Kita tidak boleh menafikan bahawa francais Mobile Suit Gundam adalah yang paling popular dalam anime genre mecha. Namun jika dikaji lebih mendalam, anda mungkin akan mendapati yang sebenarnya ada banyak mecha lain lagi hebat dari Gundam. Malah, genre mecha bukan sahaja mengenai Gundam walaupun secara keseluruhannya ia banyak tertumpu pada robot bersaiz gergasi ini.
Kebanyakan genre mecha lain bukannya tidak hebat, tetapi mereka tidak memiliki francais sepopular Gundam yang mempunyai peminat dari seluruh dunia. Untuk pengetahuan anda, sebenarnya ada mecha yang lebih gempak daripada Gundam dan mereka juga mempunyai konsep rekaan dan serangan lagi mantap. Jadi, saya akan kongsikan dengan anda mecha paling kuat di sejarah anime selain dari Gundam!
Mazinkaiser SKL
Mazinkaiser SKL adalah varian lain kepada Mazinkaiser yang dibina untuk menjadi senjata rahsia milik sebuah organisasi dinamakan WSO atau “Wide-area Surveillance Organization”. Berbanding dengan model asalnya, Mazinkaiser SKL mempunyai beberapa perbezaan dari segi rekaan yang nampak kearah jahat dan memiliki lebih banyak senjata. Walaupun ia ditampilkan dengan perisai yang banyak, unit ini boleh bergerak dengan sangat lincah sehingga boleh mengelak dari tembakan pantas dari beberapa arah sekaligus. Mazinkaiser SKL juga sangat sukar untuk dikawal sehingga ia perlu dipandu oleh dua juruterbang Death Caprice Squad, iaitu Ken Kaido dan Ryo Magami dari Skull Force.
Selain itu, mecha ini turut mempunyai kekuatan dan daya pertahanan yang cukup kuat untuk melindungi diri dari serangan letupan serta tembakan. Disebabkan ia terlalu bahaya, kemampuan penuhnya sering disembunyikan dan hanya dapat diakses oleh robot sokongannya, Wing Cross. Malah, ia juga terbukti dapat bertahan dari serangan laser beam yang besar.
Bagi menjadikan Mazinkaiser SKL lebih kuat di pertempuran, ia telah dilengkapi dengan beberapa jenis senjata seperti pedang Ganzanto, senapang Breastrigger, sokongan Wing Cross dan helmet Skull Pilder. Pedang Ganzanto mempunyai dua sisi gigi jerung raksasa dengan satu pisau yang tajam untuk menikam mecha lain. Senjata ini digunakan ketika Kaido mengawal Kaiser, dan boleh melakukan kombo Fang Slashing Sword! Senapang Breastrigger dilengkapi dengan bayonet pula dikawal oleh Magami untuk menembak musuh dari jauh. Selain dari mengeluarkan peluru yang banyak dalam satu masa, Breastrigger juga boleh menembak laser jika ia dalam mod kuasa penuh.
Faktor kekuatan Mazinkaiser SKL juga disokong oleh Wing Cross untuk menghasilkan beberapa serangan unik seperti Rust Stream yang boleh menembak tiga tornado serentak dan Thor Hammer Breaker untuk menambah kekuatan elektrik kepada Ganzanto. Wing Cross turut memberikan mecha ini melakukan serangan terkuatnya, iaitu Inferno Blaster yang menghasilkan letupan beam cukup hebat sehingga boleh menghancurkan musuh begitu sahaja.
Shin Getter Robo (Shin Getter Robo)
Shin Getter Robo adalah ahli generasi ketiga dari Getter Machine, dan mecha terakhir yang dihasilkan bawah pemantauan Dr. Saotome, iaitu pencipta asal Getter Robo. Ianya dicipta untuk menjadi Getter Machine paling kuat yang ada, dan memiliki kekuatan luar biasa sehingga output energy tidak stabil. Disebabkan itu, Shin Getter Robo sentiasa menembak Getter Ray pada tahap yang memusnahkan seperti bencana nuklear.
Disebabkan mecha ini mempunyai kekuatan yang luar biasa, jadi ia mampu membunuh musuh dan juruterbangnya sendiri. Untuk memandu Shin Getter Robo, mereka memerlukan fizikal yang kuat bagi menahan tahap bahaya G Force-nya. Malah, menggerakan mesin ini sendiri boleh menyebabkan juruterbangnya menjadi gila jika tidak memiliki semangat yang tinggi untuk menahan tekanan mental Getter.
