikan pemain benar-benar merasa ketakutan yang dialami watak utama, Townfall akan dimainkan sepenuhnya dalam perspektif first-person. Sudut pandang ini dipilih bagi menjadikan interaksi dengan objek dan penyelesaian teka-teki terasa lebih realistik.
Walaupun sistem combat digambarkan sebagai ngeri dan pantas, pemain diingatkan bahawa berlawan bukan selalunya jalan penyelesaian terbaik. Game ini sangat mementingkan elemen stealth dan memperkenalkan sistem “peek,” di mana pemain perlu menggunakan persekitaran untuk bersembunyi atau mengalih perhatian musuh.
Makhluk-makhluk di pulau ini juga direka agar bijak; jika Simon terlalu bising atau menarik perhatian, mereka akan menggunakan deria untuk memburu Simon.









Discussion about this post