Square Enix bersama pembangun Lancarse telah berkongsi maklumat terbaharu tentang Final Fantasy Resonance, dengan mendedahkan kawasan baharu, watak utama jalan cerita, Visions yang boleh diseru, serta kandungan endgame yang mencabar.
Bagi sesiapa yang kurang tahu, RPG turn-based HD-2D ini mengolah semula jalan cerita awal dan dunia Final Fantasy Brave Exvius kepada sebuah game single-player untuk konsol dan PC, sambil membuang sistem gacha demi memberi laluan kepada penerokaan turn-based klasik.
Peta Diluaskan Dengan Empayar Zoldaad dan Mysidia
Maklumat terbaharu memperkenalkan dua lokasi utama yang bakal dikunjungi oleh Rain dan pasukannya sepanjang pengembaraan mereka:
- Zoldaad Empire: Sebuah negara berkuasa tentera yang mengawal Fire Crystal. Di bawah pemerintahan ini, pihak empayar menghasilkan kapal udara dan senjata magitek, menimbulkan kebimbangan tentang pencerobohan ke atas negara-negara jiran. Keadaan hidup yang menekan ini mencetuskan pergolakan dalaman dan melahirkan gerakan penentang bawah tanah.

- Mysidia, the Magiapolis: Sebuah kota magis legenda yang dianggap hanya wujud dalam mitos. Ada yang percaya kota ini telah musnah berabad lalu, manakala sesetengah pihak mendakwa ia masih tersembunyi daripada dunia luar. Mysidia merupakan rumah kepada tamadun sihir yang serba maju dan melindungi Ice Crystal.

Sekutu Baharu dan Ancaman Kumpulan Sworn Six
Beberapa watak penting (sama ada pihak sekutu mahupun antagonis) telah dijelaskan lebih lanjut:
- Jake: Ketua pasukan penentang yang menentang Zoldaad. Walaupun berperwatakan santai dan mudah tertarik dengan wanita, hatinya sentiasa berpihak demi nasib rakyatnya. Dalam combat, Jake memanfaatkan tuah dengan menggunakan skill berasaskan kebarangkalian seperti Coin Toss dan Gamble Shot.

- Sakura: Seorang sage berpangkat tinggi dari Mysidia. Walaupun nampak seperti seorang gadis muda, tutur katanya penuh dengan hikmah seperti jiwa yang telah lama hidup, di samping memiliki kuasa magik yang luar biasa hebat.

- Veritas of the Flame: Pahlawan kapak gergasi dalam kumpulan Sworn Six yang berhasrat memusnahkan kristal. Dia memakai perisai tebal, hampir kebal daripada serangan biasa, dan mampu menumbangkan musuh hanya dengan satu hayunan kapak berapi.

- Veritas of the Earth: Ahli Sworn Six berprinsip yang sentiasa mendambakan pertarungan menentang lawan yang lebih kuat. Dia dilengkapi perisai gergasi dan menguasai sihir berelemen Earth.

- Veritas of the Light: Bersikap panas baran dan sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai matlamatnya. Dia melancarkan serangan bertubi-tubi dari jarak jauh menggunakan sihir Light serta meriam berkembar yang terpasang pada sarung tangannya.

Sistem Limit Bursts dan Vision
Sistem combat dalam Final Fantasy Resonance menggabungkan taktik turn-based klasik dengan mekanik stagger dan sinergi watak.
- Limit Bursts: Apabila watak menerima damage atau berjaya melakukan stagger terhadap musuh, tolok Limit Gauge mereka akan terisi. Setelah penuh, pemain boleh melancarkan Limit Burst unik yang menghasilkan burst damage yang tinggi atau memberikan buff dan pemulihan penting untuk pasukan.

- Dapatkan Visions: Pemain boleh melawat Sanctums of Light di serata dunia untuk mendapatkan Vision Crystals; iaitu intipati kristal pahlawan legenda yang boleh dipadankan kepada ahli pasukan. Menggunakan Vision membolehkan pemain mengakses skill serta sihir khas mereka, yang akan semakin berkembang seiring dengan ikatan yang dibina.

- Resonance Strikes: Jika berjaya mengenakan stagger ke atas semua musuh di medan lawan dalam satu pusingan, anda boleh mengaktifkan serangan Resonance Attack bersama Vision aktif untuk menghasilkan serangan kuat ke atas seluruh pihak lawan.

- Awakening Visions: Anda boleh menaik taraf Vision melalui tiga peringkat menggunakan Magicite, iaitu sumber peningkatan kuasa di dalam dungeon atau diperoleh selepas menewaskan boss dunia. Disebabkan kuantiti Magicite yang terhad, pemain perlu bijak memilih Vision mana yang patut diberi keutamaan.

