Baru-baru ini, Blizzard telah mengesahkan bahawa game mobile mereka, iaitu Diablo Immortal akan dilancarkan pada hujung hujung tahun 2021. Sebelum pengumuman ini dibuat, mereka telah membuat ujian beta kedua untuk Closed Alpha dimana terdapat ciri-ciri baru yang ditambah dalam game tersebut. Saya berpeluang untuk menyertai ujian kedua ini bagi mencuba penambahan baru dalam Diablo Immortal.
Saya ingin mengingatkan anda semua bahawa versi yang saya mainkan adalah versi Closed Alpha, jadi ini bukan versi akhir untuk permainan. Jadi dalam ulasan kali ini, saya akan memfokuskan pada hero kelas baru, peta kawasan baru serta ciri kandungan sistem endgame yang ada dalam ujian ini.
Hero baru Crusader
Kelas hero terbaru, iaitu Crusader telah diperkenal dalam ujian kedua ini! Peminat Diablo pastinya mengenali Crusader yang berasal dari Diablo 3, kerana wataknya menjurus ke arah ‘tank’, boleh melakukan serangan jarak ‘mid-range’ dan dekat serta mempunyai kebolehan untuk melakukan Holy Spell. Dari segi penampilan Crusader, ianya nampak lagi menarik dan gaya paladin-nya lebih jelas berbanding di Diablo 3.
Dari segi gameplay, Crusader boleh melakukan Condemn, dimana ia akan menghasilkan letupan untuk memberi damage pada musuh yang berada dalam radius, dan membuat Crowd Control dengan menaiki kuda untuk menarik segerombolan musuh. Antara serangan lain Crusader adalah seperti Sacred Chain, Sweep Attack, Shield Glare, Consecration, Falling Sword dan Spinning Shield.
Kesemua skil ini boleh di buff atau ditukar ke skil lain bergantung pada item yang anda lengkapkan pada Crusader. Antara contoh yang boleh dilihat ialah apabila pemain menggunakan skil Holy Banner yang menghasilkan damage kritikal 100% kepada musuh. Tetapi dengan tambahan Holy Beacon Inscription, status pemain akan ditingkatkan, serta seluruh pasukan turut mendapat buff bagi menghasilkan damage yang padu keatas musuh.
Selain itu, antara masalah yang mungkin pemain akan hadapi jika menggunakan Crusader adalah hero ini tidak mempunyai skil yang boleh menghasilkan damage yang sangat kuat pada musuh lebih ramai. Contohnya boleh dilihat apabila anda melawan Skeleton King, ianya agak sukar untuk pemain yang memakai hero Crusader kerana anda perlu banyak mengelak selepas melakukan serangan supaya tidak terkena damage dari musuh. Anda juga mungkin perlu memikirkan cara alternatif untuk mendekati musuh yang menghasilkan kawasan damage.
Jika anda jenis yang suka bermain sebagai support, Crusader adalah pilihan yang terbaik kerana ia boleh membantu melindungi rakan pasukan dari terkena damage dengan skil Conjuration of Light. Anda juga boleh membantu meningkatkan peluang critical hit pasukan melalui skil Holy Banner untuk menghasilkan damage lebih efektif.
Kawasan baru
Di ujian Closed Alpha ini, pemain berpeluang menuju ke kawasan baru selepas mencapai level 41. Anda akan bergerak ke Mount Zavain, iaitu kediaman asal Monk Sanctuary untuk memulakan pengembaraan baru. Di peta baru ini juga, pemain akan bertempur dengan Khazra, iaitu makhluk jahat berkepala kambing.
Khazra akan mengganggu perjalanan anda dengan menyerang pemain dan mengugut untuk membunuh pengawal kawasan. Selepas pemain menewaskan Khazra, mereka akan mendapat petunjuk yang akan membawa mereka ke tempat untuk mendapatkan serpihan kepada Worldstone.
Selesai sahaja pengembaraan anda di Mount Zavain, pemain yang mencapai level 51 boleh bergerak ke kawasan seterusnya, iaitu Frozen Tundra. Peta baru ini diliputi oleh ais dan salji tebal serta merupakan tempat kediaman puak Barbarian. Di sini juga anda akan bertarung dengan Lord of Destruction yang ingin menggugat keamanan dunia.
Jadi, dengan bantuan puak Barbarian di Frozen Tundra, anda akan menyerang serta mengalahkan bala tentera Baal. Di penghujung pertempuran, Skarn akan menyeru Boss permainan yang saya tidak akan bagitahu. Yang pasti, jika anda menggunakan Crusader, memang payah untuk mengalahkan Boss tersebut.
Di Frozen Tundra ini juga, pemain dapat menjelajah ke sebuah dungeon baru yang menyimpan artifak purba. Dalam bab “Cavern of Echoes”, pemain perlu mencari Tears of Ice dalam keadaan takat beku yang boleh membawa maut kepada hero anda. Tapi jangan risau, cabaran ini tidaklah sukar mana, jadi saya rasa tiada masalah untuk anda selesaikannya dengan cepat.
