Bagi mereka yang mengikuti perkembangan game terbaru daripada Nexon, anda tidak perlu lagi memanggilnya sebagai Project RX. Nexon bersama pihak pembangun IO DIVISION (studio di sebalik Blue Archive) secara rasmi mengumumkan judul sebenar game ini sebagai Fareidolia.
Selain pengumuman nama rasmi, Nexon turut mengesahkan bahawa para pemain berpeluang mencuba game ini buat pertama kali pada bulan hadapan. Satu playable demo akan diadakan di Tokyo Game Show (TGS) 2026 yang akan berlangsung dari 17 hingga 21 September di Jepun, bersama tayangan trailer baharu pada hari pembukaan.
Dikuasakan oleh Unreal Engine 5, Fareidolia menggabungkan combat dinmaik 3D dengan elemen life-simulation harian serta jalinan hubungan bersama watak-wataknya. Khususnya, Fareidolia memberi penekanan terhadap kehidupan seharian bersama watak-watak serta berkongsi detik-detik bermakna bersama mereka.
Game ini berlatarkan Anima City, sebuah metropolis di dunia alternatif yang hampir menyerupai Bumi. Pemain akan memegang peranan sebagai pengarah Anima City Restoration Center, di samping menguruskan ibu pejabatnya iaitu Tasogare Hall. Sepanjang perjalanan ini, anda akan menjalani kehidupan seharian bersama gadis-gadis unik yang dikenali sebagai “Mates”, bekerjasama dengan mereka bagi menyelesaikan pelbagai masalah dan insiden menarik yang berlaku di sekitar bandar.
Nexon telah memperkenalkan empat watak utama yang tinggal dan bertugas di sekitar Tasogare Hall:
- Minieh: Seorang penjelajah yang ceria dan santai, tetapi akan menjadi sangat bersemangat sebaik sahaja dijemput untuk mengembara. Didorong oleh impiannya untuk mencari “pengembaraan terunggul”, dia merupakan rakan yang paling boleh diharap dalam membongkar rahsia tersembunyi Anima City.
- Ohana: Gadis misteri berwajah selamba yang mengaku dirinya seorang genius serba boleh. Walaupun sangat berbakat dalam apa jua perkara yang dilakukan, dia sering mensia-siakan kebolehan itu untuk tujuan kenakalan dan bersuka-ria.
- Shami: Gadis bertelinga kucing yang sentiasa pokai. Walaupun sering ditimpa nasib malang, dia tetap bersemangat dan tabah; sanggup menghabiskan wang yang ada untuk membeli tangkal perlindungan namun tidak pernah ketinggalan menghadiri konsert idola kegemarannya.
- Elevator Girl: Gadis penuh misteri yang menjaga dan mengendalikan lif di Tasogare Hall.
Fareidolia sedang giat dibangunkan dan dirancang untuk PC, konsol (PlayStation dan Xbox), iOS, serta Android. Tarikh pelancaran rasmi masih belum diumumkan setakat ini.








Discussion about this post