Pemain PC akhirnya dapat menikmati port yang telah lama dinantikan untuk Red Dead Redemption. Bukanlah menunggu sekejap, cuma 14 tahun sahaja… Dan ya, ini bukanlah Remaster atau Remake seperti yang diinginkan ramai, tetapi hanya sebuah port. Namun begitu, lebih baik daripada tiada, bukan?
Meskipun hanya sebuah port, Rockstar telah menambah beberapa ciri baharu untuk memastikan pengalaman bermain Red Dead Redemption di PC lebih lancar dan selesa.
Bagi game yang sudah lama, ciri-ciri ini benar-benar meningkatkan kualitinya. Tambahan pula, ia bukan hanya game asas, tetapi turut disertakan dengan DLC Undead Nightmare, dengan harga RM210.
Tanpa melengahkan masa lagi, ini adalah reviu saya untuk Red Dead Redemption versi PC.
Kisah Wild Wild West
Mari kita lihat serba sedikit tentang jalan cerita Red Dead Redemption. Ia mengisahkan perjalanan John Marston, seorang bekas penjenayah yang dipaksa oleh kerajaan untuk memburu dan “menghapuskan” ahli-ahli lama kumpulannya yang dahulunya merupakan rakan rapatnya.
Berlatarbelakangkan era Wild West pada tahun 1911, game ini menggambarkan sebuah dunia yang sedang mengalami perubahan—daripada kehidupan yang penuh kekacauan tanpa undang-undang kepada peradaban moden yang lebih teratur.
Sepanjang perjalanan, pemain dan John Marston akan bertemu dengan pelbagai watak menarik yang menghidupkan dunia ini. Pemain juga perlu mengelak daripada ancaman kumpulan berbahaya serta cabaran di alam liar demi memastikan keselamatan keluarga John dan menebus masa lalunya.
Red Dead Redemption dengan cemerlang menggambarkan perjuangan seorang bekas penjenayah untuk menebus kesalahannya, memilih jalan hidup yang lebih baik, dan menyesuaikan diri dalam dunia yang sedang berubah.
John sering bergelut dengan dilema sama ada untuk kekal setia kepada orang-orang daripada masa lalunya atau menerima masa depan baharu dalam dunia yang kian berubah.
Game ini dipuji kerana jalan ceritanya yang kompleks, dialog yang mengasyikkan, dan dunia yang sangat “immersive”. Bahkan, misi-misi sampingan yang kecil juga dipenuhi dengan naratif kukuh serta watak-watak yang unik dan realistik.
Kini, dengan game ini tersedia di PC, pemain yang pernah menikmati prekuelnya, Red Dead Redemption 2 (dilancarkan di PC pada 6 Disember 2019), akhirnya dapat menyaksikan sambungan bab kecil dalam saga Wild West yang epik ini.
Untuk DLC Undead Nightmare, ia berlangsung dalam garis masa alternatif dengan jalan cerita tersendiri. John mendapati dirinya berada di tengah-tengah wabak zombi dan mesti menyiasat punca tragedi ini sambil membantu membersihkan bandar daripada makhluk tersebut.
Walaupun premisnya mungkin kedengaran pelik, Undead Nightmare menawarkan pengalaman cerita dan dialog menyeronokkan—pilihan yang bagus bagi mereka yang mahukan sesuatu tambahan dalam dunia Red Dead.
Prestasi dan Visual di PC
Jika dibandingkan dengan versi original di PS3 atau Xbox 360, perbezaan versi PC sangat ketara memandangkan konsol lama tersebut hanya mampu menjalankan game pada resolusi 720p dengan maksimum 30FPS.
Namun, apabila dibandingkan dengan versi PS4 yang boleh dimainkan di PS5 melalui backward compatibility, secara visual, saya tidak melihat banyak perbezaan. Resolusi kini menyokong 4K, menjadikan paparan lebih tajam dan jelas berbanding versi PS3 dan Xbox 360.
Selain itu, ada peningkatan pada draw distance, di mana perincian kawasan jauh—seperti pokok, rumput, dan bangunan—lebih jelas, manakala bayang-bayang pula lebih halus. Kedua-dua aspek ini boleh disesuaikan melalui tetapan.
Walaupun begitu, jangan terlalu mengharapkan grafik yang sangat moden kerana game ini sudah hampir 15 tahun usianya dan bukannya remake atau remaster.
Saya bermain game ini pada PC dengan spesifikasi berikut:
- Intel Core i5 13500
- NVIDIA GeForce RTX 4070 Super
- 32GB RAM @3600MHz
- Monitor 1440p 144Hz
Dengan sokongan sehingga 144FPS, gameplay terasa sangat lancar dan jauh lebih responsif berbanding konsol. Penambahan ciri seperti NVIDIA DLSS 3.7 untuk upscaling, Frame Generation, dan NVIDIA Reflex Low Latency menjadikan pengalaman lebih memuaskan bagi pengguna GPU NVIDIA.
Bagi pengguna AMD, jangan risau—AMD FSR 3.0 turut disokong untuk mengekalkan prestasi tanpa menjejaskan kualiti visual, walaupun ia tidak menyokong Frame Generation. Anda juga boleh melaraskan Shadow Quality dan Draw Distance dalam tetapan untuk menyesuaikan prestasi dengan perkakasan yang lebih rendah.
Bagi pengguna monitor Ultrawide (21:9) dan Super Ultrawide (32:9), game ini menyokong kedua-dua nisbah tersebut. Sokongan HDR10 pula menambah kecantikan visual, walaupun grafiknya tetap menunjukkan usia permainan ini.
Sepanjang sesi permainan, saya tidak menghadapi sebarang masalah prestasi yang ketara. FPS kekal stabil pada 144FPS, sama ada semasa berada di kawasan bandar yang sesak atau dalam babak pertempuran yang intens.