Dari segi kemampuan pula, ia sangat pantas untuk mencapai kelajuan cahaya ketika melakukan ujian penerbangan, dan mampu berkembang pada tahap yang menakutkan. Hasil dari pengambilan Getter Rays sangat banyak juga menjadikannya terlampau kuat untuk menewaskan musuh hanya dengan separuh kekuatan. Akibat terlalu kuat sehingga membahayakan semua orang disekelilingnya, Shin Getter Robo terpaksa dibawa ke planet Marikh kerana menjadi ancaman bagi Bumi.
Nirvash (Eureka 7)
Ramai yang menganggap Nirvash tidak begitu hebat kerana hanya bergantung pada senjata projektil untuk bertahan dalam pertempuran. Namun, menariknya mengenai mecha ini ialah dia tidak terbang menggunakan sayap atau jet seperti mecha lain, sebaliknya dengan bantuan papan luncur. Nirvash boleh menaiki papan luncur gergasi yang mengeluarkan pelangi di bahagian ekzos, dan ia menjadi suasana pertempuran paling hebat di antara semua anime mecha.
Walau bagaimanapun, itu bukan menjadi sebab mengapa Nirvash tersenarai sebagai mecha terkuat dalam sejarah anime. Kelebihan Nirvash adalah ia boleh berubah kepada beberapa bentuk yang membolehkannya untuk bertarung dalam pelbagai situasi pertempuran.
Tambahan pula, Nirvash boleh mencapai ke potensi penuh menjadi Type ZERO apabila Amita Drive disambungkan ke Compac Drive-nya untuk membuka Satori Program. Apabila Eureka bergabung dengan Nirvash, Amita Drive akan menghasilkan Trapar Power yang memancarkan cahaya pelangi dengan pelbagai kesan khas semasa bertarung.
Gridman (SSSS.Gridman)
Gridman boleh berubah kepada empat bentuk, iaitu Initial Fighter, Primal Fighter, Combination dan True Form ketika bertarung dengan raksasa kaiju. Dalam anime, Gridman sentiasa ditampilkan dalam bentuk Initial Fighter, dimana ia mampu untuk bergerak lebih pantas dan lincah walaupun memakai baju besi. Kebolehan Gridman adalah seperti Restoration untuk memulihkan diri selepas bertarung, dan terbang menggunakan Rocket Thrusters yang berada di belakang badan serta bawah kakinya.
Di samping itu, Gridman mempunyai beberapa teknik seperti Grid Beam yang boleh memusnahkan kaiju dengan satu serangan, Gridknight Saber Slash untuk membelah musuh dan Grid Kinesis bagi memasuki mimpi orang lain serta mengawal mereka. Dia juga boleh melakukan Grid Calibur End, dimana Gridman akan memecut laju dengan bantuan thruster di belakangnya dan terus memancung musuh menggunakan pedang.
Bentuk Combination adalah gabungan Gridman dengan Assist Weapon bagi mendapatkan kekuatan tambahan. Walaupun bentuk ini menjadikan berat badannya bertambah, tetapi Gridman masih lagi lincah dan mampu melakukan gerakan akrobatik. Assist Weapon memberikan Gridman senjata Rocket Thruster yang boleh melancarkan sejumlah roket berpandu, dan menembak bahan letupan dari barrel melalui Tanker Canon.
Lancelot SiN (CODE GEASS)
Ini adalah tahap baru untuk Lancelot dan telah dirancang untuk menjadi mecha paling kuat di anime Code Geass. Ia masih mempunyai beberapa senjata lama seperti Super VARIS Cannon untuk menembak laser dan peluru serta memiliki Frame Coat untuk bertukar menjadi Lancelot siN White Fang.
Dengan kebolehan Blaze Luminous dan Energy Wing, Lancelot SiN mampu melindungi dirinya menggunakan Pure Energy sambil menyerang pihak lawan. Mecha ini mampu mengalahkan musuh utamanya, iaitu Zangetsu tanpa perlu bersusah payah kerana mempunyai ciri fizikal luar biasa, serta mempunyai kuasa yang boleh menghancurkan seluruh armada udara.
Dari segi pensenjataan, Lancelot SiN mengikut rekaan Lancelot 1 yang dilengkapi C7-anti-materiel-V.A.R.I.S. yang menggabungkan teknologi Black Knight dan mempunyai 2 mod pengaktifan, iaitu Normal Mode dan Full Burst Mode. Ia juga ditambah dengan Maser Vibration Swords yang menggabungkan tenaga hayunan sangat tinggi untuk meningkatkan keberkesanan memotong pada pedang.
