Siri ROG Flow memang terkenal pada kalangan gamer sebagai peranti 2-in-1 yang boleh berfungsi sebagai laptop dan tablet. Baru-baru ini, ROG telah melancarkan model baharu bagi siri Flow yang bernama ROG Flow Z13. Kami diberi untuk mencuba tablet ROG Flow Z13 yang serba canggih bagi mengetahui sama ada ianya ikut selera gamer atau tidak.
Mesti korang tidak sabar nak tahu sama ada laptop ini bagus atau tidak? Jadi tanpa melengahkan masa lagi, jom ikut saya review tablet ini.
Reka bentuk
Yang pertama sekali adalah bentuknya yang futuristik yang menampilkan banyak garisan pada bahagian belakang. Yang nampak lebih menarik adalah panel kaca di bahagian belakang yang membenarkan kita nampak bahagian dalam tablet. Bukan itu sahaja, ianya juga akan memaparkan lampu RGB. Tak cukup dengan itu, Flow Z13 diperbuat dengan aluminium CNC-machined yang kuat.
Tablet ini didatangkan dengan saiz 30.2cm x 20.4cm x 1.2cm. Bagi saya ianya tidak mempunyai banyak perbezaan daripada saiz tablet yang berada di pasaran sekarang. Namun beratnya, 1.18kg agak sedikit berat. Jika korang nak tablet yang serba canggih, mestilah memerlukan pengorbanan sedikit kan.
Selain itu, reka bentuk tablet mempunyai beberapa “easter egg” yang berkaitan dengan jenama ROG. Contohnya, nombor yang tertera di panel kaca merupakan lokasi HQ ASUS di Taiwan. Jika lihat di bawah kanan pula, terdapat nombor 18-15-07 06/06. Nombor tersebut yang mewakili susunan abjad ABC dan apabila diterjemahkan ia membawa maksud ROG. Nombor 06/06 pula merupakan tarikh bermulanya jenama ROG.
Untuk memudahkan korang menggunakan tablet tanpa memegangnya, ia didatangkan dengan sokongan di bahagian belakang. Walaupun reka bentuknya sama seperti Switch OLED, sokongan pada tablet ini boleh dibuka sehingga 170 darjah maksimum.
Dengan kehadiran sokongan bahagian belakang, saya rasa ianya sangat sesuai kepada yang ingin menggunakannya untuk menaip ataupun melukis. Ianya sangat mudah untuk dibawa ke mana dan pada bila-bila masa sahaja.
Seterusnya, tablet ini didatangkan dengan kamera hadapan yang menyokong sehingga 720P kualiti gambar HD. Bagi menghasilkan gambar HD, ia memerlukan cahaya yang cukup jika tidak gambar akan menjadi kabur. Manakala kamera belakang pula, ia diberi dengan 8MP sahaja dan hasil gambar hanya memuaskan untuk gambar biasa.
Port I/O yang terdapat pada Flow Z13 adalah sedikit tetapi ianya adalah tablet dan bukan laptop. Di bahagian kiri tablet, terdapat port Thunderbolt 4 dan USB 3.2 Gen 2 Type-C. Manakala di bahagian kanan pula, terdapat USB 2.0 Type-A dan bicu audio 3.5mm.
Jika korang membuka sokongan belakang, kita dapat lihat beberapa slot. Yang pertamanya adalah lokasi SSD pada bahagian kanan manakala bahagian kiri pula, terdapat slot SD Mikro.
Tablet ini mempunyai port XG Mobile di mana kita boleh memasang external GPU untuk meningkatkan prestasinya. Malangnya, kami tidak menerima External GPU tersebut. Jadi, kami tidak akan review bahagian ini.
Pen Magnet & Keyboard
Tablet ini dilengkapi dengan PEN ASUS yang sangat mudah digunakan untuk pelukis, pereka dan lain-lain. Pada tablet ini juga terdapat sambungan POGO Pin di bawah yang membolehkan korang pasang keyboard magnet ASUS Flow. Yang menarik tentang keyboard adalah ia didatangkan dengan lampu RGB dan mempunyai rasa seperti keyboard mekanikal. Ia menjadikannya sangat selesa untuk digunakan.