Dengan ciri-ciri khusus PC seperti yang dinyatakan, saya rasa PC adalah platform terbaik untuk bermain Red Dead Redemption sekarang, terutama dengan spesifikasi minimum yang tidak terlalu tinggi, menjadikannya mudah diakses untuk lebih ramai pemain termasuk pengguna Steam Deck.
Kawalan Mouse & Keyboard
Salah satu kebimbangan apabila memindahkan game konsol lama seperti Red Dead Redemption ke PC ialah kawalan. Namun, Rockstar telah melakukan kerja yang baik untuk port ini—bukan sahaja dari segi ciri dan prestasi, tetapi juga pada kawalan mouse & keyboard, yang terasa sangat intuitif.
Pertama, pemain boleh menetapkan remap keybind mengikut keselesaan mereka. Kedua, bagi saya yang tidak gemar menukar keybind dan lebih suka menyesuaikan diri dengan tetapan lalai, game ini terasa sangat semula jadi dimainkan di PC menggunakan mouse & keyboard.
Sepanjang pengalaman saya bermain, saya tidak menghadapi sebarang masalah dengan kawalan. Jadi, anda tidak perlu bimbang atau merasa terpaksa mendapatkan controller untuk bermain game ini di PC.
Sayangnya Bukan Remaster atau Remake
Ini adalah topik yang wajar diberi perhatian. Prequel kepada Red Dead Redemption, iaitu Red Dead Redemption 2, yang dilancarkan pada tahun 2018 untuk konsol dan 2019 untuk PC, menjadi pintu masuk pertama ke dunia Red Dead bagi pemain PC seperti saya. Dengan cerita dan dunia yang sangat luas, ia meninggalkan kesan yang hebat.
Kini, Red Dead Redemption sudah berusia 14 tahun sejak pelancarannya pada 2010. Sebagai kesinambungan kronologi kepada Red Dead Redemption 2, adalah wajar untuk pemain mengharapkan ia hadir dalam bentuk Remake atau Remaster.
Bayangkan jika teknologi moden digunakan untuk Red Dead Redemption—Remake sepenuhnya yang setanding dengan Red Dead Redemption 2 pasti akan memberikan pengalaman yang sangat memukau.
Namun, memandangkan Rockstar kini sibuk dengan pembangunan GTA 6 sebagai projek besar mereka yang seterusnya, keinginan untuk Remake mungkin sukar direalisasikan. Dengan permintaan tinggi untuk versi PC Red Dead Redemption yang telah lama dinantikan, port nampaknya adalah pilihan terbaik yang dapat diberikan buat masa ini.
Meskipun begitu, saya berharap sekurang-kurangnya ada Remaster. Walaupun versi ini menyokong resolusi yang lebih tinggi dan prestasi yang lebih stabil, grafiknya masih kelihatan agak usang.
Ini tidak mengurangkan kenikmatan ceritanya, tetapi jika ada Remaster dengan tekstur yang lebih tajam, elemen grafik tambahan, dan kesan visual yang lebih baik, game ini pasti akan lebih relevan dan menarik untuk pemain masa kini.
Dengan harga sebanyak RM210 untuk sebuah game berusia 14 tahun, rasanya kita berhak untuk mendapatkan lebih daripada sekadar port.
Pendapat
Versi PC Red Dead Redemption memberikan pengalaman terbaik dan paling lengkap untuk game ini. Ciri-ciri seperti DLSS dan Frame Generation meningkatkan keselesaan bermain, dan untuk pengguna AMD, sokongan FSR3 juga tersedia.
Sokongan untuk monitor Ultrawide dan Super Ultrawide menjadikan pengalaman lebih menyeronokkan dengan pandangan yang lebih luas.
Kawalan mouse & keyboard yang telah disesuaikan terasa sangat natural, manakala keperluan spesifikasi yang rendah serta pengoptimuman yang baik memastikan game ini dapat diakses oleh lebih ramai pemain.
Sebaliknya, ramai yang masih berharap agar Red Dead Redemption menerima Remake atau Remaster untuk memodenkan pengalaman ini dan menjadikannya setanding dengan penggantinya, Red Dead Redemption 2. Dengan usia 14 tahun, kemas kini sedemikian pasti dapat menawarkan pengalaman yang lebih luar biasa.
Bagi yang berminat, Red Dead Redemption dan DLC Undead Nightmare telah dilancarkan secara rasmi di PC pada 29 Oktober 2024, melalui Steam, Epic Games Store, dan Rockstar Store.
@gamersantaimy
The Review
Red Dead Redemption
Versi PC Red Dead Redemption memberikan pengalaman terbaik dan paling lengkap untuk game ini. Ciri-ciri seperti DLSS dan Frame Generation meningkatkan keselesaan bermain, dan untuk pengguna AMD, sokongan FSR3 juga tersedia. Sokongan untuk monitor Ultrawide dan Super Ultrawide menjadikan pengalaman lebih menyeronokkan dengan pandangan yang lebih luas. Kawalan mouse & keyboard yang telah disesuaikan terasa sangat natural, manakala keperluan spesifikasi yang rendah serta pengoptimuman yang baik memastikan game ini dapat diakses oleh lebih ramai pemain.
PROS
- Pengalaman terbaik untuk bermain Red Dead Redemption
- Ciri upscaling lengkap untuk PC dengan spesifikasi ringan
- Prestasi dan pengoptimuman yang sangat baik
- Sokongan untuk Ultrawide dan Super Ultrawide
- Kawalan mouse & keyboard di PC terasa intuitif untuk sebuah port
CONS
- Grafik dimamah oleh usianya
- Harga terlalu mahal untuk game berusia 14 tahun yang bukan remake atau remaster
Discussion about this post