Gamer Santai
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4
No Result
View All Result
Gamer Santai
No Result
View All Result

Reviu Football Manager 26 – Bukan Sekadar Kemas Kini Tahunan, Enjin Baharu Mengubah Segalanya

Razin Syafiq by Razin Syafiq
October 31, 2025
in Android, Artikel, Berita, Epic Store, Game Review, iOS, Microsoft, Mobile, PC, PS5, Review, Simulator, Steam, Sukan/lumba, Xbox One, Xbox Series X|S
0 0
0
Reviu Football Manager 26 – Bukan Sekadar Kemas Kini Tahunan, Enjin Baharu Mengubah Segalanya
Share on FacebookShare on Twitter

Secara jujurnya, saya langsung tidak menduga perubahan yang begitu besar. Semasa Sports Interactive pertama kali mengumumkan Football Manager 26 sebagai satu “permulaan yang baharu,” saya agak skeptikal. Namun, setelah meluangkan masa berpuluh-puluh jam, segala keraguan saya lenyap sepenuhnya.

FM26 menyajikan pengalaman yang segar dan moden. Paling penting, ia berjaya mengembalikan keseronokan dalam mengurus sebuah kelab bola sepak dengan cara yang belum pernah kita saksikan sebelum ini. Tanpa melengahkan masa, inilah ulasan penuh saya.

Kehidupan Baharu di Hari Perlawanan

Transformasi paling dramatik dalam Football Manager 26 dapat disaksikan terus di atas padang. Dengan penggunaan Enjin Unity, enjin perlawanan yang baharu ini ibarat satu nafas segar bagi keseluruhan francais game.

Sejak perlawanan pertama lagi, perbezaannya sudah amat ketara. Sistem pencahayaan kini berubah secara dinamik mengikut waktu, titisan hujan kelihatan berkilau di atas rumput, dan bayang-bayang pemain memanjang secara masa nyata.

Tekstur rumput kini kelihatan lebih tebal dan realistik, manakala setiap animasi pemain mempunyai impak fizikal yang dapat dirasai. Tiada lagi pemain yang seakan-akan menggelongsor di atas padang atau berpusing secara kaku seperti robot.

Sebaliknya, mereka memecut, mengubah arah, dan membaca pergerakan permainan sama seperti pemain bola sepak profesional.

AI pemain juga jauh lebih pintar. Pemain tengah kini lebih bijak mencari ruang kosong, manakala penyerang lebih cekap mengatur masa larian mereka. Penjaga gol akhirnya kelihatan lebih ‘manusia’, dengan reaksi yang lebih logik terhadap bola yang melantun dan aksi menyelamat yang masuk akal.

Setiap butiran, daripada cara bola berputar sehinggalah kepada lantunannya, menyumbang kepada visual yang terasa lebih ‘bernyawa’.

Mod Dynamic Highlight baharu turut memperkemas lagi aliran perlawanan. Ia mampu menyesuaikan paparannya mengikut situasi semasa. Jika perlawanan sedang sengit, kamera akan memberi tumpuan kepada peluang-peluang gol dan aksi pertahanan yang kritikal.

Namun, jika pasukan anda sedang mendahului dengan selesa, rentaknya akan menjadi lebih perlahan untuk memberi ruang kepada permainan. Apabila digabungkan dengan sudut kamera ala siaran televisyen, pengalaman menonton perlawanan terasa seperti sebuah sajian bola sepak sebenar, bukan lagi sekadar simulasi digital.

Aspek persembahan di luar padang juga ditambah baik. Perlawanan piala kini disertakan dengan pakej siaran rasmi, lengkap dengan video pengenalan, babak-babak penting, dan adegan meraikan trofi yang menjadikan setiap kejayaan besar terasa lebih istimewa.

Namun, ada satu kekurangan yang amat dirasai: ketiadaan sistem Touchline Shouts. Fungsi yang sebelum ini menjadi kegemaran ramai ini telah dibuang. Dahulu, kita boleh memberikan kata-kata semangat atau kritikan terus kepada pemain dari garisan tepi.

