Semua orang pasti mengenali francais Kamen Rider tapi siapakah yang betul-betul kenal dan tahu akan Kamen Rider original pada tahun 1971. Merupakan olahan baru kepada kisah klasik, Shin Kamen Rider ialah sebuah filem tokusatsu yang diarahkan dan ditulis oleh Hideaki Anno. Dihasilkan untuk meraikan ulang tahun ke-50 francais Kamen Rider, ia merupakan filem ke-4 dan terakhir dalam Shin Japan Heroes Universe, selepas Shin Godzilla (2016), Evangelion: 3.0+1.0 Thrice Upon a Time (2021) dan Shin Ultraman (2022).
Kini ditayangkan di Malaysia, anda boleh menonton filem ini sekarang! Bagi mereka yang tidak sempat menonton tetapi ingin tahu jalan cerita, teruskan membaca artikel di bawah untuk belajar tentang naratif dan plot lengkap Shin Kamen Rider!
Sinopsis
Penunggang motosikal Takeshi Hongo diculik oleh SHOCKER, sebuah organisasi jahat yang mengubah manusia menjadi haiwan kacukan sintetik yang dikawal minda. Makhluk ini dikenali sebagai Augment, atau Aug.
Hongo terpaksa menjalani eksperimen kejam lalu menjadi Grasshopper-Aug 01 tetapi dibebaskan oleh Ruriko Midorikawa, seorang bekas ahli SHOCKER sebelum mindanya dikawal. SHOCKER menghantar salah seorang ejen terhandal, Spider-Aug, untuk mendapatkan mereka semula dan dia berjaya menangkap Ruriko buat sementara sebelum diselamatkan oleh Hongo yang kini memakai sut istimewa.
Mereka berundur ke rumah selamat di mana mereka bertemu dengan Dr. Hiroshi Midorikawa (bapa Ruriko). Dia mendedahkan bahawa Hongo adalah ciptaan Augment terbaiknya untuk mengalahkan organisasi dan memilihnya atas dua sebab; Hongo dahagakan kuasa dan dia mempunyai prana (sumber tenaga di alam sekeliling) yang membolehkannya memiliki kekuatan luar biasa.
Mereka ditemui oleh Spider-Aug, yang membunuh Dr. Midorikawa dan Ruriko diculik sekali lagi, tetapi rancangan jahat mereka dihalang seiali lagi. Selepas memikirkan peristiwa baru-baru ini, Hongo berjanji untuk menggunakan kuasanya demi kebaikan lalu menggelarkan dirinya sebagai “Kamen Rider.”
Kemudian, dua ejen kerajaan (tidak memberi nama) mendekati Hongo dan Ruriko lalu meyakinkan mereka untuk bekerjasama bagi menumpaskan SHOCKER, sebagai pertukaran untuk keselamatan dan intel.
Ruriko mendedahkan bahawa SHOCKER ialah sebuah pertubuhan rahsia yang asalnya dicipta oleh seorang bilionair dengan matlamat untuk memberi kebahagiaan kepada manusia. Walau bagaimanapun, bilionair itu membunuh diri dan SHOCKER dikawal oleh mesin AI (artificial intelligence) yang salah faham akan kehendak penciptanya, dan percaya bahawa manusia harus ditakluk.
Atas permintaan kerajaan, Hongo dan Ruriko mengalahkan beberapa Aug, termasuk Wasp-Aug (identiti sebenar ialah Hiromi, yang juga rakan Ruriko). Apabila Hongo enggan membunuhnya, Wasp-Aug ditembak oleh salah seorang ejen menggunakan racun Scorpion-Aug.
Kemudian, Ichiro (abang Ruriko) bangkit sebagai Butterfly-Aug. Ichiro membunuh beberapa ejen dengan menghantar roh mereka ke dimensi neraka yang dipanggil Habitat Realm. Ruriko mendedahkan bahawa dia berhasrat untuk melakukan perkara yang sama kepada manusia kerana ibunya dibunuh tanpa sebab, satu kejadian yang membuatkan Ichiro marah dengan manusia.
Hongo dan Ruriko cuba untuk berhadapan dengan Ichiro, tetapi Hongo dihalang oleh Hayato Ichimonji, yang ditukar menjadi Grasshopper-Aug 02 oleh SHOCKER. Hongo melarikan diri bersama Ruriko tetapi dicederakan oleh Ichimonji. Namun, Ruriko berjaya membebaskan Ichimonji daripada kawalan minda SHOCKER.
Tidak lama kemudian, Ruriko dibunuh oleh Mantis/Chameleon-Aug (kemudian dibunuh oleh Ichimonji). Selepas pulih, Hongo melihat wasiat terakhir Ruriko melalui topi keledarnya; dia menjelaskan bahawa dia kalah kepada Ichiro kerana prana-nya melebihi dirinya, jadi dia memindahkan kod ke topi keledar Hongo yang boleh digunakan untuk menumpaskan Ichiro. Pada masa yang sama, dia mengaku bahawa sepanjang bersama Hongo, dia benar-benar gembira.
Selepas Hongo meratapi kematiannya, dia gagal meyakinkan Ichimonji untuk bekerjasama dengannya menentang SHOCKER dan meminta bantuan daripada dua ejen yang tidak dinamakan itu sebelum berdepan dengan Ichiro.
Hongo diserang hendap oleh segerombolan Grasshopper-Aug tetapi tanpa disangka, dia diselamatkan oleh Ichimonji, yang menggelarkan dirinya sebagai “Kamen Rider No.02“. Kedua-duanya bekerjasama untuk mengalahkan kumpulan Aug tersebut. Apabila mereka berhadapan dengan Ichiro, dia berubah kepada transformasi penuh, Kamen Rider No.0, yang terbukti cukup kuat. Walaupun begitu, Hongo dan Ichimonji berjaya memusnahkan sumber prana-nya.
Kedua-duanya berjaya menanggalkan topi keledar Ichiro dan menggantikannya dengan topi keledar Hongo, di mana Ichiro berinteraksi dengan roh Ruriko dan kedua-duanya berdamai. Setelah menghabiskan prana mereka, kedua-dua Ichiro dan Hongo mati.
Kemudian, kedua-dua ejen kerajaan menghormati permintaan Hongo dengan mewariskan topi keledarnya kepada Ichimonji, dan mendedahkan bahawa mereka telah menyelamatkan roh Ruriko ke lokasi yang selamat, dan Hongo mahu Ichimonji meneruskan nama “Kamen Rider” dan mengalahkan SHOCKER.
Ichimonji dengan berat hati bersetuju untuk bekerja dengan dua ejen itu, yang mengenal diri sebagai Tachibana dan Taki. Bersama sut baharu dan topi keledar Hongo yang ditambah baik, Ichimonji berinteraksi dengan Hongo, yang memindahkan rohnya ke topi keledar; dan mereka berdua, kini dikenali sebagai “Kamen Rider No.02+01,” menunggang ke arah matahari terbenam dengan penuh harapan.
Jika ada peluang, sila tonton Shin Kamen Rider! Kini ditayangkan di beberapa pawagam tertentu di Malaysia, inilah waktunya untuk mendalami sejarah awal francais tokusatsu ini.
Untuk membaca segala berita kami tentang Kamen Rider, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post