Katsuhiro Harada, pengarah eksekutif game dan ketua penerbit yang sinonim dengan siri fighting game ikonik “Tekken“, telah mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan Bandai Namco pada akhir tahun 2025, selepas berkhidmat selama lebih tiga dekad bersama syarikat itu.
Harada telah menjadi tokoh utama dalam siri “Tekken” sejak penubuhannya pada tahun 1994, berkhidmat dalam pelbagai kapasiti termasuk pengarah, penerbit, dan penerbit eksekutif.
“Dengan siri Tekken yang mencapai ulang tahunnya yang ke-30—satu pencapaian penting bagi projek yang telah saya curahkan sebahagian besar hidup saya—saya merasakan inilah saat yang paling sesuai untuk menutup satu bab,” kata Harada dalam satu mesej peribadi.
Dalam satu perkongsian, Harada memberitahu bahawa kehilangan beberapa rakan karib dalam beberapa tahun kebelakangan ini mendorongnya untuk merenung tentang “masa yang saya ada sebagai seorang pencipta,” yang akhirnya membawa kepada keputusannya untuk meninggalkan syarikat itu.
Beliau juga menyebut tentang mendapatkan nasihat daripada Ken Kutaragi, bekas pengerusi dan CEO Sony Computer Entertainment, yang dihormatinya seperti seorang bapa.
Harada mengimbau kembali zaman awalnya menyokong kejohanan arked tempatan, dengan menyatakan:
“Perbualan dan suasana yang kami kongsi di tempat-tempat itu menjadi teras kepada siapa diri saya sebagai seorang pembangun dan pencipta permainan video.”
Beliau menzahirkan penghargaan kepada para penyokongnya, komuniti global, dan rakan-rakan sekerja. Walaupun belum menjelaskan rancangan masa depannya, beliau berjanji akan berkongsi lebih lanjut pada masa akan datang.
Selain “Tekken,” portfolio Harada yang luas di Bandai Namco merangkumi pelbagai projek lain seperti siri “Soulcalibur,” “Pokkén Tournament,” dan game realiti maya “Summer Lesson.”
Sebagai satu tanda penghargaan kepada komuniti, Harada, yang telah lama bergurau tentang hasratnya untuk menjadi DJ di sebuah kejohanan, telah mengeluarkan sebuah ‘mix’ DJ “Tekken” selama 60 minit bersempena dengan pengumumannya.
Para peminat akan berpeluang untuk melihat Harada sekali lagi dalam kapasiti rasmi. Bandai Namco telah mengesahkan bahawa beliau akan hadir sebagai tetamu di “Tekken World Tour 2025 Global Finals” di Malmo, Sweden, pada 31 Januari dan 1 Februari 2026.
Bandai Namco mengeluarkan satu kenyataan meluahkan penghargaan mereka atas visi dan sumbangan Harada. Syarikat itu juga memberi jaminan kepada para peminat mengenai masa depan francais fighting game yang popular itu.
“Kepada para peminat kami, yakinlah bahawa kami komited sepenuhnya terhadap pembangunan masa depan dan perancangan kandungan untuk Tekken 8,” menurut kenyataan itu. “Kami akan terus mengambil kira maklum balas komuniti mengenai game dan kandungannya untuk memastikan kami mempertahankan visi dan semangat yang dibina oleh Harada-san, dengan mendedikasikan usaha sepenuhnya bagi memastikan legasi siri Tekken berterusan sebagai francais fighting game yang digemari di seluruh dunia.”
Harada sendiri menyatakan bahawa beliau telah menyerahkan tanggungjawabnya secara beransur-ansur kepada pasukannya sejak empat hingga lima tahun yang lalu.









Discussion about this post