Ada khabar angin mengatakan bahawa ASUS sedang merancang untuk menceburi sektor penghasilan DRAM menjelang tahun 2026.
Langkah ini dipertimbangkan berikutan krisis bekalan memori global semasa, yang sebahagian besarnya berpunca daripada permintaan yang amat tinggi untuk high-bandwidth memory (HBM) selari dengan perkembangan pesat industri artificial intelligence (AI).

Khabar angin ini, yang mula tersebar melalui laporan Sakhtafzarmag, menyebut bahawa ASUS berkemungkinan akan membangunkan fasiliti pengeluaran DRAM miliknya sendiri menjelang suku tahun kedua 2026.
Sumber berita itu, yang dikenali sering memberikan maklumat tepat berkenaan syarikat-syarikat teknologi besar, menyatakan bahawa tindakan ini merupakan respons terus terhadap ketidaktentuan harga dan bekalan memori yang telah menjejaskan industri PC.

Pada masa ini, keadaan pasaran DRAM di seluruh dunia sedang mengalami masalah. Syarikat pengeluar memori seperti Samsung, SK Hynix, dan Micron telah mengubah fokus kapasiti pengeluaran mereka daripada DRAM untuk pengguna biasa, seperti DDR5, kepada HBM yang memberikan keuntungan lebih tinggi dan diperlukan oleh AI.
Perubahan ini telah mengakibatkan isu yang besar antara bekalan dan permintaan untuk produk elektronik pengguna, sekali gus menyebabkan kenaikan mendadak pada harga komponen-komponen penting.
Para penganalisis industri menjangkakan bahawa masalah bekalan memori ini akan berlanjutan sehingga tahun 2027, atau mungkin lebih lama lagi sehingga 2028.

Bagi ASUS, sebagai salah sebuah pengeluar PC, laptop dan komponen utama di peringkat global, adalah sangat kritikal untuk memiliki sumber bekalan DRAM yang konsisten.
Pelbagai produk syarikat itu, termasuk siri terkenalnya seperti Republic of Gamers (ROG) dan TUF Gaming, amat memerlukan bekalan modul memori yang berterusan pada harga yang munasabah.
Dengan memiliki fasiliti pengeluaran sendiri, ASUS bukan sahaja dapat menjamin bekalannya, malah turut memperoleh kelebihan dari segi kos, yang seterusnya membolehkan syarikat itu menawarkan produk pada harga yang lebih berdaya saing dalam pasaran.

Setakat sekarang, pihak ASUS masih belum memberikan sebarang ulasan rasmi berhubung khabar angin ini. Spekulasi tersebut juga tidak disentuh dalam sebarang laporan kewangan terkini mahupun makluman kepada para pelabur syarikat.
![[Khabar Angin] Bagi Menangani Krisis Bekalan, ASUS Dilaporkan Bakal Menjadi Pengeluar DRAM!](https://cdn.gamersantai.com/2025/12/ASUS-RAM_KHABAR-ANGIN_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post