Bravely Default Flying Fairy HD Remaster menghidupkan semula sebuah JRPG klasik, menawarkan pengalaman yang terasa segar namun cukup dikenali di konsol Nintendo Switch 2.
Kami mengembara kembali ke dunia Luxendarc dengan harapan yang tinggi, menantikan sama ada gaya seninya yang menawan, sistem ‘job’ yang kompleks, serta mekanik combat yang inovatif daripada versi asal masih mampu memikat hati pada tahun 2025. Secara keseluruhannya, jawapannya adalah ya.
Namun, kunci kejayaan remaster ini sebenarnya terletak pada cara ia menambah baik sistemnya dan memberikan kebebasan yang lebih luas kepada pemain.
Game ini membenarkan anda untuk maju mengikut rentak sendiri, tidak kira sama ada anda gemar mengoptimumkan setiap ahli parti secara terperinci atau sekadar ingin menikmati jalan ceritanya.
Mahu mengumpul ‘job point’ melalui auto-batte? Boleh sahaja. Ingin meneroka dunia tanpa sebarang gangguan? Matikan sahaja fungsi pertembungan rawak.
Ini adalah sebuah JRPG yang menghargai masa pemain sambil menyajikan kebebasan yang tinggi, ditambah dengan beberapa kejutan yang tidak akan kami bocorkan di sini.
Kisah yang Memecah Tradisi
Dunia Luxendarc kini di ambang kemusnahan. Empat kristal yang menjadi lambang elemen—Angin, Air, Api, dan Bumi—telah dicemari dan kian malap, menyebabkan keseimbangan alam semula mula terjejas. Wira-wira kita kini menggalas tugas berat untuk membangkitkan semula kuasa setiap kristal demi menyelamatkan dunia.

Pengembaraan bermula dengan Tiz Arrior, seorang pemuda dari kampung petani yang kampung halamannya lenyap ditelan oleh sebuah jurang gergasi. Dalam keadaan pilu dan hilang arah, dia tiba-tiba dibebani dengan misi untuk menyelamatkan dunia.
Sepanjang perjalanan, dia bertemu dengan Agnès Oblige, Vestal of Wind yang tabah dan setia pada tanggungjawabnya, yang berjuang untuk memenuhi peranan sucinya. Turut serta ialah Ringabel, jejaka amnesia yang gemar mengusik dan menyimpan sebuah jurnal misteri yang seakan-akan meramal masa depan.
Akhir sekali, Edea Lee, pahlawan yang pada mulanya merupakan musuh, tetapi akhirnya menjadi watak kesayangan ramai berkat pegangan moralnya yang teguh.

Pada permulaannya, naratif ini kelihatan seperti sebuah kisah fantasi yang tipikal. Namun, seiring dengan kemajuan anda, ceritanya mula membongkar lapisan yang lebih kompleks. Sebagai contoh, jurnal milik Ringabel mampu menceritakan peristiwa sebelum ia berlaku.
Kemudian, di pertengahan permainan, penceritaannya mengambil satu perubahan arah yang drastik.

Tanpa mendedahkan terlalu banyak, harus diakui bahawa rentak penceritaannya tidaklah sempurna. Terdapat satu fasa menjelang penghujung permainan yang agak terkenal kerana meminta pemain mengulangi beberapa pertarungan boss.
Walaupun ia sebahagian daripada struktur naratif, ia boleh terasa menjemukan dan berulang-ulang sekiranya anda gagal larut dalam penceritaannya.

Bagi mereka yang sudah biasa dengan JRPG klasik, kisah Bravely Default akan terasa sangat ‘familiar’. Game ini sedar akan hal ini, dan ia memanipulasi klise-klise genre dengan bijak untuk memberikan kejutan yang tidak dijangka.
Kebebasan Bereksperimen dalam Struktur Klasik

Bravely Default Flying Fairy HD Remaster masih berpegang pada kitaran gameplay JRPG konvensional yang melibatkan penerokaan bandar, penaklukan dungeon, dan pertempuran. Namun, ia menyuntik mekanik dan fleksibiliti yang signifikan, menjadikannya lebih daripada sekadar sebuah pengembaraan nostalgia.
Strukturnya kelihatan mudah pada mulanya: anda bergerak dari satu wilayah ke wilayah lain, memulihkan kristal elemen, berinteraksi dengan NPC, menyelesaikan misi sampingan, dan meneroka dungeon yang dipenuhi laluan bercabang, harta karun, serta boss.
Akan tetapi, pengalaman dari semasa ke semasa didorong oleh sejauh mana anda mahu melibatkan diri dengan sistem-sistemnya, dan game ini akan memberi ganjaran lumayan jika anda menerokainya secara mendalam.

