Selepas mengumpul sejumlah maklumat di temuramah eksklusif bersama Caleb Arseneaux dan Wyatt Cheng dari Blizzard, kini kami berjaya memperoleh akses ke Diablo Immortal Technical Alpha untuk pelantar telefon pintar. Kami dah mencuba permainan, dan memang banyak yang ingin saya jelaskan kepada anda semua.
Untuk mereka yang terlepas artikel lama kami, seperti lokasi yang ada di dalam permainan, dan spesifikasi minimum yang diperlukan untuk telefon pintar, saya sarankan anda membaca artikel ini dahulu. Tanpa melengahkan masa lagi, jom kita selami pandangan pertama ini!
Asas Permainan
Saya ingin mengingatkan anda semua bahawa versi yang saya mainkan adalah versi Technical Alpha, jadi ini bukan versi akhir untuk permainan. Level cap adalah 45, tetapi dalam versi rasmi, ia akan meningkat hingga 60 dan lebih banyak zon akan dibuka. Tetapan grafik sudah tentu bukan seperti di PC, dan menawarkan tetapan asas seperti Low, Medium, High dan Ultra, dengan pilihan untuk High FPS.
Buat masa ini, terdapat empat kelas iaitu:
- Demon Hunter
- Wizard
- Monk
- Barbarian
Anda boleh memilih untuk bermain sebagai lelaki atau wanita, dengan animasi unik berdasarkan pemilihan kelas masing-masing. Statistik mereka juga berbeza berbanding kelas yang kita lihat daripada Diablo 3.
Untuk pengalaman mudah alih yang lebih lancar, kos mana untuk abiliti telah dihapuskan, dan kini menggunakan cooldown. Keempat-empat abiliti yang pemain guna akan berada di sebelah kanan skrin, dengan pergerakan yang dikendalikan oleh joystick di sebelah kiri. Sekiranya anda pernah bermain permainan ARPG atau MOBA di mobile, skema kawalan ini semestinya sudah biasa bagi anda. Sekiranya tidak, ia mudah untuk pemain membiasakan diri, jadi anda tidak perlu terlalu risau. Dengan membuangkan sistem mana, abiliti akan menggunakan sumber unik sendiri di mana setiap kelas mempunyai abiliti “Ultimate“!
Secara keseluruhan, UI-nya cukup kemas dan tidak pernah menghalang pandangan saya, sambil memudahkan saya membaca maklumat di paparan. Walaupun begitu, mempelajari maksud warna atau ikon mungkin memerlukan sedikit masa, dan bergantung pada tahap kefahaman setiap pemain.
Jalan Cerita dan Naratif
Peminat lama mesti ingin tahu lebih banyak tentang jalan cerita, memandangkan Diablo Immortal berlaku selepas Diablo 2, tetapi sebelum Diablo 3. Di sini, Baal membuat kemunculan, untuk mewakili para Prime Evil. Malangnya, Horadrim memerangkap iblis tersebut selepas Dark Exile.
Selain Baal, pemain akan menemui beberapa bos terkenal daripada siri, seperti Blood Countess dan Leoric. Jalan ceritanya agak pendek buat masa sekarang, tetapi memberi gambaran asas tentang kuasa jahat yang sibuk membuat rancangan sendiri, kerana ramai yang berusaha untuk menawan dan menguasai Sanctuary.
Zultan Kulle dan Tal Rasha juga muncul dalam permainan, di mana Tal Rasha mengenakan pakaian ikoniknya. Dalam Technical Alpha ini, pemain dapat menyelesaikan jalan cerita sedia ada hanya dalam tempoh sehari, jadi ia tidak makan masa terlalu lama.
Sistem Gameplay
Asas gameplay adalah menyelesaikan misi, ikuti jalan cerita, dan membunuh musuh sambil mencari barang-barangan (loot). Treasure Goblin muncul dalam permainan, tetapi setakat ini, saya hanya menemui varian emas sahaja. Acara “Cursed Chest” juga kembali, di mana pemain perlu membunuh musuh dalam tempoh masa terhad untuk memenangi peti harta karun unik. Daripada apa yang saya nampak, apa-apa aktiviti dalam permainan akan memberikan ganjaran. Malangnya, ganjaran ini berdasarkan watak. Jadi apa sahaja barang alternatif yang diperlukan untuk kelas lain, pemain perlu mengulanginya sekali lagi.
