Kami pasti ramai yang mencari-cari phone baharu yang mesra bajet untuk tampung keperluan gaming mereka serta aktiviti harian. Kami mungkin ada satu phone yang mungkin menarik perhatian anda. Phone tersebut adalah Infinix GT 10 Pro! Ingin tahu sehebat mana phone ini? Teruskan baca review kami ini!
Unboxing
Buka sahaja kotak phone Infinix GT 10 Pro ini, anda boleh dapat item-item seperti berikut:
- Infinix GT 10 Pro
- Pengecas 45W
- Kabel pengecasan USB Type-C
- Casing TPU
- Soft Film
- SIM ejector pin
- Kad waranti dan guide
Reka bentuk
Infinix GT 10 Pro hadir dengan rekaan bertemakan mecha dan futuristik dengan strip LED pada belakangnya. Walaupun hampir keseluruhan phone ini diperbuat daripada plastik, ia masih mampu memberikan rupa premium. Bahagian belakang mempunyai permukaan licin, jadi memang senang nampak cap jari padanya. Disebabkan ia mempunyai kemasan polycarbonate, ia memberikan ilusi bahawa reka bentuknya kelihatan lutsinar.
Kami telah mendapat unit Mirage Silver untuk review kali ini. Ianya kelihatan elegan dengan warna silvernya yang bagi kami cukup minimalis berbanding varian Cyber Black yang kelihatan lebih “gaming”. Bagi kami kualiti untuk Infinix GT 10 Pro agak baik walaupun diperbuat daripada plastik. Disebabkan itu juga, ia terasa ringan apabila pegang dengan satu tangan dan tidak mudah lenguh. Bahagian tepi phone yang rata juga membuatkannya nampak lebih kemas dan moden.
Antara tarikan pada bahagian belakang phone ini adalah LED stripnya. Ia akan bernyala apabila anda mendapat call, notifikasi, semasa mengecas ataupun bermain game. Ia juga boleh berfungsi seperti visualizer apabila anda memasang muzik. Pelbagai benda juga yang anda boleh customize pada LED ini menggunakan aplikasinya.
Terdapat itu, phone ini juga hadir headphone jack 3.5mm, port pengecas USB type-C, butang on/off serta volume pada sebelah kanan. Ia juga dilengkapi dengan dua speaker yang berada pada bahagian atas dan bawah phone.
Tidak dilupakan juga dengan kotak phone yang boleh digunakan sebagai dock pengecasan dan speaker. Ia sememangnya idea yang menarik malah kotak phone boleh dimanfaatkan oleh pengguna.
Skrin
Infinix GT 10 Pro mempunyai skrin 6.67 inci dengan resolusi 1080×2040 piksel, memberikan kecerahan puncak 900 nits. Selain itu, paparan ini menyokong refresh rate tinggi 120Hz dan touch sampeling rate 360Hz. Ia juga mendapat TUV certified, yang sememangnya sesuai untuk mereka yang bermain game dengan lama.
Warna yang dipaparkan pada skrin kelihatan vibrant serta tajam memberikan pengalaman visual yang sangat baik. Dengan bezel yang nipis, ia memberikan ruang yang cukup besar untuk pengguna melihat video ataupun game. Apabila berada di bawah cahaya matahari, paparan masih boleh dilihat dengan jelas serta mudah dibaca. Kalau anda lihat daripada sudut lain, paparan skrin masih boleh dilihat dengan jelas serta tajam.
Audio
Seperti yang dinyatakan, Infinix GT 10 Pro mempunyai dua speaker stereo yang mampu memberikan bunyi terbaik. Walaupun begitu ia tidaklah begitu kuat, jadi kalau anda berada dalam ruang yang besar atau terbuka, mungkin susah untuk mendengarnya dengan jelas. Tetapi kalau anda berada dalam bilik yang kecil dan tertutup, anda pasti boleh bermain game serta menonton filem dengan prestasi audio yang cukup baik, terima kasih kepada enjin DTS
Memandangkan phone ini mempunyai 3.5mm headphone jack, tiada masalah untuk anda hubungkannya dengan headphone anda. Ia juga mempunyai DTS Hi-Res yang menyokong playback audio tidak kiralah menggunakan wayar ataupun tidak.