Ia merupakan satu cara yang ringkas tetapi sangat berkesan untuk merasa terhubung dengan pasukan. Tanpa ciri ini, pada pandangan saya, suasana hari perlawanan terasa lebih sunyi dan kurang beremosi. Walaupun kawalan taktikal masih ada, sentuhan kepimpinan peribadi itu kini telah hilang.

Harapnya, fungsi ini akan dikembalikan pada masa hadapan.

Walaupun dengan kelemahan itu, enjin perlawanan ini, pada pendapat saya, adalah komponen paling mengagumkan dalam FM26. Ia lebih lancar, pintar, dan mempunyai visual yang menawan.

Buat pertama kalinya setelah sekian lama, hari perlawanan terasa seperti menguruskan perlawanan bola sepak sebenar, bukannya sekadar mengurus data.

Pengaruh Gaya Kejurulatihan dan Personaliti

Penggunaan Enjin Unity turut membawa peningkatan yang jelas dalam aspek customization watak pengurus. Proses mencipta avatar pengurus dalam game kini terasa lebih peribadi dan memberi ruang untuk ekspresi diri.

Pilihan yang tersedia untuk gaya rambut, pakaian, raut wajah, dan penampilan keseluruhan kini jauh lebih banyak. Walaupun semua ini tidak memberi kesan langsung kepada gaemplay, ia memudahkan kita untuk mencipta watak yang mewakili diri sendiri atau membina persona yang diingini.

Sama ada anda mahu mencipta versi realistik diri anda ataupun seorang pakar taktikal fiksyen, kebebasan yang diberikan sangat memuaskan.

Setelah selesai mengubah suai penampilan, anda boleh memilih Coaching Style dan Personality Traits.

Coaching Style akan mempengaruhi perkembangan atribut anda. Sebagai contoh, memilih gaya Attacking atau Entertainer boleh meningkatkan kreativiti dan kebolehan membuat keputusan ofensif, manakala gaya Pragmatic pula akan mengukuhkan disiplin dan pemahaman taktikal pertahanan.

Ini adalah satu lapisan tambahan bijak, mengaitkan falsafah pengurusan anda dengan prestasi pasukan di atas padang.

Seterusnya ialah Personality Traits. Anda boleh memilih sehingga dua sifat daripada enam pilihan yang ada, dan setiap satunya akan memberi kesan kepada cara anda berinteraksi dengan media, pemain, dan mengurus tekanan.

Ada pengurus yang hebat dalam membakar semangat pasukan, manakala yang lain pula lebih cekap menyesuaikan diri dengan keadaan yang sentiasa berubah. Sifat-sifat ini juga akan mempengaruhi atribut mental anda, yang akan memberi impak kepada segala-galanya, dari moral skuad sehinggalah ke pembangunan bakat muda.

Taktik Dinamik Fasa Serangan dan Bertahan

Taktik sentiasa menjadi jiwa kepada siri Football Manager. Ia adalah elemen yang membezakan pemain biasa daripada ahli strategi tegar yang sanggup berjaga hingga pukul 3 pagi semata-mata untuk menghebatkan barisan pertahanan.

Dalam FM26, sistem taktik telah berevolusi menjadi sesuatu yang lebih kompleks dan relevan dengan bola sepak moden.

Ciri utamanya adalah kebolehan untuk menetapkan formasi berbeza semasa fasa In Possession dan Out of Possession. Di atas kertas, ia kelihatan seperti perubahan kecil, tetapi dalam permainan, ia mengubah segalanya.

Kini, anda boleh merangka formasi 4-3-3 semasa menyerang, dan secara automatik beralih kepada formasi 4-1-4-1 yang lebih bertahan apabila kehilangan bola. Sistem ini meniru taktikal bola sepak sebenar, di mana bentuk pasukan sentiasa berubah-ubah bergantung pada pergerakan bola, fasa transisi, dan tekanan pihak lawan.