Berita baik pula! Peralatan tidak mempunyai unsur “durability” (daya ketahanan) dan peningkatan untuk satu peralatan dapat diteruskan ke peralatan, jadi ia tidak merugikan untuk menambahbaik barangan yang kita jumpa kemudian. Musuh akan menjatuhkan pelbagai globe yang berbeza, daripada Health Globe untuk memulihkan HP hingga ke Globe yang menyediakan buff sementara.
Memandangkan Potion dalam permainan tidak memulihkan nyawa dengan segera, tetapi sebaliknya memulihkan nyawa secara beransur-ansur, Health Globe boleh menjadi penentu antara kemenangan dan kekalahan. Shrine juga ada dalam permainan, dan menyediakan buff yang serupa, tetapi untuk jangka masa yang lebih lama. Begitu juga dengan membunuh raksasa, ia akan menambah cas Resurrection Stone. Cas ini tidak akan berkurang sekiranya anda mati dalam Rift.
AI musuh juga lebih pintar! Musuh jarak jauh boleh menjaga jarak dan berlari apabila pemain cuba menghampiri mereka. Pada masa yang sama, anda mungkin menemui hantu yang akan teleport jika anda berada berdekatan dalam jarak mereka. Setiap kawasan mempunyai “recommended level” sendiri, tetapi musuh yang muncul adalah setaraf dengan tahap level pemain. Sekiranya anda mencapai level cap di suatu kawasan, level musuh yang muncul akan berada di dua tahap bawah pemain supaya kita masih boleh dapat sejumlah loot yang lumayan.
Pemain akan menemui dua jenis dungeon:
- Story Dungeon
- Biasanya lebih lama, dan mempunyai adegan atau syarat yang berbeza untuk bos muncul. Pemain dapat mencabar bos yang berkaitan pada bila-bila masa.
- Lair
- Akan muncul secara rawak dalam peta, dan hanya bertahan untuk jangka masa yang terhad. Ia mungkin mempunyai beberapa aras, tetapi biasanya kecil dan singkat dengan beberapa misi sampingan di dalamnya.
Sekiranya menemui Elder Rift, pemain harus mengalahkan Guardian. Jika tidak, anda tidak akan mendapat loot.
Maklumat Tambahan
Kita boleh bertemu pemain lain dalam permainan selain fitur PVP, dan anda akan melihat mereka berkeliaran di bandar. Dengan akses Technical Alpha yang terhad, sudah tentu ia lebih sukar untuk mencari pemain rawak, tetapi ini akan berubah semasa pelancaran rasmi. Sekiranya mereka menyerang mana-mana raksasa, nama raksasa itu akan digelapkan, supaya anda tidak boleh “kill steal” atau mencuri loot-nya. Itu memang fitur yang bagus, tetapi tidak memberi sebarang insentif tertentu untuk kita menolong pemain lain.
Bahagian looting pun cukup mudah, dengan peti harta karun yang muncul di sebelah pemain selepas menyelesaikan misi. Mana-mana peralatan yang jatuh akan selalu berdasarkan kelas pilihan anda, jadi satu aspek RNG telah dimudahkan semasa anda ingin memburu peralatan. Drop rate untuk peralatan “Legendary” pula boleh berubah bergantung pada betapa “bernasib baik-nya” anda pada hari itu. Ini penting apabila saya memberitahu awak semua bahawa kita tidak perlu mengeluarkan walau satu sen untuk permainan!
Walaupun mendapat peralatan yang bagus, fitur transmogrifikasi tidak ada buat masa sekarang, jadi ia tidaklah sentiasa mudah. Pemilihan peralatan juga lebih tegas dalam versi alpha ini di mana para Monk dan Barbarian hanya dapat “dual-wield“, tanpa pilihan untuk menggunakan perisai, dan senjata tertentu akan dikunci ke sebelah tangan sahaja, tanpa kemudahan untuk bertukar tangan. Selain daripada peralatan, anda boleh meningkatkan abiliti hingga ke 13 tahap dalam ujian alpha ini. Beberapa kemahiran tidak dibuka, tetapi ia seharusnya akan diperkenalkan secara beransur-ansur ketika permainan semakin hampir dilancarkan.
