Black Shark telah hadir dengan fon gaming terbaru iaitu Black Shark 5 dan Black Shark 5 Pro. Kami berpeluang untuk mencuba kedua-dua fon tersebut dan banyak juga benda yang kami ingin ceritakan kepada anda semua. Tanpa membuang masa, jom kita mulakan dengan review siri Black Shark 5 ini!
Reka bentuk
Bertemakan angkasa, siri Black Shark 5 mempunyai rupa yang agak futuristik. Kalau anda ingin tahu, kedua-dua versi Black Shark 5 mempunyai kemasan yang berbeza di bahagian belakang. BS5 mempunyai kemasan plastik berkilat yang kelihatan lebih reflektif serta logo Black Shark terletak pada bahagian kiri berserta lampur RGB di sebelah modul kameranya yang boleh disesuaikan.
Untuk BS5 Pro pula, bahagian belakangnya mempunyai kemasan matte yang sangat saya suka. Posisi logonya juga berbeza daripada BS5 malah terdapat beberapa garisan estetik. Reka bentuk lampu RGB juga berbeza malah nampak lebih hebat daripada GS5. Dengan kemasan yang berbeza, sudah tentu rasa sedikit perbezaan apabila memegang fon ini dan sejujurnya saya lebih menyukai BS5P. Bagi saya ianya lebih selesa berbanding BS5. Bingkai telefon dan saiz lubang speakernya juga berbeza. Tidak tahulah kalau ada perbezaan pada kualitinya.
Selain daripada itu, semuanya sama sahaja. Terdapat dua master trigger dan butang power pada sebelah kanan, butang suara di sebelah kiri, slot kad SIM dan USB Type-C berada di bawah. Malangnya tiada 3.5mm headphone jack.
Jika dilihat pada saiz fon itu sendiri, ianya sangat mirip, malah saiz skrin mereka juga sama iaitu 6.67″. Beratnya juga sama dengan berat BS5, 218g manakala BSP5 pula 220g. Dengan perbezaan 2g sahaja, memang tidaklah nak rasa beza apabila diangkat. Dengan kenipisan 10 mm (BS5) dan 9.5mm (BS5Pro), ianya agak bagus untuk bermain game, malah tangan pun tidak rasa penat selepas tiga jam bermain.
Paparan
Walaupun saiz skrinnya sama, prestasi paparan untuk kedua-dua fon ini sangat berbeza dari segi warna. BS5 menggunakan panel AMOLED manakala BS5 Pro pula menggunakan panel OLED tetapi disebabkan oleh HDR10+ dan DCI-P3 109%, warna pada BS5 Pro nampak lebih bagus. Warna putih kelihatan sangat putih berbanding putih yang kelihatan kekuningan pada BS5. Saya telah melihat tetapan pada kedua-dua fon dan ianya sama. Jadi ia bukanlah ralat pada tetapan. BS5 Pro juga mempunyai warna yang lebih terang. Bercerita tentang refresh rate, kedua-dua fon ini mempunyai 144Hz dan ini sememangnya membuatkan pengalaman bermain game lebih menyeronokkan.
Siri Black Shark 5 masih mempunyai fungsi Magic Press yang boleh mengesan tekanan sentuhan yang membolehkan anda kawal dan main game dengan lebih terkawal. Fungsi ini sangat berguna lagi-lagi dalam game yang mempunyai banyak butang untuk ditekan seperti Apex Legends Mobile. Magic Press boleh membantu selesaikan masalah ini dengan map semula butang. Ia juga mempunyai setup makro untuk anda sesuaikan. Magic Press juga boleh digunakan walaupun anda tidak bermain game. Ini pun jika anda menghidupkan fungsi tersebut.
Audio
Speaker untuk siri Black Shark 5 ini sangat kuat. Kualitinya juga sangat bagus seperti anda memakai headphone. Ini betul-betul buat asaya terkejut apabila mendengarnya. Arah audio juga tepat dan sangat membantu apabila bermain game FPS. Tetapi kalau anda tidak tinggal berseorangan, jangan pula main game kuat-kuat. Kesian jiran sebelah. Kalau anda tengok filem atau video, memang mantap sangatlah prestasinya.
Prestasi bateri
Kelajuan pengecasannya sangat pantas, saya membiarkan BS5 Pro kehabisan bateri dan mengecasnya dengan adaptor yang mereka berikan, dan telefon sudah berada pada tahap 100% sebelum saya sedar tentangnya. Ia mengambil masa kurang daripada setengah jam. Perlu diingat, saya memilih mod kelajuan pengecasan hiper, di mana fon akan melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk mengecas secepat mungkin, walaupun ia boleh menjadi terlalu panas.
Bagi hayat bateri, saya telah membiarkan BS5 Pro membuka video di Youtube selama 4 jam lebih dan ia hanya memakan bateri sebanyak 40%. Memang mantaplah. BS5 juga mempunyai prestasi yang sama.
Kualiti kamera
Kamera pada fon ini juga sebenarnya agak hebat. BS5 Pro datang dengan kamera utama 108MP dengan sudut lebar 13MP 120 darjah dan makro 5MP, tetapi perkara yang paling mengagumkan bagi saya ialah penstabilannya. Tangan saya ini kalau nak tangkap gambar mesti bergetar tetapi penstabilan yang terdapat pada fon ini sangat membantu saya mendapatkan hasil gambar yang jelas dan tidak kabur.
