ROG kembali dengan model baharu laptop Zephyrus G16 yang mendapat pelbagai penambahbaikan pada hardware serta reka bentuknya. Dengan menawarkan prestasi hebat dalam badan yang nipis dan kemas, ia nampaknya sungguh sesuai buat gamer yang suka bermain di mana-mana sahaja. Kalau nak tahu lebih lanjut, teruskan baca review penuh kami untuk ROG Zephyrus G16 (2024).
Reka bentuk
Buka sahaja kotak, memang anda akan lihat betapa premium rupa ROG Zephyrus G16 yang baru ini. Varian 2024 hadir dengan dua pilihan warna iaitu Eclipse Gray dan Platinum White. Unit yang kami review kali ini merupakan versi Eclipse Gray.
Untuk model refresh 2024 ini, Zephyrus G16 ini mendapat rupa baharu, dengan “Slash Lighting” berada pada penutup laptop, yang mempunyai LED bar seakan-akan paparan AniMe Matrix pada model terdahulu. Slash Lighting ini sememangnya membuatkan laptop ini menonjol berbanding laptop gaming lain di pasaran. Cahaya pada Slash Lighting akan memberi reaksi apabila anda menggunakan laptop tersebut seperti mendengar lagu, bermain game atau mendapat notifikasi.
Walaupun ia kelihatan cool, tetapi cahaya berkelip pada laptop itu mungkin sedikit menganggu, lebih-lebih lagi mereka yang menghadap cahaya itu. Slash Lighting itu juga akan sentiasa terbuka jika anda meninggalkan laptop anda dalam mode tidur. Berita baiknya, anda boleh tetapkan untuk cahaya tersebut dipadamkan. Jadi tidaklah anda menarik perhatian ramai sangat orang semasa menggunakannya.
Zephyrus G16 hadir dengan rekaan yang kelihatan premium serta kukuh, dengan penggunaan CNC aluminium pada casisnya yang membuatkannya terasa halus apabila dipegang. Disebabkan itu juga agak mudah untuk kesan cap jari anda meletak padanya. Jadi kena rajin lap kalau ingin laptop tersebut kelihatan kekal bersih.
Berbanding laptop gaming biasa yang hadir dengan rekaan yang besar dan tebal, siri Zephyrus ini lebih kepada model yang lebih portable dengan kuasa yang cukup kuat untuk gaming. Zephyrus G16 baru ini tampil dengan berat yang ringan, 1.85 hingga 1.95 kg dan senipis 16.4 hingga 17.4 mm, bergantung pada spesifikasinya.
Keyboard & Touchpad
Penutup laptop juga boleh tahan kukuh tanpa sebarang lengkungan yang kami perasan semasa mengangkatnya. Selepas mengangkat penutup itu, anda akan melihat posisi keyboard dan touchpad yang akan unik.
Touchpad laptop ini lebih besar berbanding model terdahulu, dengan seluas 150.30 mm x 98.8 mm. Disebabkan saiznya yang besar, jadi agak selesa untuk menggunakan touchpad ini disebabkan bahannya yang licin, memudahkan jari untuk bergerak padanya. Ia juga terletak pada posisi di mana tapak tangan anda tidak akan berehat atasnya, jadi kurang sikit kesalahan mouse.
Keyboardnya merupakan tenkeyless (TKL) yang padat dan didampingi oleh dua speaker besar pada sisinya. Disebabkan posisinya itu, agak lama juga untuk kami biasakan diri semasa menggunakannya. Keyboard itu juga agak rata dan mempunyai keycap yang besar membuatkan pengalaman menaip kurang baik. Sebagai contoh, apabila kami kliknya, ia sangat selesa dan responsif tetapi kalau menaip dengan laju, banyak juga typo yang terhasil.
Memandangkan keyboard ini terletak di antara dua speaker, ia juga berfungsi seperti bolong udara kerana apabila anda bermain game, anda mungkin terasa suhu panas pada bahagian tepi, lebih-lebih lagi kalau anda meletakkan tangan pada atasnya.
Paparan, Bunyi & Bateri
Bagi kami, ROG Zephyrus G16 mempunyai paparan yang cantik untuk sebuah laptop. Paparan laptop ini datang dengan saiz 16 inci dan resolusi 2560 x 1600 (2.5K) pada panel OLED. Ditambah pula dengan gamut warna 100% DCI-P3, memang sesuai sangat untuk laptop ini digunakan untuk kembangkan kreativiti anda. Dengan mempunyai refresh rate maksimum 240 Hz, anda boleh jangkakan pengalaman gaming yang lancar. Paparan Nebula juga didatangkan dengan HDR yang menetapkan kontrasnya dengan warna hitam yang amat gelap, menjadikannya skrin yang mantap untuk main game seram atau menonton filem. Ia juga merupakan skrin yang terang dengan kecerahan maksimum 500 nits.
Dilengkapi dengan set speaker yang mengagumkan, anda akan alami ledakan audio yang jelas menjadikan game seperti Resident Evil 4 Remake sangat seronok dimainkan walaupun tidak memakai headset. Sejujurnya, kami tiada masalah langsung dengan audio yang dihasilkan oleh speaker laptop ini. Asalkan ia tidak berbunyi terlampau tajam atau pecah, ia satu speaker laptop yang cukup bagus.
Untuk bateri pula, laptop ini mempunyai bateri sebesar 90Whr yang mampu bertahan selama 5 hingga 6 jam kalau anda melayari internet atau menonton video. Ia juga didatangkan dengan dua adapter berbeza iaitu adapter 240W yang menggunakan plug DC manakala yang lain pula merupakan adapter yang lebih portable iaitu pengecas Type-C 100W PD. Kalau laptop anda hampir kehabisan bateri, anda boleh mengisi semula baterinya menggunakan mana-mana pengecas ini. Jangan risau kedua-duanya agak pantas mengecas laptop itu.
