Muse Asia mengumumkan ketibaan filem anime Assassination Classroom the Movie: Everybody’s Time (Gekijōban Ansatsu Kyōshitsu Minna no Jikan) ke pawagam Malaysia tidak lama lagi.
Filem ini akan membuat tayangan perdana di Malaysia secara eksklusif di GSC Cinemas bermula 9 April 2026. Tarikh ini hanya beberapa minggu selepas tayangan sulungnya di Jepun pada 20 Mac.
Menurut pencipta asal Yūsei Matsui, projek ini membawa nilai yang lebih besar daripada sekadar sambutan ulang tahun ke-10. Beliau menegaskan bahawa karya terbaharu ini merupakan kesinambungan terus kepada jalan cerita utama, lantas menjadikannya sebuah karya yang wajib ditonton oleh para peminat.
Apa yang membuatkan filem ini lebih istimewa adalah isinya akan menghidupkan semula beberapa bab yang “terlepas” daripada manga asal ke dalam bentuk animasi. Sebelum ini, episod-episod dan detik-detik penting watak tersebut terpaksa diketepikan daripada siri anime (tahun 2015 & 2016) atas faktor kekangan masa.
Dengan menyatukan semula elemen-elemen yang pernah dipotong ini, filem tersebut menyajikan naratif yang paling lengkap setakat ini.
Dari segi barisan pelakon, produksi ini mengekalkan pelakon suara asal daripada siri anime bagi memastikan keserasian. Namun, ada juga penambahan beberapa pelakon suara baharu bagi menghidupkan kandungan tambahan dalam filem ini:
- Kikuko Inoue sebagai Azusa
- Mai Fuchigami (yang kekal sebagai Nagisa) turut meminjamkan suara untuk watak Hotaru
- Sayumi Suzushiro sebagai Kaho Tsuchiya
- Mai Kanazawa sebagai Kokona Tagawa
- Yūichirō Umehara sebagai Seeker
- Kappei Yamaguchi sebagai Futoshi
- Kazuhiro Yamaji sebagai Mario
- Hiroki Tōchi sebagai Chantha
- Tetsu Inada sebagai Sengoku
Animasi pula dikendalikan sepenuhnya oleh Studio Lerche, iaitu studio yang sama yang menjayakan dua musim siri anime asal.
Manga Assassination Classroom mula mencetuskan fenomena di Weekly Shonen Jump dari 2012 hingga 2016.
Siri ini dikenali kerana elemen aksi, komedi sekolah, serta kisah bimbingan Koro-sensei… seorang makhluk asing kuning bertentakel yang berhasrat “memusnahkan” Bumi, tetapi pada masa yang sama mendidik pelajarnya untuk menjadi pembunuh upahan yang mampu menghalangnya.









Discussion about this post