Kalau kita fikir tentang robot gergasi, antara perkara pertama yang muncul dalam otak pasti adalah Gundam, di mana francais ini tahun demi tahun terus memukau penonton dengan kisahnya tentang perang, persahabatan, dan aksi pertarungan robot-lawan-robot. Selain daripada anime dan Gunpla, sebenarnya ada banyak game Gundam yang boleh menghiburkan peminat! Namun, disebabkan ada lebih daripada 20 judul dalam francais, mana satu yang harus peminat cuba dahulu? Berikut saya senaraikan tujuh game Gundam yang anda wajib cuba!
Senarai ‘game Gundam yang anda wajib cuba’ ini dipilih berdasarkan ketersediaannya di Malaysia dan hanya untuk platform terkini.
Super Robot Wars (PS4, Nintendo Switch, PC)
Mana-mana peminat mecha yang mencintai Gundam pasti kenal francais Super Robot Wars yang besar. Game RPG taktikal dari Bandai Namco ini merupakan crossover terbesar antara mecha dan menampilkan crossover dari beberapa francais popular dari dunia manga, anime, dan permainan video. Setiap ansuran membolehkan pemain “memandu” sebuah mecha dari setiap siri lalu mengambil bahagian dalam naratif watak Gundam dan juga mecha dari francais lain.
Selain itu, gameplay RPG turn-based adalah sesuatu yang saya rasa agak menarik. Secara ringkas, pemain akan mengawal sebilangan mecha dari setiap francais dalam peta berasaskan grid. Beberapa mecha ini juga membawa sifat unik mereka dari siri asal, seperti kebolehan untuk transformasi (contoh seperti Gurren Lagann)!
SD Gundam G Generation Cross Rays (PS4, Nintendo Switch)
Peminat Gundam juga akan suka SD Gundam G Generation Cross Rays kerana pengalaman RPG taktikal ditawarkan. Cross Rays mengenalkan pemain kepada majoriti anime, filem, permainan, dan spin-off dari dunia Universal Century dan mempunyai lebih daripada 70 tahap berbeza, masing-masing terbahagi kepada senario ikonik yang menceritakan sejarah keseluruhan Universal Century.
Mungkin ada yang mengadu bahawa ada senario yang terlalu pendek untuk menjelaskan titik plot terlalu rumit. Namun, Cross Rays masih akan menjadi pengalaman yang seronok dari segi elemen strategi dan kehebatan taktikal. Memandangkan game ini bersifat RPG, pemain dapat mengagihkan juruterbang ke pelbagai MS dan memandunya secara individu serta memperoleh MS baru melalui sistem leveling, fusion, pertukaran, dan pengumpulan poin.
Gundam Versus (PS4)
Sebagai generasi kelima untuk siri Gundam VS, Gundam Versus untuk PS4 menawarkan grafik yang lebih baik dan persekitaran yang lebih imersif bagi pertarungan berasaskan pasukan. Versus bergantung pada sistem poin di mana MS setiap pasukan mempunyai nilai poin bergantung pada kekuatan dan potensi mereka. Pasukan yang berjaya menghabiskan mata musuh dahulu akan memenangi perlawanan.
Nasib baiklah, Versus mempunyai mekanik untuk memberikan pengalaman pertempuran fast-paced buat pencinta Gundam. Ia mempunyai teknik Boost Step, Boost Dash, dan Boost Dive yang membolehkan 180+ unit MS bergerak dengan pantas di medan perang seperti yang kita lihat di anime.
Gundam Breaker Mobile (Android/iOS)
Direka untuk peranti mobile, peminat tidak perlu berbelanja walau satu sen untuk memuat turun Gundam Breaker Mobile di mana kita dapat mengumpulkan bahagian-bahagian tertentu bagi membina Gunpla impian lalu menggunakannya dalam pertempuran.
Sebagai varian mudah alih untuk francais Gundam Breaker, Breaker Mobile meminjam elemen-elemen asas dari francais. Ini termasuk Story Mode (meningkat dalam kesukaran), dan Gunpla eksklusif untuk siri. Bersama elemen gacha unik dan ciri customization yang luas, Breaker Mobile mempunyai pelbagai cara untuk pemain memperibadikan Gunpla mereka.
Mobile Suit Gundam: Battle Operation 2 (PS4, PS5)
Pemain yang ingin merasa seperti pemandu MS boleh cuba Battle Operation 2. Sama seperti pendahulunya, Battle Operation 2 berlaku dalam garis masa sci-fi realistik yang dikenali sebagai Universal Century ( UC). Namun, kali ini kita diupah oleh Private Military Union dan bukannya EFF dan Zeon dari permainan pertama.
Berbeza dari judul Gundam lain, Battle Operation 2 tidak mempunyai naratif. Sebaliknya, sebuah pasukan yang terdiri dari 1 hingga 6 orang akan terlibat dalam pertempuran di pelbagai senario tidak kira darat atau di luar angkasa. Tambahan pula, pemain boleh menggunakan juruterbang untuk melakukan beberapa tugas spesifik seperti mengambil poin, menggunakan kenderaan seperti kereta, berinteraksi dengan bom, atau mencuri MS milik musuh.
Memandangkan latar belakangnya, hanya MS dari era UC sahaja yang dapat digunakan dalam permainan. Pada masa yang sama, kerosakan pada MS akan mempengaruhi aspek tertentu dari permainan, seperti fungsi radar dan pergerakan.
New Gundam Breaker (PS4, PC)
Pemain yang suka aspek customization di Gundam Breaker Mobile mungkin ingin mencuba versi PS4/PC yang menambahkan satu lapisan strategi baru untuk peminat tegar. Kali ini, sistem pertempuran terdiri dari 3 lawan 3 dan merangkumi pelbagai objektif untuk aspek multiplayer.
Seterusnya, New Gundam Breaker mempunyai sistem customization yang diperbaharui. Peranan dan kemampuan peribadi akan dinyatakan untuk setiap Gunpla sebelum kita memasangya. Pemain juga dapat merebut bahagian yang terjatuh dari musuh untuk menggantikan bahagian Gunpla mereka yang rosak. Sistem ini memberikan elemen “real-time customization battle” yang menambahkan dimensi baru dalam pertempuran Gundam.
Gundam Extreme Versus Maxiboost ON (PS3, PS4)
Pemain yang baru sahaja mengenali francais mecha boleh cuba Gundam Extreme Versus Maxiboost ON. Sebagai entri terkini dalam siri Gundam VS, Maxiboost ON bergantung pada sistem pertempuran berasaskan poin. Sama seperti Versus di atas, pemain akan membentuk pasukan dengan nilai mata berbeza. Apabila bermula, pasukan pertama yang menghabiskan mata pasukan lawan akan memenangi perlawanan.
Apa yang menarik di sini ialah semua MS mempunyai sistem kawalan yang lebih mudah seperti melompat, mencari, dan butang khusus untuk serangan jarak dekat dan serangan jarak jauh. Sebagai gantinya, pemain perlu bertarung secara taktikal untuk memanfaatkan sepenuhnya MS mereka. Berkat komponen multiplayer, Maxiboost ON memang mudah untuk diakses oleh peminat dengan mekaniknya yang mudah difahami dan gameplay fast-paced yang seronok.
Itu sahaja senarai saya bagi game Gundam yang semua peminat mecha wajib cuba! Apa pendapat anda? Mana satu yang korang akan cuba dulu? Jom kongsikan pendapat bersama saya di ruang komen!
Sumber – Sumber video dari Youtube Bandai Namco Southeast Asia
@gamersantaimy
Discussion about this post