Tanpa sebarang pengumuman awal, Nintendo bersama pembangun Monolith Soft telah melancarkan Xenoblade Chronicles X: Definitive Edition – Nintendo Switch 2 Edition. Game RPG sains fiksyen ini tersedia untuk beli di Nintendo eShop, dengan pengoptimuman khas bagi konsol tersebut.
Berita baik buat peminat yang sudah pun memiliki Definitive Edition pada Nintendo Switch; anda tidak perlu mengeluarkan duit banyak untuk membeli semula game ini.
Nintendo menyediakan “Upgrade Pack” yang boleh dibeli secara berasingan, membolehkan pemilik sedia ada menaik taraf game mereka untuk menikmati segala kelebihan teknikal pada versi Switch 2.

Tarikan utama edisi baharu ini sudah tentulah peningkatan prestasi teknikalnya. Jika versi asal terikat dengan had kemampuan Wii U dan Switch, versi Switch 2 ini melonjakkan kualiti visual ke tahap yang lebih tinggi.
Apabila dimainkan dalam mod docked, pemain boleh menikmati keindahan dunia dalam resolusi 4K yang cukup tajam dengan kadar bingkai 60fps yang sangat lancar. Malah, mod handheld juga menyokong resolusi 1080p pada 60fps.
Misi di Planet Mira
Berlatar tahun 2054, kisah Xenoblade Chronicles X bermula selepas Bumi musnah akibat peperangan antara galaksi. Sebuah kapal koloni manusia, White Whale, terpaksa melakukan pendaratan cemas di sebuah planet asing bernama Mira.

Di sini, anda akan mengawal watak utama yang boleh diubah suai mengikut kreativiti sendiri untuk menyertai BLADE (sebuah organisasi yang memikul tanggungjawab memastikan kelangsungan hidup umat manusia).
Inti pati game ini melibatkan pengembaraan merentasi lima benua gergasi, daripada hutan bercahaya sehinggalah ke padang pasir gersang, demi menjejak “Lifehold,” iaitu bahagian kapal yang hilang dan menyimpan saki-baki populasi manusia yang masih dibekukan.

Sistem combat dalam game ini masih berteraskan aksi menerusi skil unik yang dipanggil “Arts.” Namun, tarikan paling ikonik pastinya jentera robot gergasi yang dikenali sebagai Skell.
Robot ini bukan sahaja boleh bertukar menjadi kenderaan, malah membolehkan pemain terbang merentasi peta serta berhadapan dengan musuh-musuh bersaiz gergasi yang mustahil untuk dikalahkan dengan hanya berjalan kaki.
Bagaimanapun, pemain perlu membuktikan kebolehan mereka dengan mendapatkan “Skell License” melalui pelbagai misi BLADE sebelum dibenarkan mengendalikan jentera ini.

Selain mod Story solo, edisi Switch 2 turut membawakan penambahbaikan kepada fungsi multiplayer. Pemain boleh menyertai skuad dalam talian yang terdiri daripada sehingga 32 orang, manakala misi co-op secara langsung pula dikhususkan untuk pasukan kecil seramai empat orang.

Pasukan ini boleh bekerjasama untuk menyelesaikan pelbagai “Squad Task,” seperti memburu raksasa tertentu atau mencari bahan rare demi mendapatkan ganjaran dalam game.
Bagi mereka yang lebih selesa bermain sendiri tetapi memerlukan bantuan tambahan, anda masih boleh mencari dan merekrut avatar milik pemain sebenar dari seluruh dunia untuk dimasukkan ke dalam pasukan kawalan AI anda.









Discussion about this post