Natsume mendedahkan game seterusnya dalam francais Harvest Moon. Bertajuk Harvest Moon: Echoes of Teradea, ia bakal keluar di PlayStation 5, Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, Nintendo Switch, dan PC melalui Steam.
Tarikh pelancaran masih belum diumumkan, tetapi syarikat akan berkongsi maklumat lanjut dalam beberapa bulan akan datang.

Game ini berlatar belakang di Teradea, sebuah tanah yang dahulunya penuh kehidupan tetapi kini diselimuti kabus misteri yang merebak dari Forest of Echoes. Pemain memulakan perjalanan di Bloomfield Village, sebuah perkampungan pertanian kecil yang kini diganggu oleh kemunculan serigala liar pada waktu malam.
Khabar angin mengatakan ada seekor serigala gergasi yang mengetuai kesemua serigala tersebut… dan pemain, bersama sahabat baik mereka, nekad untuk menjinakkan serigala-serigala itu dan mencungkil rahsia di sebalik semua kejadian ini.

Apa yang bermula sebagai satu misi berani akhirnya berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar. Pemain akan bekerjasama dengan Guardian Spirit untuk memulihkan Teradea, mengembara ke beberapa buah perkampungan yang masing-masing berdepan dengan krisis tersendiri.
Tidewind, sebuah perkampungan pelabuhan, dihentam ribut yang tidak dapat dijelaskan. Quarrytop, sebuah penempatan perlombongan, digoncang gempa bumi misteri. Manakala Maplehill, yang dahulunya merupakan pusat budaya yang meriah, kini kehilangan semangat dan komunitinya.

Sudah tentu, gameplay biasa Harvest Moon tetap ada termasuk menjaga tanaman, memelihara haiwan, dan membina kehidupan di ladang sendiri.
Harvest Goddess membimbing pemain sepanjang perjalanan, dan persahabatan yang terjalin di setiap perkampungan memainkan peranan penting dalam merungkai kebenaran di sebalik kabus misteri tersebut.

Berikut adalah apa yang telah diumumkan setakat ini:
- Sepuluh pilihan pasangan baharu – Lima bachelor dan lima bachelorette tanpa sebarang sekatan terhadap siapa yang boleh dikahwini oleh pemain.
- Mekanik penerokaan yang diperluaskan, termasuk melompat, memanjat tangga, dan meredah sulur untuk mencapai kawasan tersembunyi serta mengumpul sumber.
- Animal companion system yang membolehkan pemain membawa haiwan peliharaan dan haiwan ternakan bersama dalam pengembaraan. Setiap companion mempunyai kebolehan unik yang membuka laluan ke kawasan baharu untuk diterokai.
- Pertemuan dengan hidupan liar. Serigala, beruang, dan harimau berkeliaran di alam liar, dan jika pemain tertangkap, mereka akan kehilangan barangan yang dikumpul dan terjaga semula di ladang.
- Penerokaan pulau, di mana pemain boleh memburu harta karun dan berkawan dengan haiwan yang tidak ditemui di tanah besar.
- Sistem “Happilia” memberi ganjaran kepada pemain kerana membantu penduduk kampung dan menyumbang kepada pemulihan Teradea.









Discussion about this post