Kamera
Infinix GT 10 Pro hadir dengan tiga kamera belakang, di mana salah satunya merupakan kamera 108-megapiksel. Bagi kami kualiti gambar baik-baik sahaja, tetapi kalau anda harapkan sesuatu yang berkualiti tinggi seperti professional, anda tidak akan dapat hasil seperti itu dengan kamera ini. Gambar yang ditangkap dalam keadaan malap, juga boleh tahan kualitinya, terima kasih pada ciri AI pada kamera ini. Anda boleh lihat contoh gambar kamera di bawah.
Prestasi & Pengalaman Gaming
Dikuasakan oleh cip Dimensity 8050 serta 8GB RAM, ia turut mempunyai 8GB extended RAM untuk meningkatkan prestasi phone ini. Dengan storan 256GB, membolehkan pengguna untuk menggunakan pelbagai aplikasi serta menyimpan kandungan seperti video, gambar dan sebagainya.
Paling menarik sekali, selepas sahaja kami setup segalanya, kami sedar bahawa phone ini sangat bersih. Apa yang dimaksudkan dengan bersih ialah tiada aplikasi-aplikasi bloatware yang tersedia dalam kebanyakan phone. Phone ini menggunakan Pure XOS sebagai sistem operasi dan ia berdasarkan Android 13. Interface phone ini boleh tahan kemas juga malah kelihatan futuristik.
Sepanjang kami gunakan untuk aktiviti harian, tidak sekali pun kami terasa lag mahupun crash secara tiba-tiba. Kalau ingin tukar ke aplikasi yang lain juga tiada masalah yang kami hadapi malah prosesnya juga lancar.
Kami telah bermain game seperti Mobile Legends: Bang Bang, PUBG Mobile, Genshin Impact serta Honkai: Star Rail pada Infinix GT 10 Pro. Kesemua grafik telah kami tetapkan pada tahap maksimum semasa bermainnya. Setiap game kami telah mainkan selama sejam dan mendapati bahawa phone ini tidaklah begitu panas. Hanya terasa seperti suam-suam sahaja. Kami memang rasa selesa bermain game dengan phone ini.
Selain itu, game juga dapat dimainkan dengan begitu lancar untuk kesemua game. Terkejut juga apabila Genshin Impact tidak mempunyai masalah frame rate yang ketara. Segala pergerakan yang laju memang stabil padanya. Kalau bermain PUBG Mobile pula, memang mudah untuk anda aim musuh anda. Peranti bajet yang sesuai untuk semua pemain mobile di luar sana.
Hayat bateri dan Pengecasan
Phone ini hadir dengan dengan bateri 5000mAh dan menyokong pengecasan pantas 45W. Sepanjang kami untuk bermain game, hampir empat hingga lima jam diperlukan untuk bateri berada pada tahap yang rendah. Apabila kami mengecasnya semula, hampir sejam juga digunakan untuk bateri penuh semula. Tetapi kalau anda ingin bermain sambil mengecas, boleh sahaja kerana kabel USB type-C yang dibekalkan menyokong bypass charging. Kalau anda menggunakannya hanya untuk kegunaan harian memang ia boleh tahan sepanjang hari.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, Infinix GT 10 Pro sebuah phone gaming bajet yang sangat menepati keperluan para gamer professional mahupun pemain mobile kasual. Bukan sahaja pemain dapat bermain dengan tetapan grafik yang tinggi, malah ia juga membolehkan pemain bermain dengan lama dengan selesa. Baterinya juga besar sesuai untuk penggunaan jangka masa panjang. Kalau bermain sambil mengecas juga boleh, terima kasih kepada bypass charging pada phone ini. Walaupun kameranya hanya biasa-biasa sahaja, tetapi ia cukup untuk memberikan hasil gambar yang baik berkat teknologi AI yang ada padanya.
Tidak dilupakan juga dengan rupa mecha phone yang bertemakan cyberpunk. Memang terasa sungguh premium serta memberikan “feel” gamer hebat. Kami pasti ramai anak muda akan suka pada reka bentuknya itu.
Kalau anda berminat untuk mendapatkannya, Infinix GT 10 Pro dijual dengan harga RM 999 melalui kedai Shopee rasmi Infinix secara eksklusif! Baca segala liputan kami tentang produk Infinix di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post