Suasana di Rockstar Games, pembangun ulung di sebalik francais “Grand Theft Auto,” kini dilaporkan sangat merosot. Syarikat itu sedang dilanda kontroversi yang berkisar pada rasa tidak puas hati pekerja, dakwaan cubaan mematahkan usaha kesatuan sekerja, serta penangguhan sekali lagi permainan video, “Grand Theft Auto VI.”
Satu perkongsian oleh seorang pekerja yang tidak mahu namanya didedahkan telah menggambarkan persekitaran dalaman syarikat, dengan menyatakan bahawa semangat pekerja telah “merosot teruk” dalam suasana yang penuh ketakutan.

Baru-baru ini, Rockstar Games telah memberhentikan antara 30 hingga 40 kakitangannya di studio United Kingdom dan Kanada atas sebab “salah laku yang serius,” dengan tuduhan bahawa mereka telah membocorkan maklumat sulit.
Namun begitu, Independent Workers’ Union of Great Britain (IWGB) bersama pekerja yang terlibat menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Mereka mendakwa bahawa pemecatan itu adalah “tindakan terancang untuk menghalang penubuhan kesatuan sekerja” bagi menggagalkan usaha mereka untuk berorganisasi.
Menurut IWGB, pekerja yang diberhentikan itu merupakan ahli sebuah kumpulan perbincangan peribadi di Discord yang digunakan untuk membincangkan hal-hal berkaitan kesatuan dan syarat-syarat pekerjaan.

Tuduhan ini diperkuatkan lagi dengan satu posting panjang di Forum GTA oleh seorang individu yang mendakwa sebagai pekerja semasa di Rockstar, di mana identitinya telah disahkan oleh moderator forum tersebut.
Pekerja tanpa nama itu mendedahkan bahawa rakan-rakannya, termasuk mereka yang telah berkhidmat lebih sedekad tanpa sebarang rekod disiplin, telah dipecat melalui mesyuarat yang singkat dan sambil lewa, tanpa sebarang bukti salah laku dikemukakan.
Bagi pekerja yang tidak berada di pejabat, penamatan kontrak mereka dimaklumkan melalui panggilan telefon yang tidak sampai dua minit.
Posting itu juga secara terang-terangan menafikan sebarang kebocoran maklumat berlaku dalam kumpulan Discord tersebut, dan menegaskan ia adalah saluran peribadi untuk pekerja dan wakil kesatuan membincangkan isu-isu di tempat kerja.

“Kami yang masih bernasib baik untuk kekal di sini, kini bekerja dalam ketakutan,” tulis pekerja tersebut.
“Kami berasa cemas untuk berbual sesama sendiri di ruang rehat, bimbang kami pula akan menjadi mangsa seterusnya dan mudah disingkirkan. Malah, kami terlalu takut untuk keluar dari studio untuk berbual (atau sekadar bertegur sapa) dengan rakan-rakan yang sedang memprotes di luar kerana khuatir akan tindakan balas.”
Posting itu turut menggambarkan semangat di studio sebagai “benar-benar pudar,” suatu keadaan yang sangat berbeza daripada keterujaan yang sepatutnya dirasai ketika projek besar seperti ini menghampiri fasa akhir pembangunan.

Pergolakan dalaman ini berlaku serentak dengan pengumuman bahawa “Grand Theft Auto VI” ditangguhkan buat kali kedua, dengan tarikh pelancarannya dianjakkan dari Mei 2026 kepada 19 November 2026.
Walaupun pihak Rockstar menyatakan penangguhan ini bertujuan untuk memastikan game tersebut mencapai tahap kualiti yang diharapkan peminat, isu-isu dalaman yang berterusan telah menimbulkan kebimbangan terhadap kelancaran proses pembangunannya.
Pekerja tanpa nama itu turut menyorot isu “budaya kerja lebih masa (crunch) yang semakin menjadi-jadi” dan “pembayaran gaji yang tidak setimpal” sebagai masalah-masalah utama yang mereka harap dapat diselesaikan bersama pihak pengurusan melalui penubuhan kesatuan sekerja.









Discussion about this post