Prestasi
Bercerita tentang prestasi, kami telah menggunakan model GU605M-VQR109WO yang dilengkapi dengan CPU Intel Core Ultra 9 Processor, GPU laptop NVIDIA GeForce RTX 4060 dan 32 GB DDR5 RAM. Kami telah mencuba beberapa game dan perisian untuk melihat prestasinya. Berikut adalah hasil yang kami telah dapat:
– Cyberpunk 2077
Disebabkan game ini terkenal dengan grafiknya yang agak berat untuk dimainkan. Laptop ini juga agak bergelut untuk mengekalkan 60 fps yang stabil walaupun pada tetapan High. Kalau anda membuka Ray tracing makin teruk prestasi game ini malah mencecah lebih rendah berbanding 30 fps.
Setelah DLSS Ultra Performance dibuka, game boleh mencecah 100+ fps pada tetapan High malah boleh mengekalkan 80 fps secara purata jika menghidupkan Ray Tracing dengan pencahayaannya sederhana.
– Resident Evil 4 Remake
Kami telah menggunakan Max Preset semasa mainkan game ini. Kami perasan ada sedikit lag pada menu game dan crash apabila masuk ke dalam game. Apabila ditetapkan pada Prioritize Graphic dengan Ray Tracing dan Volumetric Lighting kepada High, game boleh dimainkan pada 50 fps tetapi ada beberapa detik fps itu akan menurun. Sejujurnya kalau main dengan tetapan grafik rendah sudah cukup bagus untuk Resident Evil 4 memandangkan ia sudah cukup menawan. Jadi kalau anda ingin main dengan lebih lancar, bolehlah gunakan Prioritize Performance.
– Lords of the Fallen
Apabila bermain Lords of the Fallen, frame rate game agak konsisten membuatkan sukar untuk kami mengukur prestasinya. Walaupun tidak menggunakan DLSS, frame rate game kekal melebihi 60 fps pada kebanyakan kawasan tetapi dengan beberapa penurunan yang melampau di sana sini.
Di kawasan yang terang benderang seperti di luar Skyrest Bridge, fps game tidak begitu stabil dan sentiasa beralah antara 50+ fps hingga 60+ fps, dan jarang mencapai 70 fps ke atas. Semasa berada di zon yang lebih gelap seperti gua, game menjadi agak lancar dan melebihi 70 fps atau 80 fps dengan agak kerap. Lords of the Fallen dimainkan dengan lebih lancar setelah DLSS dihidupkan, malah pada Quality, game mampu cecah melebihi 60 fps.
– Remnant 2
Satu lagi game Unreal Engine 5 yang agak berat untuk dimainkan dan memerlukan anda menetapkan grafik terbaik untuk mainkannya. Pada resolusi native pada tetapan Ultra tanpa DLSS dihidupkan, Remnant 2 mampu mencapai 60 fps dan mempunyai refresh rate tidak stabil yang turun pada kadar yang kerap, terutamanya semasa pertempuran. Setelah DLSS dihidupkan, game boleh dimainkan dengan lebih lancar walaupun pada resolusi native tanpa penurunan yang ketara, menjadikannya pengalaman shooter yang baik di mana-mana sahaja.
– 3DMark (Time Spy)
- Time Spy Score – 8 802
- Average – 9 963
- Best – 10 962
- Graphics Score – 8 992
- CPU Score – 7 862
– PCMark 10
- Score – 6 107
- Essentials – 9 093
- Productivity – 6 370
- Digital Content Creation – 10 671
Perisian yang tersedia
Untuk pengalaman yang lebih selesa, ROG Zephyrus G16 hadir dengan perisian ASUS tersendiri seperti Armoury Crate dan MyASUS. Untuk seseorang yang ingin mendapatkan prestasi yang optimum, Armoury Crate merupakan perisian yang sesuai untuknya. Bukan sahaja perisian itu mempunyai preset UI yang intuitif malah anda boleh menukar preset prestasi menggunakan satu butang sahaja.
Anda juga boleh memantau prestasi RAM, kelajuan kipas dan storan anda tanpa sebarang langkah yang kompleks. Hotkey dan shortcut dan paparan anda juga boleh ditetapkan melalui Armoury Crate. Ingin membuatkan laptop anda kelihatan lebih cool? Ubah cahaya RGB dan Slash Lighting menggunakan perisian tersebut.
MyASUS juga perisian yang berguna untuk anda menguruskan waranti laptop serta servis lain untuk produk ASUS yang anda miliki. Ia juga membolehkan anda untuk mendiagnosis sebarang masalah yang anda mungkin jumpa pada laptop.
Kesimpulan
Laptop premium sudah tentu hadir dengan harga yang premium. ROG Zephyrus G16 merupakan sebuah laptop gaming yang mempunyai prestasi hebat untuk pencipta kandungan. Dengan reka bentuknya yang kemas, premium dan bergaya, dilengkapi pula dengan paparan hebat dan speaker yang bagus, laptop ini mampu memberikan pengalaman yang baik buat penggunanya.
Walaupun posisi keyboard terasa pelik dan agak janggal untuk kami gunakan dan suhu yang panas di sisinya, hampir semua aspek laptop ini direka dengan baik.
ASUS ROG Zephyrus G16 (2024) – GU605M-VQR109WO sudah tersedia di Malaysia dengan tanda harga RM 10,999. Model review dibekalkan oleh ASUS Malaysia. Untuk membaca segala berita mengenai produk ASUS daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post