Peralatan “Legendary” yang tersedia dalam permainan pun amat ‘linear‘ kerana tidak banyak elemen pemboleh ubah untuk statistik yang kita perolehi, lantas memberikan bonus kekal dan bukannya memaksa pemain untuk membaling dadu bagi bonus 150% hingga 200%. Ia berpotensi untuk mengubah sepenuhnya cara kemahiran kita berfungsi. Sebagai contoh, abiliti yang biasanya memerlukan ‘tap‘ biasa dapat berubah untuk menambah kesan AOE dan sebagainya. Terdapat pelbagai keistimewaan untuk pemain yang berusaha mendapat peralatan-peralatan ini!
Paragon level juga dikongsi antara setiap watak, tetapi barangan dan peralatan terkunci kepada jenis watak, jadi pemain tidak boleh berkongsi barangan antara mereka. Mata wang premium pun dikongsi antara semua watak, tetapi bukan emas dalam permainan, bagi membuatkan permainan adil.
Pendapat
Diablo Immortal boleh mencabar Genshin Impact untuk menjadi salah satu permainan mudah alih yang paling gerun daripada aspek grafik. Pemain Diablo yang berpengalaman akan cuba untuk mengumpulkan musuh dalam kelompok besar dan membunuh mereka dengan sihir AOE bagi strategi “farming” yang cekap di PC, tetapi bagi telefon pintar dengan spesifikasi lebih rendah, ia mungkin lebih sukar untuk render semua efek-efek ini kerana isu prestasi. Dalam kesukaran yang lebih tinggi, penurunan FPS itu dapat menyebabkan kematian yang tidak diduga jika anda tidak dapat bertindak balas kepada serangan musuh.
Sama seperti Diablo 3, beberapa “Legendary” dapat memberi kelebihan atau kekurangan kepada abiliti atau peralatan, dan setiap kelas mempunyai keunikan tersendiri untuk memberi mereka identiti. Kita akan melihat bagaimana Blizzard memperkenalkan setiap kelas baru, sama ada yang pernah dikenalkan sebelum ini atau yang benar-benar baru.
Ujian Technical Alpha direka khusus supaya pemain tidak perlu membelanjakan wang untuk barangan premium. Kita hanya perlu rajin bermain, dan anda boleh capai tahap yang diingini tanpa banyak masalah. Ini pasti memerlukan jangka masa yang panjang berbanding pemain “pay-2-win“, tetapi kita sendiri akan berpuas hati melihat bagaimana watak berkembang dari masa ke masa.
Bagi mereka yang inginkan cabaran, Hell 2 adalah tempat anda. Seperti namanya, watak kita mati hanya dalam beberapa pukulan sahaja. Dengar pun macam seronok kan? Pastikan peralatan anda sentiasa bersesuaian dengan tahap yang disarankan! Untuk maklumat lanjut, Blizzard telah membincangkan perkara ini dengan lebih terperinci di pautan ini.
Fitur Blacksmith pun amat membantu. Ia memudahkan permainan supaya pemain boleh mendapatkan statistik yang diingini, kerana kita dapat mengubah “Bonus Attribute“ pada satu peralatan melalui sistem Reforging. Aspek RNG tidaklah teruk sangat, dan sebenarnya sangat membantu, jadi ia sudah cukup bagus bagi saya.
Secara keseluruhan, versi alpha Diablo Immortal sudah cukup hebat, dan sebenarnya lebih baik daripada apa yang saya jangkakan, jadi ia pasti menjadi permainan yang boleh dinantikan oleh orang ramai. Permainan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda monetisasi yang jelas, jadi pemain sekurang-kurangnya tidak perlu risau tentang elemen tersebut. Sekiranya ada peluang untuk ujian yang lebih luas, pastikan anda mencuba untuk ketahui sendiri betapa seronoknya francais Diablo di pelantar mudah alih.
Itu sahaja untuk pandangan awal ini! Sehingga Diablo Immortal dilancarkan, sila lawati segala liputan kami tentang permainan di pautan ini. Selamat ber-gaming!
@gamersantaimy
Discussion about this post