HoYo FEST kembali lagi! Rasanya sudah ramai Traveler yang sudah menikmati hari pertama HoYo FEST 2022 Genshin Impact ini. Kami juga sempat menyertai acara ini pada sesi pertama. Jadi untuk Traveler yang teringin nak tahu bagaimana suasana di sana, jom kami ceritakan pengalaman kami semasa HoYo FEST 2022!
Suasana aman dan menyenangkan
Sampai sahaja di La Juiceria Superfood Signature, terdapat satu paparan besar yang memaparkan visual rasmi HoYo FEST 2022. Di sinilah kalau anda ingin bergambar dengan kawan-kawan anda. Ada beberapa aksesori yang anda boleh gunakan sambil posing . Antaranya bom Klee, Fin Bow dan Sea Lord.
Akan ada satu stand untuk anda beratur untuk check-in tempahan acara. Nanti staf akan minta anda berikan nama untuk mereka semak tempahan tersebut. Selepas itu, tunjukkan emel tempahan yang telah dibuat kepada staf terlibat. Kemudian, anda akan mendapat kupon makanan dan redemption card. Kupon makanan itu digunakan untuk anda menempah menu yang anda inginkan manakala redemption card digunakan untuk anda membeli merch dan menebus hadiah aktiviti.
Memang lancar sungguh proses untuk check-in dan tempah makanan. Tidak sampai sepuluh minit untuk makanan sampai ke meja untuk kami jamu selepas itu.
Setelah masuk ke dalam restoran, dia punya suasana itu bagi kami seperti hijau di hutan Sumeru. Terdapat beberapa standee watak daripada Monstadt, Liyue, Inazuma dan Sumeru. Tidak dilupakan juga watak Traveler kesayangan pemain. Dekorasi dalam restoran penuh dengan bendera-bendera bersimbolkan elemental serta dinding yang ditampal dengan sticker visual terbaru daripada game. Ditambah pula dengan soundtrack Genshin Impact yang dipasangkan, memang rasa macam ada dalam restoran di Teyvat.
Alang-alang kemas kini 3.1 Genshin Impact boleh dimainkan, ada satu kawasan yang dinamakan “Wishing Wall” dalam restoran. Ramai juga yang pergi ke dinding itu untuk gacha banner terbaru yang memaparkan Candace dan Cyno. Yang bernasib baik memang gembira, yang kalah 50/50 memang hampalah jawabnya. Anda juga boleh meninggalkan sticky note di Wishing Wall tersebut.
Untuk susun atur restoran, setiap meja mempunyai visual rasmi acara serta dua Paimon yang menemani Traveler. Bolehlah tangkap gambar makanan bersama-sama Paimon nanti! Jom kami sembang pasal makanan pula.
Persembahan makanan yang terliur dibuatnya
Kalau tengok ilustrasi makanan pada menu nampak biasa sahaja kan? Tetapi apabila makanan sampai ke meja kami, agak terkejut juga kerana ianya lebih hebat daripada yang dijangkakan. Memang terus terliur melihatnya.
Kami telah menempah set deluxe, jadi ia akan datang dengan dua batang appatizer dan menu utama, “Adventurer Breakfast Sandwich+ Monstadt Hash Brown” dan “Imported Poultry”. Untuk minuman pula, “Wolfhook Juice” dan “Berry & Mint Burst” menjadi pilihan kami. Untuk pengetahuan anda, menu “Imported Poultry” dan “Northern Smoked Chicken” boleh dipilih untuk makan bersama nasi atau salad.
Rasa untuk menu tersebut boleh tahan sedap dan juga berkhasiat. Jangan risau tentang saiz hidangannya, kerana kami pasti anda akan kenyang dan boleh sambung main Genshin sampai petang. Kami memang berpuas hati dengan makanan HoYo FEST Genshin Impact kali ini, kerana menunya membuatkan kita terasa di dunia Teyvat itu sendiri. Variasi makanan juga lebih baik berbanding tahun lepas yang hanya menghidangkan burger.
Untuk Traveler muslim, walaupun restoran ini tidak mempunyai sijil halal, mereka telah pun menyatakan bahawa semua bahan masakan yang digunakan datang daripada pembekal halal.
Aktiviti menarik serta freebies yang banyak
Seperti tahun lepas, setiap Traveler yang hadir akan mendapat freebies yang bertemakan Genshin Impact. Tetapi kali ini, lebih banyak freebies yang boleh didapatkan. Antaranya ialah:
- Poskad
- Cup Sleeve
- Stiker
- Dekorasi Makanan
- Straw Clipper
- Coaster
Anda juga boleh dapatkan freebies tambahan dengan menyertai aktiviti yang diadakan semasa acara. Antaranya ialah “Scratch Card”, senang citer gores dan menang. Hadiah utamanya ialah keychain Genshin. Kalau anda melepas pun, masih ada peluang untuk memenangi poskad untuk ditambah dalam koleksi.
Terdapat juga aktiviti yang melibatkan TikTok. Tetapi aktiviti ini bermula pada 30 September ini! Anda yang aktif di TikTok, bolehlah muat naik video anda semasa di HoYo Fest untuk peluang mendapatkan stiker Mimo bertemakan Asia Tenggara.
Kami tahu, mesti ramai yang tertanya-tanya bagaimana untuk beli merch HoYo FEST 2022. Tahun lepas memang menghampakan tetapi anda jangan risau kerana pembelian merch kali ini memang sangat baik berbanding yang lalu. Prosesnya juga sangat mudah dan banyak stok yang tersedia untuk Traveler yang hadir.
Tetapi kami cadangkan untuk anda siapkan terus senarai merch yang ingin dibeli nanti. Ini akan membuatkan proses pembelian lebih laju dan tidak melengahkan masa untuk orang lain pula. Nanti ada juga yang tidak sempat untuk menjamu makanan yang ditempah tadi. Untuk pembayaran merch, ada QR pay dan e-wallet yang tersedia. Jadi tidak perlu anda bawa wang ringgit yang banyak. Semuanya dalam talian sahaja sekarang.
Kata akhir
Jadi, setiap sesi hanya berlangsung untuk 45 minit sahaja. Bagi kami, ia agak pendek kerana sudah tentu ramai yang ingin bergambar serta menjamu menu masing-masing. Belum cerita lagi kalau anda yang ingin beli merch. Buatnya ada yang memilih lama, memang panjanglah barisan untuk membeli. Tahu-tahu dah habis 30 min beratur sahaja. Ramai juga daripada sesi kami tadi yang tapau makanan dan makan di luar restoran kerana tidak cukup masa.
Cosplayer juga tidaklah ramai sewaktu kami pergi tadi, tetapi sempat juga kami berjumpa dengan seorang cosplayer yang mengenakan kostum Zhong Li. Mungkin hujung minggu nanti, lebih ramai cosplayer yang hadir nanti. Apapun, sediakan sahaja ruang fon untuk bergambar nanti!
Rata-rata ramai Traveler sangat berpuas hati dengan HoYo FEST 2022 Genshin Impact ini. Memang jauh berbeza dengan tahun lepas. Walaupun dengan masa yang agak singkat, tetapi ia lebih lancar berbanding dahulu. Harap-harap kalau acara ini kembali pada tahun depan, lebih ramai yang boleh sertainya.
HoYo FEST 2022 juga akan bersambung dengan dua lagi game iaitu Tears of Themis dan Honkai Impact 3rd. Anda boleh merujuk halaman restoran untuk mendapatkan info lanjut mengenainya. Untuk segala liputan lain mengenai Genshin Impact, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post