Sony Interactive Entertainment dan pembangun Arc System Works telah mengumumkan ujian open beta untuk fighting game 4v4 tag-team MARVEL Tōkon: Fighting Souls. Sesi ujian percuma ini akan berlangsung dari Jumaat, 24 Julai hingga Isnin, 27 Julai, serta adalah peluang terakhir untuk para pemain mencuba game ini sebelum pelancaran rasmi pada bulan depan.
Jadual dan Keperluan Open Beta
Open Beta MARVEL Tōkon akan berjalan selama 72 jam berturut-turut:
- Mula: 24 Julai jam 3:00 petang MYT
- Tamat: 27 Julai jam 2:59 petang MYT
Beta ini boleh diakses di PlayStation 5, Steam, dan Epic Games Store. Pemain juga boleh pre-load klien game bermula dua jam sebelum server dibuka supaya anda boleh terus bermain sebaik sahaja ia dilancarkan.
Meskipun langganan berbayar PlayStation Plus tidak diperlukan untuk bermain di konsol, semua pemain di PS5 mahupun PC masih memerlukan akaun PlayStation Network (PSN) untuk menyertai ujian ini.
Barisan Watak dan Stage

Ujian open beta ini menampilkan 15 daripada 20 watak yang bakal tersedia dalam roster penuh semasa pelancaran rasmi nanti. Ujian kali ini turut menandakan kemunculan pertama pemburu vampire terkenal “Blade” sebagai playable character. Kesemua watak ini dibahagikan kepada beberapa pasukan:
- Fighting Avengers: Captain America, Iron Man, Black Panther
- Unbreakable X-Men: Storm, Magik, Wolverine, Danger
- Amazing Guardians: Spider-Man, Ms. Marvel, Star-Lord, Peni Parker
- Samurai Outriders: Ghost Rider, Blade
- Knights of Doom: Doctor Doom, Magneto
Pemain bakal bertarung di enam stage yang diinspirasikan daripada alam Marvel: Marvel’s New York (Siang), Savage Land, X-Mansion, Knowhere, Wakanda, dan Marvel’s New York (Malam).
Bukan Sahaja Matchmaking Online
Berbeza dengan ujian closed beta sebelum ini yang hanya memfokuskan kepada mod online multiplayer), ujian kali ini turut memperkenalkan beberapa ciri offline serta mod single-player sebagai pengenalan kepada kandungan game penuh nanti.

- Perlawanan Online dan Local: Pemain boleh mencari perlawanan Casual dan Ranked secara onlie. Bagi gameplay offline pula, Versus Mode membolehkan anda bertarung dengan rakan secara lokal pada skrin yang sama, atau berlatih menentang komputer (CPU).
- Start Up Battle dan Training Mode: Bagi pemain baharu, tutorial “Start Up Battle” disediakan untuk membantu memahami asas combat 4v4. Selain itu, Training Mode juga boleh diakses untuk berlatih kombo serta melaras kelakuan dummy mengikut situasi combat yang ingin diuji.
- Open Lobby: Berfungsi sebagai hab utama bagi para pemain, lobi ini menampilkan rekaan miniatur yang comel daripada stage ikonik game ini. Di sini, anda boleh memilih satu daripada 16 avatar chibi unik (dengan empat pilihan warna berbeza) untuk berinteraksi menggunakan stamp dan emote, atau mencabar pemain lain bertarung di mesin arked maya.
- Episode Mode: Peminat mod single-player berpeluang mencuba tiga bab pertama daripada Story Mode melalui kempen “Amazing Guardians”. Mengisahkan perjalanan Spider-Man mengumpulkan pasukannya untuk menghadapi ancaman misteri di Bumi, mod ini menggabungkan penceritaan animasi motion-comic dengan aksi combat.

MARVEL Tōkon: Fighting Souls akan dilancarkan secara rasmi pada 6 Ogos 2026 untuk PlayStation 5 serta PC melalui Steam dan Epic Games Store. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.









Discussion about this post