Walaupun beberapa peranan kegemaran ramai seperti Mezzala dan Trequartista telah digugurkan, beberapa peranan baharu telah diperkenalkan, seperti Channel Forward, Playmaking Wing-Back, Wide Forward, dan Wide Central Midfield.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa kehilangan peranan lama itu bukanlah satu masalah besar, kerana peranan baharu ini sangat serasi dengan sistem taktikal fasa dengan atau tanpa bola.

Visualizer Tool pula membantu menterjemahkan idea-idea taktikal ini secara visual. Ia akan menunjukkan bagaimana formasi pasukan anda bergerak mengikut aliran bola, memaparkan peralihan posisi pemain dan jarak antara mereka dalam masa nyata. Ini menjadikan permainan lebih mudah difahami dan bersifat mendidik.

Anda tidak perlu lagi berteka-teki sama ada strategi anda berkesan atau tidak; anda boleh melihatnya sendiri sebelum perlawanan bermula.

FM26 juga memperkenalkan sistem Tactics Evaluation dan Advice. Sistem ini akan memberikan maklum balas segera jika persediaan taktikal anda tidak seimbang, terlalu tertumpu di tengah (over-inverted), atau lemah di bahagian sayap. Maklum balas ini tidak memaksa, sebaliknya lebih kepada memberi maklumat.

Anda masih mempunyai kawalan kreatif sepenuhnya, tetapi anda tidak akan dibiarkan buntu tanpa sebarang panduan.

Kerangka taktikal yang direka semula ini menggalakkan pemain untuk bereksperimen tanpa membebankan mereka yang baru bermula. Anda boleh memulakan dengan templat sedia ada seperti Gegenpress atau Control Possession, dan kemudian mengubah suainya satu per satu.

Tahap fleksibilitinya amat luar biasa. Interaksi antara peranan pemain kini lebih logik, transisi permainan lebih lancar, dan AI pihak lawan bertindak balas dengan cara yang menjadikan setiap perancangan taktikal lebih memuaskan.

Pada pandangan saya, aspek taktikal telah diperbaiki dengan begitu baik dan semakin menghampiri realiti bola sepak sebenar. Kemampuan untuk menukar formasi antara fasa pemilikan bola menambah aspek baharu, manakala Visualizer Tool membolehkan anda melihat sendiri bagaimana taktik anda berfungsi.

Dengan adanya sistem Advice dan Tactics Evaluation yang memberikan maklum balas pintar, FM26 berjaya mencapai keseimbangan antara bimbingan dan kebebasan kreatif.

Integrasi Penuh Liga Wanita

Football Manager 26 melakar sejarah dengan menyepadukan bola sepak wanita terus ke dalam dunia permainannya. Ini bukanlah sebuah mod berasingan atau kandungan tambahan. Ia adalah sebahagian daripada alam semesta bola sepak yang sama.

Kini, anda boleh menguruskan pasukan wanita, beralih antara liga lelaki dan wanita, atau membina kerjaya yang merangkumi kedua-dua arena. Skala penambahan ini sangat mengagumkan, menampilkan lebih 36,000 pemain dan 5,000 kakitangan dari 14 liga di 11 buah negara.

Liga-liga utama seperti Barclays Women’s Super League, NWSL, dan Frauen-Bundesliga disertakan dengan lesen penuh dan pangkalan data yang terperinci.

Sports Interactive telah mengendalikan kemasukan ini dengan penuh teliti dan realistik. Struktur kontrak pemain adalah lebih pendek, perpindahan percuma lebih kerap berlaku, dan aspek kewangan disesuaikan untuk mencerminkan keadaan sebenar dalam dunia bola sepak wanita.

Teknologi motion capture yang menggunakan atlet wanita profesional memastikan setiap pergerakan dan animasi dalam permainan kelihatan asli dan unik.