Eva Unit-01 (Neon Genesis Evangelion)
Eva Unit-01 bukan sahaja klon kepada Lilith, tetapi ia juga dihasilkan dengan proses yang sangat berbeza. Mecha ini dipanggil sebagai Test-Type kerana mereka telah melakukan beberapa ujian yang sangat tidak masuk akal untuk menjadikan Eva Unit-01 sebagai Lilith kedua dan mempunyai pelbagai kemampuan khas.
Di samping itu, ia mampu melakukan beberapa aksi seperti drop-kick dan spinning leap di udara untuk menyerang musuh yang lebih kuat. Kehebatan utama Eva Unit-01 adalah mod Berserk yang boleh menyebabkannya mengambil alih kawalan dari juruterbang dan meningkatkan kekuatan fizikal walaupun tiada tenaga elektrik.
Walaupun Eva Unit-01 tidak mempunyai kemampuan untuk terbang atau senjata api yang hebat, tetapi ia mempunyai kebolehan melakukan Regeneration seperti mengembalikan bahagiannya yang terputus dan masih menjadi salah satu mecha paling ikonik dalam anime berbanding Gundam. Disebabkan ia mempunyai pemikiran sendiri dan boleh mengamuk, jadi Eva Unit-01 tersenarai sebagai watak dalam Evangelion yang sangat diingati. Malah, juruterbang Eva Unit-01, iaitu Shinji Ikari juga telah dilatih untuk melawan dan membunuh Angels sehabis-habisnya. Jadi pertempuran dalam anime ini cukup gempak dan mampu membuat anda teruja untuk melihat lebih banyak lagi.
Ideon (Space Runaway Ideon)
Bahagian-bahagian Ideon dikuasakan oleh sumber tenaga misteri yang tidak terbatas dan sentiasa berubah-ubah dipanggil ‘Id’ untuk mempengaruhi prestasinya. Mecha ini mempunyai banyak senjata yang memberikannya kekuatan menyerang luar biasa, dan diiktiraf sebagai mecha paling kuat dalam sejarah anime. Dengan Missle Ports dan Glen Cannon yang ada diseluruh tubuhnya, Ideon boleh menyerang dari pelbagai arah serta mampu melindungi diri menggunakan Id.
Juruterbang Ideon, iaitu Ajian juga mempunyai kemahiran tinggi dalam mengendalikan meriam Mini Black Hole. Serangan ini akan mewujudkan lubang hitam yang boleh menyedut semua objek disekeliling Ideon dan boleh menyebabkan kerosakan besar kepada rakan serta musuhnya. Mecha ini turut dilengkapi dengan senjata seperti pedang yang boleh menghasilkan dua laser beam untuk membelah planet menjadi dua. Manakala Wave Leader Cannon adalah senjata terkuat Ideon yang akan menembak energy wave untuk menghancurkan armada dan planet dengan satu serangan.
Gurren Lagann (Tengen Toppa Gurren Lagann)
Kekuatan dan kemampuan bertarung Gurren Lagann adalah yang paling terkuat dalam sejarah anime mecha kerana ia dikuasakan oleh semangat berjuang juruterbangnya. Antara kebolehan mecha ini adalah memanipulasikan drill menjadi pelbagai saiz dan bentuk untuk menyerang segala jenis musuh tanpa masalah, dan membentukkan beberapa Giga Drill di seluruh tubuhnya sebagai perisai dan senjata.
Selain dari semangat juruterbangnya, Gurren Lagann juga mendapat kekuatan dari Spiral Power yang memberikannya Regeneration bagi memulihkan kerosakan kecil dengan segera, serta membuat Perceptual Teleportation untuk teleport ke tempat lain. Spiral Power juga membolehkan mecha ini untuk bergabung dengan pelbagai jenis mekanikal pada drilnya untuk menjadi lebih kuat dari bentuk asal.
Tambahan pula, Gurenn Lagann mempunyai kepantasan yang cukup hebat sehingga ia boleh mengelak serangan missle dengan mudah dan menewaskan musuh yang lebih pantas darinya. Dengan kelajuan tanpa had, mecha ini dapat melakukan Flaming Chariot Kick apabila mencapai had laju terminal dan mengalahkan musuhnya dengan mudah.
Walau bagaimanapun, mecha ini masih mempunyai kelemahan seperti apabila juruterbangnya, iaitu Simon dalam keadaan lapar atau terlampau emosi ketika mengendalikan Gurren Lagann. Malah, serangan terhebat Giga Drill Break turut boleh dihentikan jika musuh mempunyai kekuatan untuk menangkisnya.
@gamersantaimy
Discussion about this post