Square Enix akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-25 bagi Final Fantasy VII pada 17 Jun 2022. Berikutan dengan acara ini, terdapat kebocoran di Twitter yang mengatakan Crisis Core: Final Fantasy 7 Remake akan keluar di PlayStation, Xbox, Nintendo Switch dan PC.
Menurut akaun Twitter The Snitch, dia menunjukkan gambar Zack Fair daripada Crisis Core: Final Fantasy 7 bersama-sama dengan petunjuk yang menunjukkan kotak biru mewakili PlayStation, kotak hijau untuk Xbox, kotak merah sebagai Nintendo Switch dan kotak hitam untuk PC. Dengan kewujudan Switch pada posting tersebut, ramai yang mempercayai game ini telah remastered dan bukannya remake kerana Switch tidak dikenali sebagai peranti yang boleh bermain game yang mempunyai grafik yang tinggi dan intensif.
Terdapat isu di mana dia selalu membocorkan maklumat dengan cara yang tidak terus terang dan perkara ini menyebabkan ramai yang tidak pasti apa yang dimaksudkan olehnya. Sambutan Ulang Tahun ke-25 Final Fantasy VII sepatutnya akan memberikan semua maklumat berkaitan dengan siri ini dan berkemungkinan besar mereka juga akan mengumumkan Crisis Core: Final Fantasy 7 Remake.
Bagi sesiapa yang tidak tahu, Crisis Core: Final Fantasy VII telah dikeluarkan pada tahun 2008 di PSP. Ianya adalah game action RPG yang dibangunkan oleh Square Enix. Ia merupakan prekuel kepada Final Fantasy VII yang dikeluarkan pada tahun 1997. Berikut adalah serba sedikit tentang Crisis Core: Final Fantasy VII:
Game ini tertumpu pada Zack Fair, seorang ahli organisasi paramilitari SOLDIER yang ditugaskan untuk mencari SOLDIER Genesis Rhapsodos yang hilang. Semasa dia mencari Genesis, Zack menemui asal usul Genesis iaitu Projek G yang berkait dengan dua SOLDIER berpangkat tinggi lain, Sephiroth dan Angeal Hewley. Jalan cerita game ini akan membawa pemain dari peperangan antara Shinra Electric Power Company dan penduduk Wutai ke peristiwa di Nibelheim.
Buat masa sekarang, kami tidak pasti sama ada kebocoran tentang Crisis Core: Final Fantasy 7 Remake benar atau palsu. Jadi, kami menasihatkan anda untuk tidak percaya terlebih dahulu dan tunggu pengumuman yang akan dibuat semasa Sambutan Ulang Tahun ke-25 Final Fantasy VII Jumaat ini. Ikuti Gamer Santai untuk mendapatkan lebih banyak berita menarik mengenai game, anime, teknologi dan banyak lagi daripada kami.
@gamersantaimy
Discussion about this post