Pada pendapat saya, walaupun anda bukan pengikut tegar bola sepak wanita, masih sangat menarik untuk menyaksikan ekosistem ini berkembang seiring dengan bola sepak lelaki. Dalam sesi permainan, saya sering menyemak keputusan akhir musim untuk melihat siapa yang menjuarai Liga Super Wanita atau Liga Juara-Juara Wanita UEFA.

Malah, pemain-pemain yang bersara kadangkala beralih karier menjadi jurulatih atau pembantu, sekali gus meluaskan lagi kumpulan bakat pengurusan dari masa ke masa. Semuanya terasa hidup dan meyakinkan.

Pengurusan Maklumat yang Lebih Cekap

UI adalah aspek yang paling banyak menimbulkan perbincangan dalam Football Manager 26. Ia direka semula sepenuhnya dengan matlamat untuk menjadikan pengalaman permainan lebih pantas, kemas, dan mudah diakses. Dalam banyak perkara, ia berjaya mencapai matlamat tersebut.

Namun, dalam aspek lain, ia masih terasa seperti sebuah eksperimen. Saya sendiri memerlukan berdozen jam—malah sehingga kini selepas lebih 30 jam bermain—dan saya masih dalam proses membiasakan diri.

Sistem Portal yang baharu menggantikan skrin Home dan Inbox yang lama. Ia menyatukan semua maklumat penting anda—seperti mesej, jadual perlawanan, berita, dan tugasan staf—ke dalam satu paparan berterusan. Anda boleh menapis maklumat yang ingin dilihat, contohnya hanya mesej yang belum dibaca atau keputusan penting.

Setelah terbiasa, sistem ini sangat efisien dan memberikan gambaran keseluruhan yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Namun, penambahbaikan terbesar adalah pada Sistem Search. Fungsinya kini lebih daripada sekadar mencari pemain atau kelab. Anda boleh menaip apa sahaja ciri, peraturan, atau sistem permainan, dan ia akan memaparkan penjelasan serta jalan pintas.

Contohnya, jika anda terlupa untuk mendaftarkan pemain baharu, taip sahaja “Squad Registration.” Game bukan sahaja akan menerangkan prosesnya melalui FMPedia (glosari dalaman game), malah akan membawa anda terus ke skrin yang berkaitan. Ini adalah ciri yang sangat berguna dan menjimatkan banyak masa.

Dari segi visual, UI ini kelihatan bergaya, tetapi tidak sempurna. Saiz font yang besar dan ruang yang luas menjadikan permainan kelihatan bersih, tetapi kurang efisien pada skrin PC. Ia seolah-olah direka dengan mengutamakan platform konsol.

Apabila saya cuba bermain menggunakan controller (DualSense 5), navigasi menu terasa sangat mudah, mengesahkan bahawa ia memang sangat mesra konsol.

Walaupun berdepan dengan beberapa isu, hala tuju reka bentuk baharu ini sangat berpotensi. Ia mudah untuk dilayari, terutamanya dengan adanya Search Bar dan FMPedia, serta mempunyai susun atur yang lebih teratur. Apabila ia telah digilap sepenuhnya kelak, ia boleh menjadi UI Football Manager yang paling intuitif pernah dihasilkan.

Prestasi, Pepijat, dan Potensi Jangka Panjang

Football Manager 26 bukannya tanpa masalah. Masalah seperti ranap sistem, skrin beku, dan isu-isu kecil pada UI sekali-sekala berlaku, mengingatkan kita bahawa game ini masih dalam peringkat pembangunan.

Sebagai contoh, apabila membuka skrin perpindahan pemain, kadangkala butang tutup perlu ditekan dua atau tiga kali sebelum ia berfungsi. Sports Interactive perlu segera mengoptimumkan UI, kerana sebahagian besar masa permainan dihabiskan dengan menekan pelbagai butang pada UI.

Masih berkaitan UI, saya berpendapat Sports Interactive perlu memperbaiki kedudukan sesetengah elemen. Contohnya, saya gemar melihat senarai penjaring terbanyak bagi setiap liga, tetapi dalam game ini, prosesnya terlalu leceh.

