The Pokémon Company dan Nintendo mengumumkan bahawa Pokémon Pokopia telah menjual lebih daripada 2 juta salinan di seluruh dunia dalam tempoh empat hari pertama sejak pelancarannya.
Game ini dilancarkan secara global pada 5 Mac 2026, secara eksklusif untuk Nintendo Switch 2, dengan kira-kira separuh daripada jumlah jualan itu datang dari luar Jepun.
Angka tersebut, yang diperoleh daripada Nintendo Co., Ltd., merangkumi salinan fizikal dan digital. Jualan di luar Jepun dijejaki secara terus oleh Nintendo Co., Ltd., tidak termasuk angka jualan domestik Jepun.

Berbeza daripada konsep menangkap dan melatih Pokémon untuk pertarungan kompetitif, pemain kali ini akan memainkan peranan sebagai Ditto yang menyamar sebagai manusia.
Matlamatnya adalah untuk memulihkan sebuah tanah tandus dan terbiar menjadi utopia yang subur dan meriah, sedikit demi sedikit; daripada menanam pokok beri hinggalah membina dinding batu.

Pemain akan mengumpul sumber seperti kayu, batu, dan beri untuk menghasilkan pelbagai alatan serta berkongsi dengan Pokémon yang mendiami dunia tersebut.
Jam dalam game ini diselaraskan dengan waktu sebenar, bermakna perubahan cuaca, pencahayaan, dan kemunculan Pokémon berbeza semuanya mencerminkan waktu sebenar dan musim semasa.
Pokémon Pokopia kini boleh didapatkan secara eksklusif di Nintendo Switch 2.









Discussion about this post