Immortal atau Shadow?
Di dalam ujian ini, pemain dapat mencuba sistem terbaru yang ditambah dalam Diablo Immortal, iaitu mereka boleh memilih antara Immortal atau pun Shadow. Mod endgame yang didatangkan dengan beberapa mekanik baru ini akan membawa balik kenangan zaman MMORPG.
Setiap peranan mempunyai kandungan permainan yang berbeza, jadi pemain perlu memilih samada untuk menjadi Immortal ataupun Shadow. Kandungan game yang Immortal bawa adalah pemain perlu mempertahankan Sanctuary dari segala iblis yang cuba menganggu ketenteramannya. Sebagai Immortal, matlamat anda juga adalah perlu mengekalkan kedudukan dari dipotong oleh pemain Shadow.
Mereka yang menjadi pemain elit Immortal akan dipamerkan di Wall of Honor, dimana semua pemain boleh melihat anda di Westmarch. Akses ini mempamerkan 5 pemain elit yang akan dikenali dengan seorang ketua Immortal dan empat lagi pemain lain terkuat bersama banner mereka.
Manakala kandungan Shadow pula, anda bersama pemain lain akan membantu mereka yang menjadi Immortal untuk menentang musuh. Namun, jika Shadow lebih kuat dari Immortal, mereka boleh menjatuhkan pemain Immortal yang paling terkuat dan menjadi pemain elit dalam server tersebut. Mereka juga akan mendapat kelebihan untuk mendapat akses aktiviti dan ganjaran yang lebih spesifik.
Di samping itu, setiap seminggu akan ada acara multi-stage PVP dimana 10 pemain teratas Shadow akan menentang 8 pemain terkuat Immortal. Acara ini dipanggil Rite of Exile, dimana pemain Immortal perlu mengalahkan pemain Shadow untuk kekal dalam Wall of Honor. Jika Immortal kalah dalam acara ini, pemain Shadow yang menang akan mengambil alih takhta mereka. Saya dah mencuba acara ini dan sangat mencabar kerana ramai sangat pemain di luar sana yang lagi hebat.
Essence Transfer dan Helliquary
Essence Transfer ini lebih kurang seperti Kanai Cube dari Diablo 3: Reaper of Souls. Mekanik ini memberikan pemain mendapatkan kelengkapan Essence of Legendary untuk koleksi mereka. Anda juga dapat menukar Essence ini ke item Legendary lain yang akan menukarkan nama, model dan ciri kepada item itu untuk menaikkan attribute, gem serta socket. Bagi pendapat saya, sistem ini sangat berguna untuk pemain mengetahui kesan khas mana yang terbaik untuk item Legendary tersebut.
Manakala Heliquary pula adalah tambahan baru dalam ujian ini. Pemain akan mendapat kelebihan untuk akses ke musuh, iblis serta bos yang lebih kuat. Sistem ini diperoleh dari Bounty Board, dimana terdapat 12 misi bounty yang perlu diselesaikan pemain setiap hari. Anda boleh bergerak melakukan 4 misi serentak dan ianya tidak susah seperti sistem daily task.
Hasil dari melakukan misi bounty ini, anda akan mendapat ganjaran berbentuk Scoria, dimana ia akan di refine menjadi Hellfire Scoria. Material ini akan digunakan untuk meningkatkan level Helliquary. Lagi tinggi level Heliquary anda, maka lagi tinggi ganjaran yang anda akan dapat selepas mengalahkan musuh. Antara ganjaran yang diberikan adalah peningkatan kelajuan serangan dan juga penambahan attribute.
Penutup
Ia mengambil masa hampir dua minggu untuk saya menghabiskan game sampai ke level 55 dan mencapai tahap endgame dalam ujian Closed Alpha ini. Dalam penambahan sistem baru ini juga, pemain akan teruja untuk mengumpul lebih banyak loot bagi meningkatkan rank senjata mereka supaya boleh digunakan lebih efektif dalam pertarungan.
Secara keseluruhan bagi saya, hero Crusader ini tidaklah teruk mana kerana ia sangat membantu ahli pasukan lain semasa pertempuran. Bagi mereka yang ingin menggunakan hero Crusader nanti, pastikan anda memilih rakan pasukan yang menggunakan hero kelas lain supaya senang untuk bekerjasama melakukan misi permainan.
Tambahan pula, gameplay Shadow dan Immortal yang baru dalam ujian ini memberikan anda berinteraksi dengan lebih ramai pemain hebat Diablo Immortal. Ianya sesuatu pengalaman permainan yang menyeronokkan apabila dapat bekerjasama dengan pemain random untuk mengalahkan puak lain.
Buat masa ini, Diablo Immortal dijangka akan tiba dalam platform mobile pada hujung tahun ini. Tetapi Blizzard masih belum mengumumkan tarikh rasmi pelancaran tersebut. Jadi, anda boleh mengikuti berita perkembangan mereka di laman rasmi Diablo Immortal. Anda boleh lihat video gameplay kami dibawah:
@gamersantaimy
Discussion about this post