Industri gaming dikejutkan dengan berita pembatalan kelayakan RPG ternama, “Clair Obscur: Expedition 33“, daripada anugerah Indie Game Awards 2025.
Pengumuman rasmi ini dibuat oleh penganjur, Six One Indie, selepas pihak pembangunnya, Sandfall Interactive, mengakui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif dalam proses pembikinan game itu.
The IGAs Nomination Committee is officially retracting Debut Game and Game of the Year, awarding both categories to new recipients. Additionally, we are retracting one of the Indie Vanguard recipients. Full details can be found in our FAQ under Game Eligibility: www.indiegameawards.gg/faq
— The Indie Game Awards (@indiegameawards.gg) December 21, 2025 at 2:45 AM
[image or embed]
Akibatnya, dua anugerah yang dimenangi oleh game itu pada majlis penganugerahan 18 Disember lalu, iaitu “Debut Game” dan “Game of the Year”, terpaksa ditarik balik. Gelaran tersebut kini diberikan kepada pemenang tempat kedua, di mana anugerah “Debut Game” menjadi milik “Sorry We’re Closed” oleh à la mode games.
Sementara itu, “Blue Prince” daripada Dogubomb pula diisytiharkan sebagai “Game of the Year” baharu. Pihak pembangun kedua-dua game ini juga telah dipelawa untuk menyediakan rakaman ucapan kemenangan mereka, yang dijangka akan disiarkan pada awal tahun 2026.

Isu ini mula timbul apabila terbongkar bahawa Sandfall Interactive telah memanfaatkan AI generatif bagi menghasilkan “placeholder textures” sewaktu membangunkan “Clair Obscur: Expedition 33.”
Pihak pembangun menjelaskan bahawa aset janaan AI tersebut hanyalah bersifat sementara dan sebahagian besarnya sudah pun ditukar ganti sebelum versi akhir permainan dilancarkan. Namun begitu, beberapa aset tersebut didapati terlepas masuk ke dalam versi pelancaran dan hanya dikeluarkan menerusi satu patch lima hari kemudian.

Pihak Six One Indie sememangnya mempunyai pendirian yang sangat tegas dalam menolak penggunaan AI generatif untuk pembangunan permainan video, dan polisi ini telah termaktub dengan jelas dalam syarat-syarat kelayakan mereka.
Menurut kenyataan penganjur, sewaktu proses pendaftaran, wakil daripada Sandfall Interactive pada mulanya memberi jaminan bahawa tiada sebarang teknologi AI generatif digunakan.
Akan tetapi, pada hari penganugerahan berlangsung, penerbit “Expedition 33”, Francois Meurisse, telah membuat pengakuan sebaliknya, yang terus membawa kepada tindakan pembatalan kelayakan tersebut.

Seorang wakil daripada jawatankuasa pencalonan Indie Game Awards menegaskan, “Pendirian kami amat jelas menentang penggunaan AI generatif dalam permainan video. Meskipun aset tersebut telah pun dibuang menerusi patch dan kami akui ia sebuah game yang cemerlang, tindakan itu tetap menyalahi peraturan yang telah kami gariskan.”

Namun, di sebalik pembatalan kelayakan daripada Indie Game Awards, “Clair Obscur: Expedition 33” masih meraih kejayaan gemilang di platform anugerah yang lain, khususnya di The Game Awards 2025.
Di acara tersebut, game ini berjaya mencatat rekod dengan memenangi sembilan anugerah daripada dua belas pencalonan, termasuklah anugerah paling berprestij, iaitu Game of the Year.









Discussion about this post