FANTASIAN Neo Dimension, JRPG versi terbaru yang digemari ramai dari Mistwalker, kini membawa pengembaraan epik ini kepada khalayak yang lebih luas selepas pelancarannya secara eksklusif di Apple Arcade pada 2021.
Diterbitkan oleh Square Enix, edisi baharu ini hadir dengan peningkatan dari segi gameplay, kandungan tambahan, serta sokongan untuk pelbagai platform seperti Nintendo Switch, PS5, PS4, Xbox Series X|S, dan PC melalui Steam.
Dengan persekitaran diorama buatan tangan yang menakjubkan, sistem pertarungan turn-based yang menarik, serta penceritaan yang emosi, FANTASIAN Neo Dimension memberikan nafas baharu kepada elemen klasik JRPG.
Dalam reviu ini, kami akan meneliti bagaimana game ini disesuaikan untuk konsol moden.
Kisah dan Latar Belakang

FANTASIAN Neo Dimension mengisahkan seorang protagonis yang kehilangan memori. Pemain akan mengawal Leo, seorang pengembara yang tersedar di dunia mekanikal tanpa sebarang memori tentang masa lalunya.
Berbekalkan sebuah peranti misteri yang membolehkannya merentas dimensi, Leo memulakan perjalanan untuk merungkai kisah silamnya. Dalam pengembaraan, dia bertemu dengan pelbagai watak unik seperti Kina, seorang penyembuh yang baik hati, serta Cheryl, seorang puteri garang. Bersama-sama, mereka membongkar rahsia tersembunyi di sebalik dunia mereka.

Walaupun latar dunia dalam game ini dibina dengan baik dan penuh misteri, penceritaannya boleh terasa agak perlahan, dengan kurangnya detik-detik dramatik yang mendebarkan. Gaya penyampaian naratifnya mengingatkan kepada novel visual, di mana beberapa bahagian penting dipaparkan dalam bentuk teks panjang yang menjelaskan dunia dan latar belakang watak.
Bagi pemain yang gemarkan penceritaan yang lebih pantas, gaya ini mungkin terasa sedikit lambat. Namun, game ini menawarkan pilihan fast-forward serta ciri untuk melangkau babak tertentu, seperti dalam novel visual, bagi membolehkan pemain meneruskan cerita dengan lebih cepat.
Visual dan Eksplorasi
Game ini menawarkan pengalaman visual yang benar-benar unik, berbeza daripada RPG tradisional. Setiap persekitaran dalam game ini dibina secara manual oleh artis mahir sebelum diimbas ke dalam game menggunakan teknologi 3D. Proses ini menghasilkan dunia yang menggabungkan elemen realisme dan fantasi dengan begitu harmoni, menjadikannya terasa nyata tetapi tetap penuh keajaiban.

Ketika meneroka dunia permainan, pemain dapat melihat dengan jelas tekstur serta diorama yang dihasilkan secara fizikal, mencipta pengalaman eksplorasi yang lebih asyik berbanding game 2D atau 3D biasa. Berjalan di dalam persekitaran ini terasa seolah-olah melangkah masuk ke dalam dunia mini yang hidup.
Perhatian terhadap butiran seperti karat pada mesin logam atau cahaya yang memantul pada daun dalam hutan berkabus benar-benar menambahkan daya tarikan game ini. Dari bandar hingga ke dungeon, setiap lokasi direka dengan teliti untuk mengekalkan rasa:, menjadikan setiap laluan sampingan tidak terasa sia-sia.

Untuk memudahkan eksplorasi, game ini turut menyertakan beberapa ciri yang praktikal. Pemain boleh membuka peta dan menekan titik lokasi yang ingin dikunjungi untuk membuatkan Leo bergerak secara automatik. Selain itu, sistem fast travel membolehkan pemain kembali ke lokasi yang pernah dikunjungi dengan mudah, menjadikan pergerakan lebih lancar.
Sistem Pertempuran: Strategi dan Cabaran
FANTASIAN Neo Dimension mengekalkan sistem pertempuran turn-based klasik tetapi memperkenalkan mekanik baharu bagi mengekalkan elemen keseronokan. Salah satu ciri paling menarik ialah Dimengeon Machine. Dalam kebanyakan RPG, pertembungan rawak boleh mengganggu eksplorasi, tetapi sistem ini membolehkan pemain menyimpan musuh untuk dilawan kemudian.
Apabila jumlah musuh yang terkumpul mencukupi, pemain boleh mencetuskan pertarungan besar mengikut keselesaan mereka. Ciri ini mengurangkan gangguan semasa pengembaraan, membolehkan pemain lebih fokus meneroka dunia permainan.

Namun, menyimpan terlalu banyak musuh boleh menjadi masalah. Apabila had tercapai, pemain perlu berdepan gelombang besar musuh sekaligus, memerlukan strategi yang teliti dalam penggunaan corak serangan, trajektori skil, serta buff. Walaupun ia menambah keseronokan, pertempuran yang terlalu panjang boleh mengganggu gameplay dan menyebabkan “keletihan pertempuran”.

Setiap watak memiliki abiliti unik yang menambah lapisan strategi. Mereka mengikuti peranan RPG tradisional seperti warrior, mage, atau healer, tetapi ada yang mempunyai mekanik tersendiri—contohnya sekutu robot yang memerlukan serangan berbasis item.
Selain itu, game ini menampilkan skil berasaskan trajektori yang boleh melengkung atau menembusi beberapa musuh sekaligus, mendorong pemain untuk menggunakan kedudukan taktikal dengan lebih bijak.