Dengan kehadiran keyboard ini, korang boleh jadikan tablet ini sebagai laptop terus. Secara tidak langsung, keyboard ini juga berfungsi sebagai cover kepada tablet ini jika ianya menutup bahagian hadapan skrin. Dengan cara itu juga, tablet akan masuk ke mode hibernasi secara automatik. Takkan nak asyik shutdown pula tablet ini kan. Jadi ianya lebih selesa digunakan lagi-lagi jadikan tablet ini sebagai peranti utama.
Perkara yang agak merisaukan saya adalah bahagian belakang keyboard yang menggunakan material kain. Berkemungkinan besar, ianya agak mudah kotor dan susah untuk dibersihkannya nanti.
Paparan
Tablet ini didatangkan dengan skrin panel IPS 13.4 inci 120Hz FHD yang membolehkan kita bermain game dengan sangat lancar. Nisbah yang tersedia pada tablet ini sedikit luas daripada biasa iaitu 16:10. Nisbah pun dah besar, sudah pasti ianya sesuai untuk menonton video, filem dan macam-macam lagi dengan sangat selesa.
Paparan yang ada pada Flow Z13 adalah sangat cantik dengan warna yang terang dan tahap kecerahan yang mengagumkan pada 483nit. Gamut warna yang disediakan juga sangat tinggi bagi sebuah tablet iaitu 99% sRGB dan 76% AdobeRGB. Ianya sangat sesuai untuk bermain game dan kualitinya lebih baik berbanding laptop gaming lain.
Mungkin ada yang tertanya tentang touch screen-nya macam mana. Tablet ini mempunyai touch screen yang telah dioptimumkan. Jika korang slide pada kiri skrin, ia akan membuka widget manakala slide di sebelah kanan skrin akan membuka notification. Pada sebelah bawah pula akan membuka, kecerahan skrin tablet, volume, pautan dan tetapan yang lain.
Prestasi & Benchmark
Jika nak mengatakan tentang prestasi, Flow Z13 dikuasakan dengan CPU Intel Core i9-12900H 12 gen dan GPU NVIDIA GeForce RTX 3050 Ti 4GB GDDR6 bersama Intel Iris Xe. Cip pemprosesan mini yang digunakan merupakan yang paling laju dan berkuasa di pasaran buat masa ini dan ianya sangat sesuai untuk laptop, tablet dan banyak lagi.
GPU NVIDIA RTX 3050 Ti yang didatangkan pada tablet ini menyokong semua NVIDIA DLSS terbaru, RTX, Reflect dan banyak lagi ciri-ciri yang menarik. Tablet ini dilengkapi dengan ROG MUX Switch yang membenarkan GPU untuk memberikan prestasi secara terus kepada skrin tanpa melalui CPU. Ciri ini akan dapat mengurangkan lag dalam game.
Korang yang nak main game mobile ataupun game AAA pun boleh. Tablet ini menggunakan Windows OS baharu iaitu Windows 11. Jadi, korang tidak perlu risau tentang OS. Banyak yang boleh dicuba termasuk download Epic Games Store, Steam dan macam-macam lagi. Berikut adalah benchmark dan game test kami.
3DMark – 4,725
PCMark10 – 6,930
VRMark – 6,301
Ghostwire: Tokyo
Saya bermain dengan kualiti grafik tertinggi dan kedua-dua Ray Tracing dan DLSS dihidupkan. Game berjalan dengan sangat lancar walaupun banyak efek yang sedang ditampilkan seperti hujan, shadow dan lampu-lampu yang menjadikan banda Tokyo sangat cantik.
Dying Light 2
Dengan tetapan grafik “highest” bersama Ray Tracing, game ini boleh dimainkan dengan lancar pada 60-70 FPS.
God of War
Saya sempat juga mencuba God of War pada kualiti Ultra, namun dengan 30 FPS, ianya memberangsangkan bagi saya.
Apex Legends
Semua tetapan grafik pada yang “highest” dan gameplay yang diberi pun cukup lancar pada purata 70 FPS.
Secara keseluruhan, jika nak bermain tanpa pengecas, korang perlu mengorbankan kualiti grafik dan menurunkannya sehingga yang paling rendah. Tablet ini dapat mengekalkan dalam 30 FPS tetapi sekiranya ada situasi yang memerlukan prestasi tinggi, ia kan turun sehingga 20 FPS. Jika nak difikirkan balik, ianya adalah sebuah tablet dan prestasi yang ditampilkan sangat lancar berbanding beberapa laptop.
