Masih ingat lagi zaman kita lari balik ke rumah semata-mata tak nak terlepas tonton Naruto dekat TV3? Sekarang, komuniti anime moden nampaknya sudah mencapai kata sepakat bahawa Naruto ciptaan Masashi Kishimoto kini secara rasminya telah dikategorikan sebagai anime “retro.”

Label “retro” sentiasa berubah mengikut peredaran zaman. Kalau pada tahun 1990-an, gelaran itu diberikan kepada siri popular tahun 60-an seperti Astro Boy. Masuk tahun 2010-an, giliran siri klasik 90-an seperti Sailor Moon dan Dragon Ball pula yang naik taraf ke status retro.
Kini, pada pertengahan tahun 2020-an, tumpuan peminat mula beralih kepada karya-karya dari awal tahun 2000-an.

Bagi peminat yang pernah menghabiskan masa berdebat tentang siapa yang bakal menang dalam ujian Chunin Exams, mungkin agak pelik apabila mendengar Naruto dipanggil sebagai rancangan “lama.”
Perasaan ini lebih terasa pada masa sekarang, memandangkan carta anime kini didominasi oleh siri berbajet besar dengan kualiti visual yang sangat tajam seperti Jujutsu Kaisen.

Namun, gelaran “retro” sebenarnya adalah satu penghormatan besar. Ia membuktikan bahawa Naruto tidak dilupakan zaman, sebaliknya telah matang menjadi sebuah legasi sejak animenya mula diperkenalkan pada tahun 2002.

Kisahnya bermula dengan Uzumaki Naruto, seorang budak yang lama dipulau dan dibuli sejak lahir. Dia sering menarik perhatian penduduk kampung dengan melakukan pelbagai perkara nakal dan vandalisme. Namun, di sebalik perangai itu, dia mempunyai azam kuat untuk menjadi seorang Hokage.
Dia mahu membuktikan kemampuannya dan mendapat pengiktirafan daripada orang ramai yang selama ini melayannya dengan buruk.

Dalam perjalanan tersebut, Naruto telah menyertai Team 7, sebuah pasukan ninja yang turut dianggotai oleh si genius Uchiha Sasuke dan Haruno Sakura yang pintar. Di bawah bimbingan guru mereka, Hatake Kakashi, Team 7 mula menggalas pelbagai misi yang memaksa mereka untuk menjadi lebih kuat.

Kini, peminat generasi muda yang terlepas tayangan asalnya mula menemui siri ini sebagai sebuah karya “vintage” untuk memahami asal-usul salah satu karya paling popular dalam genre shonen.
Kisah tentang seorang underdog yang mempunyai impian besar sentiasa relevan dan tidak akan lapuk dek zaman, tidak kira berapa dekad pun telah berlalu.









Discussion about this post