Pertarungan boss menjadi aspek paling menyerlah dalam sistem pertempuran. Setiap boss mempunyai mekanik unik yang memerlukan pemain menyesuaikan strategi mereka.
Salah satu perlawanan paling mencabar melibatkan boss yang boleh melontarkan “sumpahan” kepada seluruh pasukan serta menggunakan serangan maut dalam fasa kedua. Pemain perlu bersedia dengan peralatan “curse-resistant” atau menggunakan skil seperti “provoke” dan “mist” untuk mengelak serangan.
Kemajuan Watak dan Ciri yang Boleh Dibuka
Sistem kemajuan mengikut struktur leveling berasaskan EXP, di mana watak memperoleh EXP daripada pertempuran untuk membuka skil baharu. Namun, satu kelemahan ketara ialah kelajuan pembukaan sistem yang agak perlahan—mekanik teras seperti peningkatan “equipment upgrade” dan “skill board” hanya boleh diakses selepas hampir 20 jam bermain.
Walaupun ini membolehkan bahagian awal permainan menumpukan pada eksplorasi dan pertempuran, ia juga boleh membuatkan perkembangan terasa lambat, sekali gus menguji kesabaran sesetengah pemain.

Satu lagi aspek yang perlu diberi perhatian ialah penurunan EXP selepas level 35, di mana musuh yang lebih lemah memberikan jumlah EXP yang jauh lebih sedikit. Ini memaksa pemain bergantung kepada strategi berbanding grinding, menambah cabaran tetapi mungkin terasa mengehadkan bagi mereka yang lebih gemar menaikkan level secara bebas.

Memandangkan dunia permainan agak luas, saya menganggarkan keseluruhan permainan boleh mengambil masa sehingga 50 jam. Separuh pertama permainan terasa agak perlahan, yang boleh menyebabkan sesetengah pemain berasa bosan.
Idealnya, rentak perkembangan yang lebih seimbang atau akses lebih awal kepada mekanik penting boleh menjadikan permulaan game lebih menarik dan memuaskan.
Muzik & Lakonan Suara
Muzik digubah oleh legenda industri, Nobuo Uematsu, yang menghasilkan pengalaman audio yang luar biasa. Soundtrack bukan sahaja selari dengan suasana dalam setiap babak tetapi juga berkembang mengikut jalan cerita, membimbing emosi pemain.
Sebagai contoh, melodi lembut semasa eksplorasi menimbulkan rasa misteri, manakala rentak dram yang “intense” dalam pertempuran meningkatkan saspens. Detik-detik penting dalam cerita pula disertai dengan komposisi yang penuh emosi, menjadikannya lebih menyentuh hati.
Beberapa tema pertempuran boss sangat sedap, menjadikan setiap perlawanan lebih mendebarkan dan asyik. Tambahan pula, game ini turut menambah kolaborasi BGM khas daripada siri FINAL FANTASY, membolehkan pemain menikmati pertempuran dengan iringan melodi ikonik.

Selain soundtrack luar biasa, versi terbaru ini juga menampilkan lakonan suara penuh, yang secara signifikan meningkatkan pengalaman. Produser Naoki Yoshida menyatakan bahawa Fantasian menampilkan pelbagai watak yang dibina dengan teliti, dan lakonan suara membantu menonjolkan keperibadian mereka.
Walaupun penceritaan berasaskan teks membolehkan pemain membayangkan sendiri suara watak, lakonan suara menambah emosi yang sukar disampaikan melalui teks semata-mata. Atas sebab itu, pasukan pembangun sangat komited untuk menyertakan elemen ini dalam versi baharu, menjadikan FANTASIAN Neo Dimension lebih menarik.
Pendapat
Dengan visual diorama buatan tangan yang memukau mata, sistem pertempuran yang inovatif, dan soundtrack luar biasa, FANTASIAN Neo Dimension menawarkan pengalaman RPG yang benar-benar bagus.
Walaupun permulaan yang perlahan dan akses lewat kepada beberapa sistem mungkin menguji kesabaran pemain, kandungan yang kaya serta cabaran menarik di peringkat seterusnya berjaya mengimbangi kelemahan tersebut, memberikan gabungan eksplorasi dan pertempuran strategi yang memuaskan.

Dalam satu temu bual di TGS 2024, Naoki Yoshida mendedahkan bahawa ketika pasukan pembangun kembali menilai projek ini, mereka sedar bahawa walaupun FANTASIAN asal tersedia di Apple Arcade, masih ramai pemain yang belum berpeluang merasai keunikan game ini.
Penambahan perkataan “Neo” dan “Dimension” dalam tajuk mencerminkan evolusi permainan ini serta pengembaraan berdimensi dan melangkaui masa yang menanti pemain.

Bagi peminat JRPG klasik yang tidak kisah dengan permulaan perlahan, FANTASIAN Neo Dimension sememangnya berbaloi untuk dimainkan. Ia mengekalkan elemen RPG tradisional sambil memperkenalkan inovasi moden, menarik pemain ke dalam dunia fantasi yang indah dengan eksplorasi luas, dan pertarungan yang mencabar.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post