Sistem cooling
Pasukan reka bentuk ROG sudah pasti inginkan yang terbaik untuk tablet ini. Jadi , mereka menyalut cip pemprosesan dengan thermal paste Metal Cecair dan didatangkan dengan kipas Dwi ARC Flow dan plat penyamaan haba antara CPU dan GPU supaya setiap bahagian yang dilindungi boleh mengeluarkan haba dengan seimbang.
Tidak lengkap sekiranya produk ROG tidak didatangkan dengan aplikasi mereka iaitu Armoury Crate. Dengan aplikasi ini, korang boleh mengubah ke pelbagai mode yang disediakan. Jika korang tidak melakukan kerja berat dan hanya menonton YouTube dan menginginkan audio yang jelas, saya cadangkan untuk korang menggunakan Silent Mode kerana kipas tablet akan menjadi 0db dan tablet akan menjadi sedikit panas.
Tempat yang selalu panas akan berada ditengah dan bahagian atas belakang tablet kerana di situlah kedudukan CPU dan GPU. Berbanding dengan laptop ROG lain, kipas Flow Z13 akan berputar dengan lebih senyap dan tidak akan mengganggu orang sekeliling.
Dalam Performance Mode, kipas akan berpusing dengan lebih laju dan menghasilkan bunyi kipas yang sedikit kuat untuk memberikan tablet anda prestasi yang lebih tinggi. Jika korang memasang pengecas, terdapat pilihan untuk menghidupkan Turbo Mode yang akan menjadikan CPU dan GPU membuat overclocking supaya korang boleh menggunakannya dengan lancar sama ada sedang bermain game ataupun penyuntingan.
Jika korang nak bermain game yang berat seperti God of War, Horizon Zero Dawn dan lain-lain, saya sarankan untuk korang sambungkan pengecas. Jika tidak, korang perlu turunkan tetapan grafik yang paling rendah untuk mendapatkan pengalaman bermain yang baik.
Hayat Bateri
ROG Flow Z13 didatangkan dengan bateri berkapasiti 56Whrs. Jika anda hanya menonton YouTube dengan volume 50% dan kecerahan skrin 80% semasa Silent Mode, tablet ini akan bertahan untuk 5 hingga 6 jam. Apabila anda mengurangkan kecerahan skrin, sudah tentu tablet akan bertahan lebih lama. Rugi jika tidak luangkan masa untuk bermain dengan keyboard pada performance mode. Semasa saya bermain, tablet ini hanya mampu bertahan untuk 1 hingga 2 jam. Walaupun begitu, tablet ini sangat sesuai untuk dibawa untuk membuat kerja diluar.
Pendapat saya
Saya rasa ROG Flow Z13 boleh dianggap sebagai tablet paling berkuasa setakat ini. Ia mempunyai reka bentuk yang menarik dan hardware yang berkuasa. Saya sangat menyukai reka bentuk glass space window, yang pasti akan mendapat tarikan apabila anda membawanya keluar untuk membuat kerja atau bermain.
Dari segi prestasi, ringan dan mudah dibawa pastinya merupakan titik jualan utama, ia membolehkan anda menggunakannya dalam persekitaran yang berbeza. Jika anda ingin menonton filem dan melukis, bolehlah gunakan sebagai tablet mode. Apabila anda ingin menaip, menulis atau bermain game, sambungkan papan kekunci dan tetikus dan ia akan menjadi laptop mode. Jika anda ingin menyambungkan monitor tambahan, anda boleh menggunakan tablet ini sebagai skrin kedua.
Akhir sekali, tablet ini dilengkapi dengan pemproses Intel generasi ke-12 dan kad grafik 30 siri, supaya anda boleh bermain game dengan lancar atau tanpa pengecasan. Jadi, jika anda ingin bekerja dan bermain game, tablet paling berkuasa ini pastinya merupakan salah satu pilihan anda. ROG Flow Z13 telah tersedia dijual di Malaysia dengan permulaan harga pada RM7,999.
Spesifikasi penuh boleh baca di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post