Salah satu game yang terjejas akibat kesan wabak pada tahun 2020, secara malangnya, adalah Rainbow Six Extraction oleh Ubisoft. Selepas melihat preview sebanyak dua kali, dengan yakin saya mempunyai pengetahuan yang luas tentang proses pembuatannya selepas melihat bagaimana game ini berubah sejak mula diumumkan. Bagi mana-mana peminat game shooter tactical berbentuk co-op, mungkin review saya tentang Rainbow Six Extraction dapat membantu korang membuat keputusan untuk beli atau tidak.
Askar manusia lawan parasit
Ramai gamer mungkin mengenali siri Rainbow Six kerana judul modennya iaitu Siege, sebuah shooter taktikal kompetitif di mana dua pasukan yang terdiri daripada lima Operator harus bersaing antara satu sama lain dengan mematikan bom, memasang perangkap dan menggunakan alat canggih di dalam peta yang rumit. Dunia dalam Extraction pula mempunyai latar belakang yang jauh berbeza.
Sebuah meteorit telah terhempas di Bumi lalu terjadilah beberapa kejadian aneh. Kerajaan menghantar beberapa Operator dan berpendapat bahawa ancaman itu telah ditangani. Malangnya, ancaman itu hadir dalam bentuk parasit yang semakin merebak di lokasi-lokasi berbeza. Sudah tentu, pihak manusia agak terkejut kerana baru sedar yang parasit boleh berevolusi dengan cepat dan tidak siapa tahu cara sebenar untuk melawan ancaman bahaya ini. Jadi ia terserah kepada kita sebagai pemain,untuk mengumpul sejumlah Operator elit, dan menghantar mereka ke lokasi tersebut untuk mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat agar dapat mengatasi ancaman parasit.
Plot dijelaskan sehingga itu sahaja dan hanya berfungsi sebagai “sebab untuk kita menyelesaikan misi”. Kempen single-player ala-ala Call of Duty tidak wujud dalam game ini tetapi lebih banyak info tentang jalan cerita akan didedahkan mengikut sejauh mana korang maju dalam game dan memberi sedikit penerangan tentang keseluruhan situasi semasa.
Gameplay taktikal habis
Tetapi apakah inipati gameplay sebenar? Dalam Rainbow Six Extraction, secara asasnya ia adalah pengalaman co-op 1 hingga 3 pemain, di mana kami menjalankan misi ke kawasan yang dijangkiti parasit. Sebagai ahli skuad elit Rainbow Six, kami akan meneroka peta yang terdiri daripada tiga zon dan setiap satu mempunyai objektif masing-masing yang perlu kami selesaikan (objektif ini akan ditukar pada setiap level dan terdiri daripada banyak pilihan). Selesai sahaja kawasan itu, kita akan berhadapan dengan pilihan: beredar dari kawasan tersebut atau maju melalui pintu yang sebelum ini dikunci ke level seterusnya yang menawarkan ganjaran lebih baik, sambil menyelesaikan objektif yang lebih susah. Tahap kesukaran pula diwakili melalui Threat Level, dan apabila semakin meningkat, kita akan melihat lebih banyak lagi jenis parasit yang kuat.
Perbandingan pertama yang korang akan buat apabila melihat Extraction adalah “Eh, macam Left 4 Dead je”, tetapi pada hakikatnya – kedua-duanya sangat berbeza.
Pertama sekali, musuh dalam Rainbow Six Extraction amat-amat berbahaya. Walaupun di level pertama, musuh yang paling lemah pun mampu membunuh kita dalam satu atau dua serangan; dan seperti saya kata tadi, keadaan akan menjadi lebih susah di level yang lebih tinggi. Lebih banyak musuh jenis elit akan muncul, di mana beberapa jenis dapat memberi buff kepada rakan parasit lain atau membunuh kita terus dengan satu serangan. Menyelesaikan tugas atau objektif misi pun bukan sekadar “pergi ke lokasi, bunuh parasit, ulang” – sebaliknya, setiap satu memerlukan rancangan dan pendekatan yang lebih taktikal, untuk memastikan misi berjaya.