Anda perlu membuka halaman liga, yang hanya memaparkan penjaring teratas, kemudian klik pada menu Records, diikuti menu Attacking, dan akhirnya Goals. Proses ini sangat tidak efisien. Sepatutnya, game ini memaparkan sekurang-kurangnya tiga atau lima penjaring teratas terus pada halaman utama liga.

Ini hanyalah satu contoh bagaimana UI kadangkala mengabaikan pengalaman pengguna.

Dari segi prestasi, game ini secara amnya berjalan dengan lancar. Masa loading lebih pantas, peralihan antara skrin lebih laju, dan enjin perlawanan berfungsi dengan baik walaupun pada laptop (saya telah mencubanya pada laptop sepupu saya yang menggunakan Ryzen 7 6800H & iGPU sahaja, dan ia berjalan lancar pada tetapan Balanced).

Ini menunjukkan enjin baharu ini masih mampu beroperasi pada PC atau laptop dengan spesifikasi sederhana.

Walaupun begitu, asas game ini sangat kukuh. Pada pendapat saya, pepijat adalah masalah sementara, tetapi struktur jangka panjang FM26 jelas dibina untuk terus berkembang pada masa hadapan.

Pendapat

Football Manager 26 terasa seperti satu permulaan yang benar-benar baharu untuk siri ini. Peralihan ke Enjin Unity akhirnya memberikan peningkatan visual dan teknikal yang telah lama dinantikan, terutamanya melalui enjin perlawanan baharu yang menyajikan pergerakan, suasana, dan persembahan yang jauh lebih realistik.

Walaupun pembuangan sistem Touchline Shouts mungkin sedikit mengurangkan hubungan emosi, pengalaman keseluruhan pada hari perlawanan tetap yang paling dinamik dan tulen dalam sejarah siri ini.

Apa yang membuatkan FM26 begitu istimewa adalah bagaimana semua sistem baharunya saling melengkapi untuk menghasilkan sebuah pengalaman yang lebih mendalam.

Penyesuaian pengurus yang dipertingkatkan membolehkan anda menyerlahkan identiti pengurusan anda melalui Coaching Styles dan Personality Traits, manakala struktur taktikal baharu pula menambah strategi dengan membenarkan perubahan formasi antara fasa pemilikan bola.

Tambahan pula, Visualizer Tool amat membantu pemain baharu untuk memahami konsep taktikal dengan lebih mudah.

Walau bagaimanapun, aspek UI dan prestasi masih memerlukan penambahbaikan. Reka letak baharunya memang moden dan bercita-cita tinggi, tetapi tidak selalunya cekap. Navigasi adakalanya terasa lebih mementingkan gaya berbanding fungsi, dan beberapa pepijat masih mengganggu kelancaran gameplay.

Namun, di sebalik kekurangan ini, FMPedia dan Sistem Search baharu adalah alat yang hebat yang menjadikan proses pembelajaran dan pengurusan lebih lancar berbanding sebelumnya.

Apabila semua pepijat telah dibaiki dan UI diperkemas, versi ini berpotensi besar untuk diangkat sebagai salah satu edisi Football Manager yang terbaik dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Football Manager 26 untuk PC (melalui Steam, Epic Games Store, dan Microsoft Store), Football Manager 26 Console untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan Xbox One, serta Football Manager 26 Mobile untuk iOS dan Android (melalui Netflix) akan dilancarkan pada 4 November.

Ini akan diikuti oleh Football Manager 26 Touch untuk Nintendo Switch pada 4 Disember.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.