Kalau saya tangkap gambar dalam bilik yang gelap, ia seperti menghidupkan night mode secara automatik. Anda boleh lihat hasil tangkapan gambar menggunakan BS5 Pro dibawah.
BS5 pula datang dengan kamera utama 64MP dengan ciri yang lain sama seperti BS5 Pro.
Master Trigger
Benda yang paling saya suka pada fon gaming Black Shark ialah master trigger yang didatangkan bersama. Walaupun ciri ini sudah ada pada BS4, tetapi ia mempunyai sedikit peningkatan padanya. Ini adalah ciri yang sangat berguna bukan sahaja dalam game, tetapi juga dalam penggunaan harian seperti kamera dan lain-lain. Saya ada juga menggunakannya untuk tangkap gambar. Terasa seperti guna shutter kamera sebenar pula.
Untuk sesuaikannya pada game juga sangat mudah. Anda hanya perlu membuka menu dengan slaid menu, pilih MasterControl dan letakkan sahaja butang mapping. Senang sangat. Sudah tentu anda juga boleh gunakannya untuk perkara lain sebagai contoh shutter kamera. Anda juga boleh sesuaikan fungsinya melalui tetapan.
Shark Chan dan Shark Space
Sudah namanya Black Shark, sudah tentu kita mempunyai peneman iaitu Shark Chan, pembantu AI fon. Fungsinya hampir sama dengan BS4. And boleh berinteraksi dengannya melalui sentuhan, tetapkan alarm dan terdapat efek khas apabila mengecas fon.
Shark Space pula boleh dianggap sebagai hab untuk gaming. Setiap game yang dimuat turun boleh dijumpai melalui aplikasi ini. Jika tiada, anda boleh sahaja menambahnya secara manual dan setup Magnetic Trigger, Magic Press dan macam-macam. Anda juga boleh sambungkan BS5 dengan aksesori sama seperti BS4.
Benchmark
Saya menggunakan AnTuTu Benchmark untuk menguji fon ini dan berikut adalah keputusan untuk kedua-dua versi BS5 dan BS5 Pro. Perbezaannya sangat ketara tetapi ianya tidak pelik kerana BS5 Pro menggunakan Snapdragon 8 Gen 1 manakala BS5 pula menggunakan Snapdragon 870 5G.
Pengalaman Gaming
Seperti biasa saya memilih tiga game untuk menguji prestasi fon gaming dan game tersebut ialah LoL: Wild Rift, Apex Legends Mobile dan sudah tentu Genshin Impact.
- LoL: Wild Rift
- Secara keseluruhan, pengalaman bermain itu sangat lancar. Malah tiada sangat perbezaan yang boleh dilihat pada kedua-dua fon Black Shark 5 ini. Framerate-nya juga sangat tinggi walaupun menggunakan tetapan maksimum. Suhu fon juga hanya suam-suam sahaja. Jadi jangan risau.
- Apex Legends Mobile
- Framerate untuk Apex Legends Mobile juga jarang turun kecuali ketika melonpat keluar daripada plane. Tetapi ianya perkara biasa kerana di platform lain juga mempunyai masalah yang sama. Elok sahaja watak mendarat, memang anda dapat main dengan sangat lancar ditambah pula dengan master trigger memang kaw-kaw puaslah jika bermain. Ia juga memudahkan anda untuk menyasar dan menembak. Saya fikir suhu fon akan panas melampau malang sekali ia tidaklah sepanas yang saya sangkakan. Hampir sama sahaja seperti main Wild Rift suhunya.
- Genshin Impact
- Saya telah menggunakan tetapan maksimum dengan 60 fps. Game dapat dimainkan tanpa sebarang masalah untuk kedua-dua fon tetapi masalahnya hanya terletak pada suhu fon. Ianya memang mudah panas lebih-lebih lagi BS5.
Keseluruhan
Sejujurnya, kedua-dua fon ini sangat bagus dari segi prestasi. Walaupun BS5 masih menggunakan Snapdragon 870 5G, ia mampu bertahan dengan baik untuk gaming. Walaupun perbezaan benchmark untuk fon ini jauh lebih rendah berbanding BS5 Pro, ia hanyalah rujukan untuk anda sahaja. Kalau mempunyai bajet yang cukup, BS5 cukup bagus untuk mendapatkan pengalaman gaming yang hebat di pasaran. Ia juga mempunyai trigger fizikal yang sangat bagus serta Magic Press yang menawarkan fungsi baru.
Untuk Black Shark 5 Pro pula, memang tidak dinafikan ianya model yang terbaik untuk siri BS ini. Kalau ingin dipilih antara BS5 atau BS5 Pro, sudah tentu saya akan memilih BS5 Pro, tetapi ia bukan disebabkan oleh cipset yang digunakan, tetapi sistem penyejukan pada fon tersebut. Walaupun kedua-dua fon ini panas sangat apabila bermain Genshin, tetapi BS5 Pro lebih sejuk berbanding suhu BS5. Apapun siri Black Shark 5 antara fon gaming sesuai untuk anda yang inginkan pengalaman gaming yang terbaik.
Untuk membaca review lain daripada kami, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post