Andai kata gagal, risikonya agak tinggi kerana mana-mana Operator yang tertewas dalam misi tidak boleh dimainkan sehingga diselamatkan melalui salah satu objektif. Selain itu, watak kami akan memulakan misi seterusnya dengan jumlah HP yang sama. Hanya dengan menggantikan watak tersebut dengan Operator lain, barulah HP akan pulih secara beransur-ansur.
Ini membuat setiap keputusan sama ada untuk tamatkan pusingan atau maju ke hadapan menjadi sukar – adakah kita patut berjuang untuk dapatkan lebih banyak Exp dan mata walaupun berisiko, atau adakah kita mengambil sebanyak mana ganjaran yang diperolehi dan tamat di situ saja? Semasa bermain, sistem inilah yang memastikan pemain menggunakan pelbagai jenis Operator dan bukannya bergantung kepada satu atau dua pilihan sahaja.
Keunikan Operator
Sebagai kesinambungan dalam dunia R6 Siege, kita akan bertemu beberapa unit popular. Korang boleh memilih satu daripada 18 Operator yang semuanya datang dengan skil dan peralatan unik (terdiri daripada senjata utama, senjata alternatif, sidearm dan lain-lain). Seperti saya kata tadi, kebanyakan Operator ini datang daripada R6 Siege seperti Pulse, Doc, Sledge, Alibi, Finka, Hibana, Ela dan Lion.
Ela sebagai contoh mempunyai akses kepada bom GRZMOT, yang boleh stun musuh dalam radius letupan; ini menjadikannya sebagai Operator STUN/PUSH yang ideal. Vigil pula mempunyai senjata ERC-8 yang membuatkan dirinya jadi halimun di depan parasit; jadi dia lebih kepada CLOAK/RECON..
Satu lagi contoh adalah Doc. Anda boleh memilih antara SG-CQB, MP5, P90 dan HK417, manakala Operator lain mempunyai set senjata sendiri. Pilihan customisation juga dihadkan oleh pistol, seperti SG-CQB yang hanya boleh menyesuaikan skop dan grip, manakala Scorpion Evo 3 A1 milik Ela boleh mengubah suai skop, grip dan barrel.
Analogy mudah ini memberi gambaran kasar tentang kelebihan setiap Operator dan bagaimana pemain boleh mencari playstyle sambil bersifat utiliti.
Pendapat
Semasa menulis review Rainbow Six Extraction ini, saya faham bahawa ia dibina khas untuk pengalaman co-op, jadi bekerjasama dengan rakan adalah cara paling penting untuk bermain. Inilah antara kelebihan besar Rainbow Six Extraction, dan mengapa pemain Siege sepatutnya teruja dengan entri baharu dalam siri R6. Pada masa yang sama, ia mempunyai potensi untuk menarik pemain baru ke dalam ekosistem R6. Sistem menembak dan cara bergerak dalam Extraction memang sama dengan Siege, dan disebabkan sesetengah Operator mempunyai setup berbeza, kita harus berfikir dalam cara yang lebih “memanfaatkan seluruh pasukan” berbanding fikir tentang diri sendiri sahaja.
Sistem objektif pun akan bertukar setiap level dan ini sepatutnya menangani masalah supaya pemain tidak rasa bosan atau mengalami gameplay terlalu repetitif. Jika sistem Operator diseimbangkan dengan betul, ini pasti boleh menjadi game multiplayer yang popular dalam masa terdekat. Cuma jangan bandingkan dengan Left 4 Dead, kerana kedua-dua pengalaman sangat berbeza.
Walaupun banyak puji, itu tidak bermakna saya tidak risau. Saya sendiri tidak pasti jika ia mempunyai daya tarikan untuk menarik playerbase yang ramai kerana campuran mekanik yang kadangkala mengelirukan. Namun, itu tidak bermakna ia kekurangan dari segi potensi. Kita hanya mampu lihat bagaimana game ini berkembang pada masa akan datang.
Maka tamatlah review saya untuk Rainbow Six Extraction yang akan keluar di PC, Xbox Series X/S, dan PS4/PS5 pada 20 Januari 2022. Ingat, jika membeli versi PS4 atau Xbox One, korang layak mendapat free upgrade percuma ke versi next-gen. Jadi tiada apa yang rugi.
@gamersantaimy
Discussion about this post