The Review

Football Manager 26

8 Score

Football Manager 26 merupakan satu permulaan baharu untuk siri ini, didorong oleh enjin perlawanan Unity yang menyajikan visual dan animasi di atas padang yang sangat realistik. Penambahbaikan utama lain termasuk sistem taktikal yang lebih mendalam dengan formasi berbeza untuk fasa menyerang dan bertahan, serta integrasi penuh bola sepak wanita yang asli. Walau bagaimanapun, pengalaman ini sedikit terjejas oleh UI yang direka semula tetapi terasa kurang efisien dan memerlukan penyesuaian, di samping ketiadaan ciri "Touchline Shouts". Meskipun ada beberapa kelemahan, FM26 berjaya membina asas baharu yang cemerlang dan bercita-cita tinggi, menjadikannya salah satu entri terbaik dalam siri ini sejak beberapa tahun kebelakangan.

PROS

  • Enjin perlawanan baharu kelihatan dan terasa jauh lebih realistik
  • Sistem "Dengan/Tanpa Bola" menambah taktikal sebenar
  • Alat Visualizer memudahkan pembelajaran taktik
  • Alat Search & FMPedia pantas dan sangat berguna
  • Berjalan lancar walaupun pada laptop mid-range
  • UI mempunyai potensi dan mesra konsol

CONS

  • Pembuangan Touchline Shout menjadikan perlawanan terasa kurang beremosi
  • UI masih terasa tidak efisien dan mengambil masa untuk disesuaikan
  • Pepijat dan ranap sistem kecil

Review Breakdown

  • Rating 0
Tags: Football Manager 26reviu
ShareTweetSend
Previous Post

Anime Festival Asia Singapore 2025 – Senarai Penuh Tetamu Istimewa & Kandungan Acara Akhirnya Didedahkan!

Next Post

Blue Protocol: Star Resonance Nampaknya Akan Datang Ke Malaysia!

Razin Syafiq

Razin Syafiq

Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran. Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana. Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!

Related Posts

MSI Prestige N16 Flip AI+ Bawa Kuasa AI 1 Petaflop Melalui Cip RTX Spark!
Teknologi

MSI Prestige N16 Flip AI+ Bawa Kuasa AI 1 Petaflop Melalui Cip RTX Spark!

June 3, 2026
Claw 8 EX AI+ & Titan 18 HX Dragon Edition Memimpin Barisan Produk Terbaru MSI Di COMPUTEX 2026!
Teknologi

Claw 8 EX AI+ & Titan 18 HX Dragon Edition Memimpin Barisan Produk Terbaru MSI Di COMPUTEX 2026!

June 3, 2026
Apple Umum Pemenang Apple Design Awards 2026 – Senarai Penuh Game & Aplikasi!
Anugerah

Apple Umum Pemenang Apple Design Awards 2026 – Senarai Penuh Game & Aplikasi!

June 3, 2026
Next Post
Blue Protocol: Star Resonance Nampaknya Akan Datang Ke Malaysia!

Blue Protocol: Star Resonance Nampaknya Akan Datang Ke Malaysia!

Discussion about this post

Discord Kami

Sertai Discord kami

Facebook Kami

YouTube Kami

Twitter/X Kami

Follow @GamerSantaiMY

Tweet to @GamerSantaiMY

Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!
Anime

TV Tokyo Rancang Beberapa Projek Game Naruto Sempena Ulang Tahun Ke-25, Paling Awal Keluar Tahun 2027!

June 2, 2026
Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!
Anime

Gintama the Movie: Yoshiwara in Flames Akan Datang Ke GSC, Bersama Fan Screening!

June 1, 2026
Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!
Anime

Anime Tomb Raider King Akan Mula Tayangan 8 Julai Ini!

May 29, 2026
Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!
Anime

Jam Tangan Ulang Tahun Ke-30 Initial D Dibuka untuk Pra-Tempah di Malaysia!

May 28, 2026
  • Tentang Kami
  • Hubungi Kami
  • Privacy & Policy

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd

Welcome Back!

Login to your account below

Forgotten Password?

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.

Log In
No Result
View All Result
  • Berita
  • Temuramah
  • Review
  • Sister Sites
    • Wanuxi
    • Gamer Braves
    • GamerWK
    • Gamer555
  • Borderlands 4

© 2017 - 2025 Digital Braves Media Group Sdn Bhd