Dalam game Dragon Ball, peminat sudah biasa bermain sebagai Goku, Vegeta, dan watak hero lain-lain yang biasanya menghadapi musuh yang kuasanya sama taraf. Dalam game asymmetrical 7v1 akan datang, Dragon Ball: The Breakers, nampaknya game ini akan menukar format di mana manusia biasa – digelar sebagai Survivor – terpaksa menangani ancaman Raider tanpa bantuan hero kita.
Untuk membantu lebih memahami perkembangan game setakat ini, kami telah bercakap dengan produser Ryosuke Hara tentang apa yang kita boleh harapkan daripada Dragon Ball: The Breakers dan menjawab beberapa soalan penting tentang gameplay.
Jom kita teruskan ke kandungan interview!
Adakah studio akan melaksanakan cross-play pada masa hadapan untuk platform yang berbeza?
Pada masa ini kami tidak mempertimbangkan cross-play antara konsol dan menumpukan perhatian untuk membuat sambungan yang lebih baik antara matchmaking terlebih dahulu.
Apakah sebab di sebalik gaya pendekatan kepada game ini?
Hingga sekarang, ada banyak game Dragon Ball, dan kebanyakannya tentang pertarungan atau mengalami sejarah Dragon Ball.
Dan buat masa ini, kami sedang mencari cara untuk menambah baik pengalaman yang masih belum diterokai dalam Dragon Ball. Watak seperti Bulma dan Oolong, watak seperti itu juga sebahagian daripada Dragon Ball.
Seperti biasa yang kita tahu dalam Dragon Ball, setiap pertarungan akan memusnahkan bandar, dan perkara-perkara seperti itu kelihatan sangat cool. Tetapi bagaimanakah jika ia dilihat dari perspektif orang awam atau seperti seseorang yang tinggal di dunia Dragon Ball sebagai orang biasa?
Bahagian itulah yang ingin kami sampaikan dalam game ini. Itulah sebabnya kami juga mempertimbangkan genre yang popular sekarang untuk melaksanakan dalam permainan.
Orang biasa yang hidup dalam dunia itu biasanya mempunyai power level sebanyak 5. Game ini adalah untuk mereka yang hanya ada power level 5, untuk mengalami perbezaan kuasa antara Raider dan juga pemain.
Daripaada trailer kami faham bahawa mangsa yang terselamat sedang diburu oleh Raider dalam setiap perlawanan. Tetapi apakah plot keseluruhan game? Adakah setiap Raiders dan Survivors mempunyai latar belakang sendiri?
Kami ada menunjukkan prolog untuk jalan cerita tetapi buat masa ini kami tidak akan menghuraikan lebih lanjut mengenainya. Akan datang, akan ada lebih banyak musim dan lebih banyak update dan kami mungkin akan memaparkan lebih banyak lagi.
Apakah proses yang dibuat semasa hasilkan reka bentuk Frieza supaya tidak menjadikannya terlalu kuat/overpowered? Soalan ini juga umum untuk semua Raider.
Untuk Raider, mereka mempunyai kepakaran sendiri dalam permainan seperti Cell yang mempunyai evolusi, dan kemahiran “mencari” khusus yang menjadikannya lebih seperti watak all-rounder. Untuk Frieza, kunci untuk menggunakan kemahirannya ialah cara penggunaannya, dan dia lebih seperti Raider teknikal.
Dengan mengambil kira perbezaan antara Raider, Frieza, sebagai contoh, cara dia menggunakan kemahirannya seperti memanggil Zarbon dan Dodoria akan menjadi kunci dalam penggunaan wataknya.
Sebaliknya, penggunaan kemahiran itu mungkin agak sukar untuk sesetengah pemain. Jadi, bergantung pada cara anda bermain, watak mana yang lebih mudah digunakan dan mana yang mungkin lebih sukar untuk digunakan, itulah cara kami mengimbangi permainan.
Adakah akan ada mode kempen pendek atau jalan pendek yang akan membantu pemain memahami dunia sebelum mereka menyertai perlawanan?
Sama seperti sebelum ini, masih tiada rancangan. Ia adalah sama dengan jenis cerita dalam Closed Network Test tetapi lebih banyak maklumat akan didedahkan kemudian.
Kami telah melihat Cell dan Frieza dalam trailer. Bolehkah kita menantikan pengumuman Raider seterusnya semasa Tokyo Game Show?
Selain daripada menunjukkan Cell dan Frieza sebelum ini, kami akan menunjukkan Kid Buu.
Dan kami juga akan mempunyai skin lain untuk pihak Survivor iaitu Farmer yang sangat terkenal – manusia dengan power level 5.
Game asymmetrical biasanya menampilkan lima pemain tetapi Dragon Ball mempunyai 7. Apakah niat untuk mempunyai begitu banyak watak di pihak Survivors?