Sistem ‘job’ menjadi paksi utamanya. Setiap watak boleh memilih daripada pelbagai kelas yang boleh dibuka, termasuklah kelas biasa seperti Knight, White Mage, dan Thief, hinggalah ke kelas yang lebih unik seperti Performer dan Time Mage.
Aspek yang paling menarik ialah kebolehan untuk menggabungkan kelas utama dengan kelas sekunder, serta melengkapkan abiliti pasif daripada mana-mana kelas yang telah dikuasai. Ini bermakna pembentukan watak hibrid amatlah digalakkan.

Game ini turut memberi anda kuasa untuk menyesuaikan pengalaman mengikut citarasa. Anda boleh melajukan pertempuran sehingga 4x ganda, melaraskan atau mematikan terus pertembungan rawak, malah menggunakan sistem auto-battle yang membolehkan anda mendaftarkan arahan untuk watak.

Walaupun kebanyakan misi sampingan masih mengekalkan format tradisional, ia menyajikan butiran cerita yang bernilai dan selalunya menghadiahkan kelas yang baharu. Beberapa minigame kasual yang menggunakan kawalan gerakan turut disertakan; walaupun tidak wajib, ia berjaya menambah sedikit variasi.
Risiko dan Ganjaran di Medan Perang
Sistem combat adalah hal utama yang menjadikan game ini benar-benar istimewa. Pada dasarnya, ia adalah sistem turn-based, tetapi dengan adanya mekanik Brave dan Default, ia berubah menjadi sebuah permainan catur strategik yang mementingkan tempo.
Anda boleh memilih untuk “Default” bagi bertahan sambil mengumpul ‘battle points’ (BP), atau “Brave” untuk membelanjakan sehingga empat tindakan sekaligus dalam satu giliran. Malah, anda boleh “berhutang” BP untuk bertindak lebih awal, tetapi dengan risiko watak anda akan lumpuh untuk beberapa giliran berikutnya.

Mekanik ini membuka ruang untuk pelbagai pilihan taktikal. Anda boleh memilih sama ada untuk menghabiskan semua BP pada giliran pertama demi menumpaskan musuh-musuh lemah dengan pantas, atau mengumpul BP secara cermat untuk melancarkan kombo maut semasa menentang boss.
Ia adalah satu percaturan berterusan antara risiko dan ganjaran, dan apabila dipadankan dengan sistem kelas yang fleksibel, hasilnya amat memuaskan.

Daya tarikannya terletak pada bagaimana game ini menggalakkan anda untuk bereksperimen. Tiada satu pun strategi yang mutlak untuk menang.
Sebaliknya, game ini mendorong anda untuk berfikir secara kreatif, terutamanya semasa menentang boss lebih mencabar yang mungkin akan mengubah strategi mereka sebagai tindak balas kepada gaya permainan anda.

Animasi yang lebih licin, transisi yang lebih pantas, serta kesan visual yang lebih kemas dalam versi remaster HD ini turut menyumbang kepada pemodenan combat. Game ini juga memudahkan proses grinding. Jika anda mahu melalui pertarungan mudah dengan cepat, naikkan sahaja kelajuan pertempuran dan aktifkan auto-battle.
Jika anda mahu mengelak terus pertembungan semasa meneroka, matikan sahaja fungsinya di menu. Semuanya boleh diubah suai, memberikan anda kawalan mutlak terhadap tahap cabaran atau kelapangan yang diingini.
Tambahan Moden dan Pengenalan ‘Mouse Mode’
Bravely Default Flying Fairy HD Remaster menggilap visual versi asal secukupnya untuk membolehkannya bersinar pada perkakasan moden seperti Nintendo Switch 2, tanpa mengorbankan elemen-elemen yang menjadikannya sebuah judul yang hebat.

Peningkatan paling jelas sudah tentulah kualiti visualnya. Versi asal pada 3DS sememangnya memiliki grafik yang indah, namun ia terhad oleh resolusi rendah dan kekangan dual-screen.
Remaster ini pula menampilkan aset berdefinisi tinggi sepenuhnya dan model watak yang lebih diperkemas, walaupun masih mengekalkan reka bentuk chibi yang comel.
Latar belakang, khususnya di bandar dan dungeon, kini dipersembahkan dengan butiran yang tajam dan beresolusi tinggi, menonjolkan tekstur yang dahulunya hampir tidak kelihatan pada skrin kecil 3DS.