Sekutu Dunia Asal dan Legenda Final Fantasy
Barisan Vision yang boleh diseru merangkumi watak yang sinonim dengan dunia game ini serta wira-wira ikonik daripada sejarah siri utama Final Fantasy.
Vision Dunia Asal
- Amelia: Pembantu rumah kepada Putera Mahkota Zoldaad yang bertarung menggunakan dua pucuk pistol berunsur Fire, serta mempunyai kebarangkalian pasif untuk melancarkan serangan berturut-turut.

- Camille: Pemburu raksasa berpengalaman yang menggunakan serangan fizikal berelemen Water dan Earth untuk meningkatkan kelajuan serta kekuatan serangannya.

- Wilhelm: Jeneral empayar berperisai berat yang bertindak sebagai benteng pertahanan utama, secara automatik menarik perhatian musuh seawal pertarungan bermula.

- Victoria: Black mage yang mempunyai hubungan rapat dengan Sakura. Dia menggunakan sihir Dark serta mengenakan kesan status seperti Poison dan Silence.

- Ayaka: White mage berbakat yang juga anak murid Sakura, pakar dalam memulihkan HP pasukan dan membasmikan kesan status negatif.

Legenda Kolaborasi Final Fantasy
- Firion (FFII): Pakar dalam mengenakan stagger kepada musuh menggunakan serangan fizikal pelbagai elemen (Wind, Lightning, dan Light).

- Onion Knight (FFIII): Menggunakan sihir Fire, Wind, dan Earth yang menghasilkan bonus damage lebih tinggi mengikut jumlah tolok Limit Gauge yang terisi.

- Vaan (FFXII): Menggabungkan serangan fizikal Fire dan Earth dengan kebolehan taktikal yang boleh memaksa musuh melangkau giliran sebaik sahaja dikenakan stagger.

- Lightning (FFXIII): Pakar stagger yang kebolehannya bertumpu kepada memecahkan tolok pertahanan musuh jauh lebih pantas berbanding unit biasa.

- Noctis (FFXV): Menggabungkan sihir Ice dan Lightning dengan serangan fizikal pantas berelemen Light untuk mengasak musuh.

- Clive (FFXVI): Menghasilkan impak stagger yang tinggi serta burst damage besar melalui kombo fizikal Fire dan Wind yang agresif.

Menyeru Espers
Sepanjang pengembaraan, pemain boleh mengikat perjanjian bersama Esper klasik. Apabila diseru ke medan lawan, Esper akan kekal aktif selama tiga pusingan sebelum melepaskan serangan terhebat mereka:
- Carbuncle: Melancarkan Ruby Light untuk memantulkan sihir yang disasarkan kepada pasukan anda (magic reflect).

- Leviathan: Menghempas seluruh medan lawan dengan serangan Tsunami, menghasilkan Water damage yang besar kepada semua musuh.

- Odin: Menunggang kudanya untuk melancarkan Zantetsuken, menghasilkan non-elemental damage dengan peluang membunuh musuh serta-merta (Instant Death).

- Bahamut: Melepaskan Megaflare, menghasilkan non-elemental damage berskala besar ke atas seluruh pihak lawan.

Kandungan Pilihan dan Superboss
Bagi pemain yang gemar meneroka setiap sudut dan mencuba cabaran post-game yang susah, beberapa ciri telah ditambah:
- Mighty Foes: Raksasa kuat yang menguasai pelbagai gua di serata peta. Menewaskan mereka akan memberikan Magicite berharga untuk proses awakening Vision.

- Secret Dungeons: Dungeon pilihan dengan tahap kesukaran tinggi yang berasingan daripada jalan cerita utama, direka untuk menguji pemain.

- Gilgamesh: Pendekar pedang misteri ini kembali untuk beberapa pertarungan bertahap, yang kemuncaknya berlangsung di atas Big Bridge.

- Ultima Weapon: Superboss terhebat untuk fasa endgame. Memerlukan persediaan gear yang rapi, Vision yang hebat, dan pengurusan giliran yang tepat, Ultima Weapon direka untuk menguji pemain sehingga ke tahap maksimum.

Final Fantasy Resonance akan dilancarkan pada 22 Oktober 2026. Game ini akan tersedia di PlayStation 5, Nintendo Switch, Nintendo Switch 2, Xbox Series X|S, serta PC (melalui Steam dan Microsoft Store).









Discussion about this post