Jadi, game itu sendiri adalah orang super power berbanding orang biasa, kan? Jadi, kami mahu lebih ramai pemain di pihak orang biasa, untuk menjadikannya lebih seimbang dalam erti kata konteks. Dan seperti yang anda tahu, terdapat tujuh Dragon Ball. Dengan mengambil kira itu, kami mahu ia mempunyai makna khusus, seperti tujuh orang, tujuh Dragon Ball. Ia sepadan dengan elemen Dragon Ball.
Mengapa game itu dipanggil Dragon Ball: The Breakers? Adakah terdapat sebab khusus di sebalik ini?
Pada asasnya, orang awam harus menghadapi ancaman besar daripada Raiders. Dan dalam keadaan yang tidak ada harapan, untuk “break out/keluar” dari itu adalah apa yang kami sasarkan untuk orang ramai faham. Jadi itulah yang dimaksudkan oleh Breakers, orang yang akan memecahkan situasi yang tidak ada harapan ini dan menyelamatkan diri.
Adakah terdapat sebarang maklum balas yang dimasukkan oleh pasukan pembangunan selepas Closed Network Test untuk menambah baik permainan?
Jadi, kami menerima banyak maklum balas daripada Closed Network Test. Memandangkan gameakan dilancarkan tidak lama lagi, agak sukar untuk melakukannya semasa pelancaran. Jadi, kami tidak sabar-sabar untuk melaksanakan update ini sekitar musim akan datang. Selain daripada itu, aspek keseimbangan seperti Raider dan sama ada kemahiran mereka terlalu kuat, juga akan dibuat selepas pelancaran permainan.
Jadi, kami mengharapkan lebih banyak suara dan lebih banyak pendapat untuk menjadikan game ini lebih baik.
Bagaimanakah keseimbangan dalam game diberikan senarai watak yang tersedia untuk dimainkan? Bagaimanakah aspek keseimbangkan ditetapkan semasa pembangunan?
Kami telah banyak berfikir tentang game ini. Jadi, seperti yang kami katakan sebelum ini, aspek yang paling penting ialah bahagian di mana orang kuasa super lawan orang biasa. Untuk mengekalkan perbezaan yang sangat besar antara kuasa super dan orang biasa, kita mempunyai dua perkara yang sangat penting.
Pertama ialah menyimpan data yang kami ada daripada Network Test dan Beta. Kami akan menganalisis jumlah kemenangan, jumlah kemahiran yang digunakan oleh Raider, dan kami akan membuat perubahan jika perlu. Apa-apa sahaja antara Raiders dan Survivors.
Dan yang kedua, paling penting bagi kami, adalah pendapat pemain, seperti maklum balas yang kami terima.
Apakah kebolehan istimewa lain yang dimiliki oleh setiap Raider dan apakah kebolehan istimewa yang boleh kita lihat dalam bentuk akhir mereka berbanding dengan bentuk pertama?
Berkenaan Cell dalam bentuk pertamanya. Pada mulanya, dia tidak begitu kuat. Walau bagaimanapun, dia sangat pantas untuk pergi ke bentuk kedua selepas menangkap Survivor. Dia boleh mencari Survivor yang memudahkannya untuk meneruskan evolusi berbanding dengan Raider lain. Selepas mencapai bentuk akhir atau Perfect Form, anda boleh menggunakan Kamehameha kuat yang dengan mudah dapat menghapuskan Survivor. Bentuk pertama benar-benar tidak kuat, namun dalam Perfect Form, dia sangat kuat.
Bagi Frieza dalam bentuk pertama, dia sudah boleh terbang dan mempunyai kekuatan yang lebih tinggi berbanding Cell. Tetapi bermula di bentuk kedua, sama seperti anime dan manga, dia tidak mempunyai scouter sendiri. Jadi, anda perlu menggunakan dia dengan lebih strategik melalui Zarbon dan Dodoria. Beliau mempunyai pendekatan yang lebih strategik berbanding Cell.
Selepas mencapai Final Form, Frieza boleh menggunakan kemahiran sama yang digunakannya untuk memusnahkan Planet Namek. Berbanding dengan Cell Perfect Form, yang menyasarkan orang dalam garisan lurus, abiliti “This Planet Will Die”, adalah sejenis serangan AOE yang boleh membunuh banyak Survivor dalam satu serangan.
Adakah terdapat apa-apa yang Survivors boleh gunakan seperti abiliti istimewa untuk membantu bertahan menentang Raiders?
Saya akan memberikan contoh untuk tiga Survivor. Buat masa ini, kita akan bercakap tentang Oolong. Pertama, dia mempunyai dua abiliti. Yang pertama ialah “Complete Transformation”, jadi ia adalah sejenis skill berasaskan nasib di mana anda boleh menukar kepada item yang wujud di atas peta. Tetapi objek itu rawak.
