Kalau dulu, susah betul jika kita ingin membaca manga. Itu pun kita sering mencari majalah seperti Kreko yang dikecilkan panelnya untuk kita baca. Kini, kita sudah boleh membaca manga dan juga manhwa yang diterbitkan dengan mudah terima kasih pada teknologi yang ada. Malah, kita boleh memberikan sokongan kepada artis yang berusaha untuk menyajikan bab terbaru untuk manga dan manhwa kegemaran. Jadi mari kita lihat senarai platform rasmi yang anda boleh gunakan untuk membaca manga dan manhwa!
Mangaplus
Manga Plus adalah platform manga dalam talian milik Shueisha yang dilancarkan pada 28 Januari 2019. Anda boleh menggunakan platform ini menggunakan aplikasi tersedia di App Store atau menggunakan browser anda. Jika anda peminat Weekly Shonen Jump, ini merupakan platform terbaik untuk anda kerana MangaPlus menyediakan tajuk-tajuk dari Weekly Shonen Jump seperti Naruto, One Piece, My Hero Academia dan banyak lagi. Ia akan melepaskan bab terbaru sama waktu dengan Jepun jadi anda tidak akan ketinggalan. Tetapi anda hanya boleh membaca tiga bab terawal dan tiga bab terbaru.
Manga UP!
Kalau teringin nak baca manga seperti Fullmetal Alchemist, Soul Eater, My Dress-Up Darling, Kakegurui, bolehlah cuba platform terbaru oleh Square Enix ini. Ia juga akan kemas kini bab terbaru sama hari dengan Jepun lebih kurang dengan MangaPlus. Anda boleh membaca beberapa bab percuma untuk setiap siri tersedia dalam laman web atau aplikasi. Tetapi untuk bab lain, anda boleh menggunakan mata “UP” yang akan diberikan setiap hari, membolehkan anda untuk membaca lapan bab setiap hari. Untuk bab yang paling baru pula, anda perlu menggunakan mata “XP” yang perlu dibeli di kedai aplikasi.
Book Walker
Book Walker adalah kedai buku digital rasmi untuk KADOKAWA. Ia adalah aplikasi dan laman web yang sempurna untuk membaca novel ringan dan siri manga digital. Kedai-kedai disusun ke dalam kategori yang merangkumi: pelepasan baru, bab-bab terbaru dan siri pemenang anugerah yang dijadikan anime. Platform ini juga telah melancarkan aplikasinya pada tahun 2012. Book Walker dapat diakses melalui browser, Android dan iOS. Setiap pembelian memperoleh duit syiling yang dapat digunakan untuk membuat pembelian di masa depan. Kedudukan keahlian berdasarkan jumlah perbelanjaan anda menentukan berapa banyak syiling yang boleh anda peroleh setiap pembelian.
Crunchyroll
Crunchyroll bukan hanya laman web hebat untuk menonton anime, tetapi juga mempunyai perpustakaan manga yang besar. Untuk mendapatkan akses penuh ke manga di laman webnya, anda perlu mendaftar untuk rancangan Premium serendah RM 32.99. Keahlian Premium juga memberi anda akses tanpa iklan ke anime dan simulcast, yang pasti memberi anda keuntungan. Mengenai manga di Crunchyroll, anda boleh menemui judul yang popular, antaranya Fairy Tail, The Seven Deadly Sins, Attack on Titan, dan banyak lagi. Sekiranya anda belum bersedia untuk menjadi ahli, anda boleh mencuba percubaan percuma selama 14 hari, yang memberi anda akses ke manga percuma untuk jangka masa tersebut.
INKR Comics
Pencipta laman web dan aplikasi komik INKR pernah memiliki aplikasi yang popular ‘Manga Rock’, tetapi disebabkan oleh beberapa cabaran operasi, mereka menutupnya pada akhir 2019 untuk membuka INKR pada tahun 2020, dengan tujuan untuk menyokong pencipta komik dan penerbit untuk membuat persembahan lebih baik dalam bidang mereka. Dengan bayaran RM 22.99 yang dibayar setiap bulan, anda akan mendapat akses ke pelbagai komik, manga, webtoon, dan juga manhua yang merangkumi beberapa genre seperti aksi, komedi, seram, dan lain-lain. Namun, terdapat beberapa siri yang mungkin memerlukan beberapa kos tambahan yang boleh dilakukan dengan menggunakan “coin”. Anda boleh muat turun aplikasi di sini.
Tapas
Tapas menampilkan pelbagai siri, dipisahkan mengikut genre untuk memudahkan pembaca mencarinya. Platform ini menawarkan gabungan siri percuma dan bab percuma untuk dibaca. Untuk siri premium, anda boleh membaca beberapa bab pertama secara percuma tetapi bab yang seterusnya memerlukan pengguna menggunakan “ink” yang boleh dibeli atau didapatkan secara percuma melalui acara atau menonton video melalui aplikasi tersebut. Tapas antara platform yang banyak membawa manhwa popular seperti The beginning After the End, Villains Are Destined to Die, Solo Levelling dan banyak lagi buat peminat manhwa.
Webtoon
Webtoon merupakan platform webtoon terkenal yang diterbitkan oleh NAVER pada tahun 2014. Ia merupakan platform yang mempamerkan pelbagai genre manga dan manhwa. Banyak K-Drama popular seperti Cheese in the Trap atau True Beauty yang datang dari komik Webtoon. Semua siri Webtoons percuma untuk dibaca, tetapi jika anda tidak sabar, anda boleh membeli “coin” untuk membayar akses awal ke bab baru. Webtoon dioptimumkan untuk dibaca melalui telefon bimbit dan browser anda.
Tappytoon
Tappytoon mengikuti format yang sama seperti Webtoon dan Tapas. Ia telah dilancarkan pada tahun 2016 dan menampilkan beberapa manhwa popular seperti Solo Leveling, Dungeon Reset dan A Returner’s Magic Should be Special. Anda boleh melihat siri mengikut genre atau kemas kini terkini. Seperti platform lain, anda boleh membaca beberapa contoh bab sebelum menggunakan token untuk mengakses siri yang lain. Beberapa tajuk beroperasi di bawah model “Time Till Free” di mana anda mesti menunggu sekurang-kurangnya 24 jam sebelum anda dapat membaca bab seterusnya.
Lezhin comics
Lezhin Comics adalah platform popular lain untuk anda membaca manhwa. Ia telah dilancarkan pada tahun 2013 dan diasaskan oleh blogger Korea Selatan, Han Hee-sung. Lezhin Comics mengambil pendekatan kandungan untuk meningkatkan pendapatan. Platform ini membolehkan pembaca membaca episod semasa dan episod sebelumnya secara percuma, tetapi jika pembaca mahu akses ke episod yang akan datang, mereka mesti menunggu seminggu sehingga episod seterusnya dibuka atau membayar untuk mendapatkan akses segera. Anda boleh klik di sini untuk muat turun.
Manta
Manta juga antara platform manhwa yang ramai pembaca manhwa gunakan kerana ia tidak memerlukan sebarang kos tambahan. Dengan hanya melanggan, anda boleh membaca ke semua tajuk yang tersedia dalam platform tersebut. Ia juga tidak mengandungi iklan pada aplikasinya. Sila klik pautan ini untuk muat turun.
Itu sahaja yang boleh saya kongsi untuk kali ini. Saya berharap anda boleh mencuba platform-platform yang disenaraikan untuk membaca manga dan manhwa secara sah. Janganlah kita menggunakan laman web cetak rompak kerana artis tidak mendapat sebarang keuntungan daripada laman web tersebut. Jika anda inginkan liputan lain mengenai manga, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post