Kami mendapati persekitaran bandar yang dilukis tangan kini terasa lebih hidup, seolah-olah anda sedang melangkah ke dalam sebuah buku pop-up yang bernyawa. Terdapat juga kesan yang halus pada sesetengah babak untuk menambah visual mata tanpa kelihatan keterlaluan.
Walaupun game ini mengekalkan gaya visualnya yang unik, sesetengah elemen mungkin kelihatan sedikit regang atau kabur apabila dizum masuk, tetapi secara keseluruhannya, ia kelihatan cantik.

Terdapat juga dua minigame opsyenal baharu yang memanfaatkan ‘Mouse Mode’ pada Switch 2, yang memerlukan penggunaan kedua-dua Joy-Con.
Salah satunya ialah permainan irama bernama Luxencheer Rhythm Catch, manakala satu lagi ialah permainan pelbagai tugas bernama Ringabel’s Panic Cruise, di mana anda perlu mengemudi kapal udara sambil memenuhi pelbagai permintaan.

Ringabel’s Panic Cruise terasa agak kekok untuk dikendalikan. Ia menyerupai kawalan gerakan melalui ‘Mouse Mode’ dan memerlukan ketepatan kawalan yang tinggi kerana terdapat banyak panel di dalam kapal udara yang perlu dikawal, dilaras, dan disentuh serentak.

Sebaliknya, Luxencheer Rhythm Catch pula terasa mirip dengan permainan seperti Osu! atau judul-judul irama di arked Jepun. Pelbagai bentuk dan ikon akan muncul di skrin untuk anda sentuh, ketik, atau tahan, tetapi kali ini ia direka khusus untuk kawalan tetikus Joy-Con 2.
Ia memberikan pengalaman yang sangat unik dan merupakan satu tafsiran yang menyeronokkan untuk genre irama. Kami dapat membayangkan pemain akan berlumba-lumba untuk skor tertinggi, dan pelaksanaannya adalah cara yang hebat untuk mempamerkan keupayaan ‘Mouse Mode’ Switch 2.
Pendapat
Bravely Default Flying Fairy HD Remaster adalah sebuah ‘kemas kini’ yang hebat untuk sebuah permainan klasik, menambahkan sentuhan moden yang secukupnya tanpa menghilangkan pesona asalnya.
Sama ada anda kembali ke Luxendarc atau baru pertama kali menjejakkan kaki, versi ini tidak dapat disangkal lagi adalah versi definitif yang wajib dimainkan.

Benar, jalan ceritanya banyak menggunakan klise yang biasa, dan ada bahagian menjelang akhir permainan yang akan menguji kesabaran. Namun, ganjarannya sangat berbaloi, terutamanya jika anda menggemari penceritaan berlapis yang menghargai sifat ingin tahu dan pelaburan emosi pemain.
Dari segi gameplay, sistem kelas hibrid dan combat Brave/Default masih terasa mantap dan relevan selepas bertahun-tahun.

Minigame tambahan dalam ‘Mouse Mode’ pula merupakan sentuhan yang bijak, terutamanya permainan irama yang memanfaatkan kawalan Joy-Con 2 dengan begitu baik. Jarang sekali kita lihat ciri sampingan mampu memberi nilai tambah yang bermakna dan menawarkan sesuatu yang lebih untuk dikejar oleh pemain yang kompetitif.

Secara am, ini adalah game yang menghormati legasi JRPG, tetapi pada masa yang sama, tidak ragu-ragu untuk memecahkan tradisi. Bagi yang berminat, game ini kini tersedia di Nintendo Switch 2. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
Bravely Default Flying Fairy HD Remaster
Bravely Default HD Remaster bukan sekadar nostalgia; ia adalah versi definitif sebuah JRPG legenda. Dengan gilapan visual yang cantik, sistem combat yang tiada tandingan, dan penambahbaikan moden yang bijak, ia wajib dimainkan oleh semua peminat genre ini, walaupun mempunyai beberapa kelemahan pada rentak penceritaannya di fasa akhir.
PROS
- Masih salah satu sistem 'job' yang paling fleksibel dan kreatif dalam JRPG
- Combat Brave/Default yang mendalam, strategik, dan memuaskan
- Visual HD meningkatkan lagi arah seni asal yang sudah sedia cantik
- Banyak pilihan kualiti hidup (battle speed, pertembungan rawak, auto-battle)
- Minigame Luxencheer Rhythm Catch sangat menyeronokkan dan dilaksanakan dengan baik
CONS
- Rentak cerita merosot di penghujung permainan dengan kitaran boss yang berulang
- Minigame Ringabel's Panic Cruise terasa janggal dan kurang tepat









Discussion about this post