Anda mungkin sedang bersembunyi di dalam rumah tetapi kemudian berubah dan dapat tahu anda menukar kepada sesuatu yang tidak sepatutnya ada di dalam rumah. Jadi, ia berasaskan nasib tetapi adalah kemahiran yang sangat menarik untuk digunakan dalam game ini.
Satu lagi ialah Missile Transformation yang memberikan pemain keupayaan untuk terbang. Biasanya Survivor tidak boleh terbang tetapi ini memberi kelebihan kepada mereka.
Seterusnya, kami mempunyai Bulma, yang juga mempunyai dua skill.
Yang pertama ialah Bike. Berbanding dengan kenderaan biasa yang boleh anda gunakan di sekeliling peta, ini lebih pantas, mempunyai boost yang lebih pantas dan ia memberi kelebihan untuk pergerakannya. Kedua ialah Charming Pose. Ia adalah kemahiran yang sangat bagus kerana boleh menghentikan Raiders buat seketika.
Seterusnya ialah Farmer, yang akan kami tunjukkan di Tokyo Game Show. Dia mempunyai satu skill istimewa, iaitu untuk menggali. Anda kadangkala boleh mencari item dan berbanding dengan kemahiran watak lain, ia mempunyai cooldown yang sangat rendah. Jadi, anda boleh terus menggali dan menggali untuk mencari lebih banyak item. Anda tidak selalu akan menemui item, tetapi boleh terus melakukannya untuk mendapatkan item dan kelebihan.
Adakah anda mempunyai rancangan untuk konsol next-gen dan penambahbaikan grafik?
Pada masa ini untuk PS5 untuk Xbox Series, ia belum dipertimbangkan lagi. Tetapi sudah tentu, bergantung kepada reaksi pemain, dan apa permintaannya, kami mungkin mempertimbangkannya pada masa hadapan.
Adakah ada rancangan untuk memasukkan watak daripada Dragon Ball Super atau filem Dragon Ball lama seperti Bulla atau versi lama Broly?
Kerana game ini mempunyai kaitan dengan Xenoverse, ia tidak menutup sebarang peluang untuk watak itu muncul dalam game. Jadi, sentiasa ada peluang watak daripada Xenoverse untuk muncul.
Adakah terdapat detik dalam siri Dragon Ball yang memberi inspirasi kepada Dragon Ball: The Breakers?
Bagi Hara-san, secara peribadi, ia adalah peristiwa di mana bentuk pertama Cell menyerang bandar. Jika anda telah melihat siri Dragon Ball, anda pasti tahu. Ia adalah pengalaman yang sangat traumatik baginya kerana dia masih muda ketika pertama kali menontonnya. Ia menunjukkan perbezaan antara orang biasa dan orang kuasa super dalam Dragon Ball dan itulah yang memberi inspirasi kepada Breakers.
Untuk bahagian multiplayer, game ini sangat bergantung pada aspek tersebut. Adakah pemain yang bermain game secara solo akan mendapati ia menyeronokkan berbanding mereka yang bermain dengan rakan-rakan?
Pertama sekali, secara rasmi, kami tidak membenarkan penggunaan voice chat semasa bermain game ini. Jadi, lebih baik menggunakan fungsi in-game untuk komunikasi antara pemain.
Dalam game itu sendiri, terdapat stamp dan chat. Alat komunikasi tersebut boleh digunakan oleh setiap pemain sama ada mereka bermain solo atau anda bermain dengan rakan-rakan. Pada mulanya, mungkin sukar untuk digunakan. Walau bagaimanapun, apabila anda mula membiasakan diri, ia akan menjadi lebih menyeronokkan untuk semua orang. Jadi, tidak ada perbezaan besar antara cara anda bermain – solo atau bersama rakan.
Siapa Raider kegemaran anda?
Kegemaran saya ialah Cell, orang yang banyak menakutkan saya semasa masih kecil. Khususnya, bentuk pertama Cell, bukan Perfect Form Cell. Pertama kali melihatnya, dia umpama raksasa tetapi selepas melihat semula, terdapat banyak perkara untuk disukai tentang Cell dan itu adalah Raider kegemaran saya.
Sekali lagi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Ryosuke Hara kerana sudi menjawab soalan kami dan Bandai Namco Entertainment kerana memberi kami peluang untuk belajar lebih lagi tentang Dragon Ball: The Breakers.
Bagi mereka yang berminat, game ini secara rasminya akan dikeluarkan pada 14 Oktober 2022 untuk platform PC, PS4, Switch, dan Xbox One. Korang boleh baca segala liputan kami tentang DB: The Breakers di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post